Hampir RM600 juta rugi akibat jenayah siber pada 2022, kata menteri
HAMPIR RM600 juta kerugian direkodkan sepanjang 2022 akibat daripada jenayah siber di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Beliau berkata data tersebut menunjukkan bahawa masalah jenayah siber di negara ini adalah serius dan kementerian akan memfokuskan hala tuju untuk mendidik masyarakat supaya menjadi lebih celik digital dan melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Katanya antara yang akan dilaksanakan adalah bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial seperti TikTok dalam mempromosikan program ‘Stop For Three Seconds’ yang akan dilancarkan pada Februari dan Mac ini.
“Maksudnya ‘three seconds’ (tiga saat) itu akan bantu masyarakat untuk berfikir terlebih dahulu sama ada sesuatu maklumat atau perkara yang diterima itu sahih atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai di Gong Badak, dekat Kuala Nerus hari ini.
Dalam pada itu Teo berkata pihak penyedia platform media sosial juga akan membantu mempromosikan talian 997 yang merupakan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Katanya talian yang disifatkan masih kurang diketahui masyarakat itu merupakan inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam membantu mangsa jenayah siber mendapatkan semula wang yang telah ditipu oleh penjenayah siber.
“Setakat ini, talian 997 beroperasi 12 jam sehari dan ia merupakan ‘pusat sehenti’ yang terdapat wakil daripada Bank Negara Malaysia, bank-bank swasta, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia yang akan sedaya-upaya bertindak segera menghentikan pengaliran wang yang ditipu,” katanya.
Dalam perkembangan lain Teo berkata sejumlah 471 menara telekomunikasi di seluruh negara terjejas ekoran banjir besar yang melanda pada Disember lepas.
Bagaimanapun katanya kesemua menara tersebut telah pun dibaiki dan kini dapat berfungsi seperti biasa.
Terdahulu, Teo menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 1,000 penduduk di Taman Desa Tanjung Damai dan 24 warga KKD yang terjejas banjir baru-baru ini.
Katanya sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada warga KKD dan rakan kongsi kementerian seperti syarikat telco melalui dana bencana di peringkat kementerian. – Bernama, 14 Januari, 2023.
4 ulasan:
China Merah ramai agen scam sini TT, tapi China Merah pandai rasuah bila kena tangkap, kah kah kah Afrika tak pandai rasuah, kah kah sebab itu ramai kena scam, bila penguatkuasa ada buat kerja semua kerja jahat akan henti stop stop, kerja jahat masih jalan sebab perasuah masih ramai kah kah kah stop tak boleh jalan terus walau siapa jadi kepala negara amin
Bro, lu musti paham modus operandi scammer ni. Scammer target individu yg memang ada kes ngan LHDN ke, mahkamah ke, imigresen ke sbb tu kebanyakan mangsa adalah kalangan cerdik. Mcm lu pembantu peon scammer pun tak berminat.
bonzaifikasi. orang suruh masukkan duit dalam akaun masukkan saja.
ini tanda akta baru menyekat suara dan tulisam akan di wujudkan.. lepomasin !!
Catat Ulasan