Zahid perlu lepas jawatan presiden Umno, kata Tajuddin
AHMAD Zahid Hamidi perlu melepaskan jawatan presiden Umno kerana beliau kini menjadi beban kepada parti, kata bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu Tajuddin Abdul Rahman.
Tajuddin, yang baru digugurkan jawatan dari menganggotai MKT berkata, Umno akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Zahid kekal mengepalai parti Melayu itu.
“Zahid dah jadi liabiliti kepada Umno. Dia tak boleh jadi presiden (dan) mengepalai Umno dalam pilihan raya umum nanti kita akan kalah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau mendakwa, ramai pemimpin Umno mengakui perkara itu namun tidak berani menyatakannya kerana bimbang tidak dinamakan sebagai calon pilihan raya.
“Tanyalah orang awam, pengundi, orang Umno tanyalah. Tapi ramai tak berani cakap kerana takut tak dapat watikah.
Sekarang diugut jangan banyak cakap, kalau tidak nanti tidak ada watikah. Ramai berangan-angan nak jadi calon,” kata Tajuddin.
Tajuddin turut mencadangkan ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberikan tumpuan kepada kesnya di mahkamah dan melepaskan kedudukan dalam parti.
“Saya cadangkan Zahid tumpu kepada kes dia… Kesnya banyak, tak mampu nak jaga Umno yang besar dan kita nak hadapi pilihan raya umum.
“Lebih baik tumpu selesai masalah dia, kita doakan yang terbaik, mudah-mudahan selamat tidak ada kes,” katanya.
Beliau bimbang kes dihadapi Ahmad Zahid itu akan membebankan lagi parti.
“(Kesnya) bukan sedikit masa (selesai), setahun dua, tahun, kita nak pilihan raya umum, kata nak cepat. Kalau pilihan raya umum dua atau tiga bulan lagi, dia tak boleh tumpu.
“(Zahid perlu) turun naik mahkamah. Baik dia fokus masalah peribadi dia, jangan masalah dia bebankan Umno. Itu yang berlaku,” kata Tajuddin.
Beliau turut mendakwa keputusan MKT Umno juga selama ini dipengaruhi kehendak Zahid semata-mata dan tidak melibatkan dasar yang menguntungkan rakyat.
“MKT tempat membuat dasar dan keputusan membela rakyat, memperkasakan parti dan membela rakyat, keputusan mengenai ekonomi, (tapi) tak pernah dibentang.
“Agenda Umno memperjuangkan ekonomi rakyat dan orang Melayu. Saya cukup gelisah tengok, tiada perbincangan serius nak tolong orang Melayu. Sebab itu 60 tahun kita masih macam ini.
“Kesimpulannya, untuk kepentingan parti dah sampai masanya Zahid elok dengan cara baik kalau sayangkan parti, perjuangan, lepaskan jawatan presiden parti,” kata Tajuddin.
Zahid pada Jumaat menyebut, Tajuddin Abdul Rahman digugurkan dari jawatan tersebut kerana sikapnya yang mengkritik parti.
Bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun enggan menyebut kenyataan yang diucapkan sehingga menyebabkan Tajuddin dikenakan tindakan itu.
Zahid berhadapan pertuduhan 87 kes dengan sebahagian daripadanya kini sedang dibicarakan di mahkamah.
Bekas timbalan perdana menteri itu kini sedang berhadapan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Selain itu, Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara.
Tajuddin baru-baru ini dinamakan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia dan menunggu watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong. – 27 Jun, 2022.
3 ulasan:
Kahkahkah Ayah chor kg Hajah nie kasik kantoi Anwar,bikin agreement dgn kluster mahkamah. Skg apa ceta Lim,mat sabu,Tak mau lg terima kenyataan???
Pesanan orang lama...sarang tebuan jgn dijolok..musuh jangan dicari. Akibatnya...Terbogel sudah..
lompat parti haruslah dibenarkan dengan syarat tertentu... khalas.
Catat Ulasan