DUNIA KITA INI
MASIH RAMAI
ORANG BAIK
DARI ORANG
JAHAT
AMIN
Bakul makanan haiwan peliharaan ditubuhkan oleh pencinta haiwan dapat membantu pemilik yang berdepan masalah memberi makanan kepada haiwan peliharan dan haiwan jalanan semasa wabak, – Gambar The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.
Bank makanan bantu selamatkan haiwan peliharaan, jalanan semasa wabak, kata pencinta haiwan
BEBERAPA individu menubuhkan bakul makanan haiwan peliharaan menggunakan wang mereka sendiri bagi membantu pemilik yang berdepan masalah untuk memberi makanan kepada haiwan peliharaan dan haiwan jalanan lain.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka ingin memastikan haiwan peliharaan ini tidak akan ditinggalkan di jalanan, seterusnya memburukkan lagi masalah pembuangan haiwan.
Mereka juga mahu meringankan beban pemilik haiwan peliharaan yang berdepan kesulitan akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda dan kelembapan ekonomi.
Terdapat peningkatan 70% kes pembuangan haiwan peliharaan sejak awal pandemik tahun lalu, lapor Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA).
Di Pandan Indah, Ampang, Selangor, pemilik trak makanan Chan Wai Yee memulakan bakul makanan haiwan bagi membantu mereka yang memerlukan dan menggunakan Facebook untuk mempromosikan inisiatifnya. Sejak itu beliau menerima banyak panggilan untuk mendapatkan bantuan.
“Beberapa pemilik haiwan peliharaan yang memiliki tujuh atau lapan kucing di rumah tidak mampu membeli makanan untuk kucing mereka. Sementara mereka yang telah memulakan tempat perlindungan belum dapat mencari dana bagi membeli makanan untuk haiwan di tempat perlindungan.
“Mereka datang dari pelbagai kawasan di Selangor untuk mendapatkan bantuan saya. Yang paling jauh adalah Rawang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chan, yang juga pencinta haiwan berkata, dia akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Oleh kerana fasa pertama Pelan Pemulihan Negara di mana perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan, ada yang tidak dapat datang dan mendapatkan bantuan secara langsung dari saya. Saya menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk mengirimkan makanan haiwan kepada mereka.”
Dia mendapat inspirasi untuk memulakan bank makanan haiwan susulan gerakan bendera putih yang dibuat bagi membantu meringankan mereka yang berdepan kesusahan semasa wabak.
Katanya, jika ada orang yang kelaparan, haiwan juga mesti ada yang berdepan situasi sama.
“Melalui gerakan bendera putih, kita membantu memberikan makanan kepada orang ramai tetapi haiwan tidak dapat melakukan hal yang sama.
“Kita bimbang pemilik akan mula meninggalkan binatang peliharaan mereka kerana tidak mampu menjaganya lagi. Saya harap langkah ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan.
Chan berkata, dia dan pasangannya menghabiskan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 bagi membeli pelbagai jenis makanan kering untuk kucing dan anjing serta makanan dalam tin. Mereka akan membungkus makanaN dan mereka yang memerlukan boleh mengambilnya dari trak makanannya dari ham 12 tengah hari sehingga 3 petang setiap hari.
“Makanan haiwan peliharaan mahal dan kami mempunyai dana yang terhad. Tetapi kami memutuskan untuk memperuntukkan 10% dari keuntungan untuk bank makanan haiwan kesayangan,” katanya.
Masalah haiwan terbiar dan masyarakat
Di Skudai, Johor, Woi Kah Chee pernah membuka kedai dandanan haiwan peliharaan dan kafe tetapi sejak wabak, kedainya kini terjejas teruk.
Bank makanan haiwannya adalah untuk pemilik haiwan yang tidak lagi mampu memberi makanan kepada haiwan mereka dan juga untuk sukarelawan yang memberi haiwan terbiar makanan dari duit mereka sendiri.
“Sukarelawan yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi dan tidak lagi dapat memberi makanan kepada haiwan terbiar dialu-alukan untuk mendapatkan makanan di sini,” katanya.
Woi berkata, sejak kisah bank makanan haiwannya mula tersebar di media sosial, ada pihak yang menentang idea itu.
“Mereka berkata, pemilik haiwan sendiri tidak mampu mendapatkan makanan sendiri, jadi mereka tidak seharusnya membela haiwan peliharaan. Mungkin mereka adalah golongan yang tidak membela haiwan peliharaan dan tidak memahami apa yang sedang dialami oleh pemilik dan haiwan peliharaan.
“Bagaimanapun saya juga sudah menerima banyak tawaran dari mereka yang bersedia menyumbangkan makanan dan wang untuk bank makanan haiwan peliharaan. Masih ramai yang peduli di luar sana,” katanya. – 21 Julai, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan