Ahad, 22 Mei 2022

BILA NAJIB MASUK JIL

 




Pejuang nilai kerjasama dengan BN, Perikatan, kata pemimpin parti

PEJUANG tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum akan datang, menurut pemimpin pusat parti itu.

Pemimpin berkenaan mengesahkan kepada The Malaysian Insight, pertimbangan tersebut berdasarkan sifat parti berkenaan yang berasaskan Melayu dan Islam.

Ia berbeza dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap tidak berasaskan Melayu dan Islam, jelasnya.

“Sebab dalam politik ini apa-apa pun boleh berlaku. Kita Pejuang nak lebih bersama (parti politik berasaskan) Melayu dan Islam. Parti Melayu Islam yang tinggal adalah BN, Umno atau PN.


“PH bukan parti Melayu, Islam,” katanya.

Beliau yang enggan namanya disebut itu percaya ia satu kemungkinan yang nyata kerana politik perlu diamalkan secara anjal.

“Tidak mustahil Pejuang, PAS, Umno, dan Bersatu bergabung, politik jangan ingat ianya perkara yang statik, ia fleksibel.

“Tetapi bila dah kawan akan ada rundingan kerusi, waktu itu baru kita tahu siapa pergi mana,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, parti diasaskan Dr Mahathir Mohamad itu sedang memutuskan perkara tersebut kerana Pejuang berdepan laluan sukar sekiranya menghadapi PRU15 secara bersendirian.

“Sebenarnya kita sedang membuat keputusan untuk bersama siapa. Kalau pergi secara individu di Parlimen agak susah, kita perlu ada gabungan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat anggota pimpinan tertinggi Pejuang.

“Mesyuarat pimpinan tertinggi juga dah buat keputusan untuk bersama dengan mana -mana (gabungan politik) yang boleh kita terima,” katanya.

Perkembangan itu berbeza dengan pendirian keras dinyatakan Dr Mahathir pada April lalu untuk tidak bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu yang merupakan parti tunjang PN.

Menurut perdana menteri ketujuh itu, beliau serik selepas dikhianati Muhyiddin yang menyebabkan pentadbiran PH tumbang pada 2020.

Pejuang tidak akan menyokong Muhyiddin yang menurutnya mahu menjadi perdana menteri sekali lagi sedangkan prestasinya buruk apabila mengambil alih menjadi perdana menteri kelapan.

Kenyataan ahli Parlimen Langkawi itu pada April ekoran tindakan Muhyiddin yang bertemunya untuk merintis kerjasama baharu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Usaha itu ekoran kegagalan Bersatu dan juga Pejuang yang kalah teruk dalam pilihan raya negeri Johor pada bulan sebelumnya.

Sumber Pejuang itu mengesahkan ia antara pertimbangan yang dibuat selepas menilai faktor kekalahan parti tersebut dalam pilihan raya negeri Johor.

“PRN Johor salah satunya, sebab kita dah nampak tak boleh pergi. Tapi faktor kalah bukan itu sahaja, ada faktor lain, sekarang rakyat lapar, mereka tak mahu tahu rasuah, kerja tidak ada.

“Bukan semua negeri Pejuang kuat tetapi ada juga negeri yang strukturnya kuat, kita bukan parti yang dah kuat, cuma sekarang bergantung penerimaan orang kepada individu itu.

“Jadi Pejuang kena ada gabungan,” katanya.

Tambahnya, Pejuang juga menumpukan masalah periuk nasi dan keperluan hidup rakyat, lebih-lebih lagi pasca pandemik Covid-19, berbanding isu rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya rakyat sedar kedudukan sosioekonomi negara dan juga bosan dengan pertukaran demi pertukaran pentadbiran kerajaan.

Tambahnya penjelasan mengenai isu rasuah tidak mampu menarik lebih banyak sokongan kepada dan kleptokrasi pula dilakukan oleh pemimpin dan bukannya oleh parti.

“Sekarang kita tukar tiada lagi cerita rasuah tapi cerita nak pulihkan bangsa. Cerita rasuah ini orang berpendidikan yang faham, tetapi di bawah ini mereka sudah tidak peduli.

“Kleptokrat ini pun sudah tak pergi mana dah, kita cakap dengan pucuk pimpinan.

“Umno ini sama sahaja macam parti lain. Dua individu sahaja yang jahat, jangan sebab mereka kita benci parti itu,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk pemimpin Umno yang kini berhadapan kes mahkamah iaitu Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak.

Salah seorang pemimpin Pejuang, Mahdzir Ibrahim juga mengesahkan perbincangan rentas parti berhubung perkara itu sentiasa berjalan namun tiada sebarang kata putus secara rasmi.

Calon Pejuang bagi DUN Semerah dalam PRN Johor itu memberitahu The Malaysian Insight perbincangan masih berjalan namun kumpulan kleptokrat tetap ditolak.

“Kalau nak ikutkan parti setakat ini tiada masalah berbincang, mencari titik temu, perbincangan boleh diteruskan daripada mana-mana parti.

“Hasilnya kita tengoklah nanti, setakat ini secara rasmi tidak ada, pertemuan tidak rasmi silang parti ada antara Bersatu ke Umno.

“Semua sedang berjalan namun belum ada sesuatu yang konkrit, jadi saya minta beri peluang proses demokrasi itu berjalan,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Namun, untuk sebarang kerjasama politik  Pejuang katanya kekal dengan prinsip menolak kumpulan kleptokrat.

“Kita lebih memilih parti yang konsisten tolak kleptokrasi, yang berpakat dengan mereka, yang menyokong mereka dari belakang itu bertentangan dengan prinsip kita,” katanya.

Mahdzir juga berkata, semua parti politik agar perlu menumpukan kerjasama menarik minat pengundi untuk terus percaya kepada sistem politik.

Jelasna kadar peratusan keluar mengundi yang begitu rendah direkodkan di PRN Melaka dan Johor.

“Saya sebagai bekas calon melihat gambaran yang lebih besar, soal nak tanding berapa kerusi tak timbul.

“Pejuang boleh sarankan parti yang sedang mencari jalan keluar fokus menggembleng tenaga pastikan tarik minta rakyat kembali mengundi… Masa depan di Malaysia masih ada.

“Sekarang isu terbesar gembleng tenaga menarik rakyat terus percaya kepada sistem politik dan keluar mengundi,” katanya lagi.

Setiausaha Agung Pejuang Marzuki Yahya pula menegaskan parti itu belum memutuskan untuk membentuk atau menyertai mana-mana gabungan politik.

“Tidak ada (keputusan sertai gabungan politik). Sekarang fokus perkasakan Pejuang, sebagai parti politik, terhad setakat situ sahaja.

“Tidak ada dan tidak pernah buat keputusan untuk sertai mana-mana gabungan, kita masih sendiri setakat ini,” kata Marzuki.

Senator itu berkata Pejuang sedang memperkasakan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah parti politik, terutamanya menjelang PRU15.

Selain Dr Mahathir yang mewakili Langkawi, tiga lagi ahli Parlimen Pejuang Dr Shahruddin Md Salleh, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah dan (Kubang Pasu).

Parti itu juga sedang menyusun organisasi di peringkat cawangan dan akar umbi selepas pendaftarannya diluluskan secara rasmi pada 8 Julai 2021. – 21 Mei, 2022

YANG PENTING

NAJIB MASUK

PENJARA

AMIN

BERESKAN DULU

KES PENCURI INI

AMIN

BILA DAH BERES

BANYAK PEKARA

BOLEH BINCANG

KHALAS

Tiada ulasan: