Hakim: Najib bukan ‘orang kampung’ pura-pura jahil dana 1MDB
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, hari ini menolak sebarang tanggapan bahawa Najib Razak tidak menyedari penyelewengan dana 1MDB, sambil menyatakan bekas perdana menteri itu “bukan orang kampung” yang boleh berpura-pura jahil terhadap apa yang berlaku.
Sebelum prosiding ditangguhkan tengah hari tadi, Sequerah membacakan analisisnya terhadap keterangan saksi pendakwaan, termasuk testimoni bahawa jaminan kerajaan yang dikeluarkan untuk 1MDB pada 2013 dipercepatkan atas arahan Najib, selain proses tersebut disifatkan sebagai luar kebiasaan serta disokong dokumentasi minimum.
“Tertuduh bukan orang kampung tetapi memiliki bukan sahaja latar keluarga dan politik yang cemerlang, malah kecerdasan yang tinggi.
“(Ini) berdasarkan latar akademiknya, pengalaman terdahulu dalam politik dan pentadbiran, bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat nasional,” kata Sequerah.
Hakim itu turut mengemukakan dapatan berkaitan beberapa aspek pembelaan Najib, termasuk dakwaan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan pegawainya membuat sebarang laporan berhubung penyelewengan didakwa berlaku di 1MDB.
“Tertuduh mengakui beliau tidak pernah membuat sebarang laporan bagi menyatakan tandatangannya terdapat pada dokumen tertentu yang dipalsukan,” kata Sequerah.
“Bukti juga menunjukkan tertuduh mengambil tindakan berikut dengan membubarkan pasukan petugas khas pada Julai 2015 yang menyiasat 1MDB dan kemasukan wang ke akaun peribadi tertuduh, selain penyingkiran secara mengejut peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan tersebut, serta penyingkiran ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim ketika SPRM sedang mempergiat siasatan (ke atas 1MDB).
“Keseluruhan tindakan ini jelas menunjukkan tertuduh mempunyai kepentingan lebih daripada sekadar sambil lalu dalam urusan 1MDB, selain menonjolkan sejauh mana langkah yang diambil untuk melindungi dan mengukuhkan kepentingan mereka,” tambah Sequerah.
Mahkamah bersambung pada jam 3 petang ini untuk menyampaikan keputusan terhadap pertuduhan berkaitan 1MDB.
Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.
Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Pertuduhan pengubahan wang haram pula difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Collin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi.
Bagaimanapun, dia diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan