Najib perlu dipenjara,
bersalah selagi
dibuktikan sebaliknya,
kata Dr M
Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menyasarkan serangan terhadap Najib Razak, mengatakan bekas perdana menteri itu perlu menjalani hukuman penjara susulan sabitannya tahun lalu bagi kes berkaitan skandal 1MDB.
“Mahkamah mendapati perdana menteri keenam bersalah. Itu keputusan mahkamah.
“Selagi ia tidak didapati tidak bersalah, ia bersalah. Ia patut jalan hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun dicaj telah dimasuk dalam tahanan, kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani hukuman. Dibenar keluar negara pula,” kata bekas perdana menteri itu ketika membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Najib, yang dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi beberapa pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International, diberikan penangguhan hukuman ketika proses rayuan sabitannya sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.
Mahathir sudah beberapa kali mempertikaikan penangguhan proses rayuan di mahkamah selain turut mengkritik keputusan yang membenarkannya dan beberapa kenamaan lain untuk melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor.
“Sudah hampir satu tahun rayuan dibuat. Tetapi belum ada keputusan dibuat.
“Dengan izin ‘Justice delayed is justice denied’,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Mahathir turut mempertikaikan pengumuman belanjawan kerajaan yang memperuntukkan RM332 bilion bagi tahun depan, mengatakan sebanyak RM98 bilion daripada jumlah tersebut adalah hutang.
Beliau juga berkata walaupun memahami banyak perbelanjaan yang diperlukan bagi mengatasi krisis Covid-19 dan kemerosostan ekonomi, kerajaan juga mesti serius dalam usaha memperoleh semula wang yang dicuri dari 1MDB, syarikat bermasalah yang ditubuhkan oleh Najib yang kemudiannya menjadi sasaran siasatan antarabangsa melibatkan wang berbilion dolar.
Mahathir berkata kerajaan tidak boleh memberikan alasan wang yang dicuri itu tidak boleh diperolehi semula.
“Demikian duit yang dipercayai dicuri dibalikkan kepada pencuri. Konon pihak kerajaan tidak dapat cukup bukti yang duit-duit itu duit kerajaan dari 1MDB.
“Tetapi apakah si pencuri dapat bukti jelas yang menunjuk dari mana dia perolehi duit yang begitu banyak. Kononnya hadiah dari raja negara lain?” soalnya.
Kerajaan berkata pihaknya memperolehi semula hampir RM20 bilion wang yang dicuri dari 1MDB sewaktu Najib mengetuai pentadbiran negara.
Bagaimanapun, Najib mendakwa beberapa bilion wang yang masuk ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan derma daripada kerajaan monarki Arab Saudi.
Mahathir juga menggesa kerajaan mengkaji semula Belanjawan 2022, mengatakan ia boleh menyebabkan negara menanggung lebih banyak hutang.
“Kita tidak perlu bangga dengan mengemuka belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara. Lagipun ia menjadi besar kerana berhutang besar.
“Dan sebahagian dari wang yang akan dihutang akan diguna untuk bayar hutang, bukan sahaja oleh kerajaan semasa tetapi juga kerajaan-kerajaan yang akan datang kerana menghutang untuk bayar hutang tidak mengurang jumlah hutang,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan