Pembersihan Umno beri PAS, Bersatu kelebihan, kata penganalisis
PILIHAN raya negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri akan jadi penentu sama ada Umno masih mendapat sokongan pengundi Melayu, kata penganalisis politik.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan selepas lebih 60 tahun menikmati sokongan orang Melayu pengundi mula beralih kepada PAS dan Bersatu, dan pembersihan besar-besaran yang menyaksikan puluhan ahli dan pemimpin kanan Umno dipecat dan digantung dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan, menurut penganalisis ini.
Pegawai penyelidik Merdeka Center Ted Lee berkata keputusan PRU15 jelas menyaksikan Umno bukan lagi parti pilihan orang Melayu.
“Sekarang sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
“PN peroleh 55% undi orang Melayu pada PRU15. Jadi persoalannya sekarang ialah adakah Umno akan terus terjerumus jauh ke dalam lubang yang digali sendiri atau berjaya bangkit semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambah Lee, harus juga dipersoalkan apakah pengundi sama yang memilih Umno pada PRU15 masih akan terus menyokong parti itu selepas ramai yang tidak bersetuju ia membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
“Apakah tindakan Umno buat untuk memastikan penyokong ini terus setia?”
Pada hujung Januari, Umno memecat dan menggantung puluhan ahli dan pemimpin parti yang didakwa melanggar disiplin parti terutama semasa PRU15.
Antara yang dikenakan tindakan termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi perhubungan Umno Noh Omar yang dipecat, manakala bekas naib presiden Hishammuddin Hussein digantung keahlian selama enam tahun.
Mengulas lanjut, Lee berkata Umno yang masih belum pulih daripada kekalahan teruk pada PRU15 akan sukar untuk mendapatkan semula sokongan yang beralih mengejut kepada PN.
Katanya jika keputusan PRU15 dijadikan sebagai kayu pengukur kekuatan Umno, pastinya PAS yang merupakan parti dominan dalam PN akan menang besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti Islam itu.
“Terlalu sukar untuk Umno bertapak semula di tiga negeri tersebut.”
Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang perlu mengadakan pilihan raya negeri selewat-lewatnya September ini.
Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan PRN masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen pada PRU15 lalu. Manakala PRN di Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak telahpun diadakan sebelum PRU15.
Tahap paling lemah
Penganalisis Cheah See Kian berkata pembersihan dalaman besar-besaran Umno akan mengundang perpecahan yang lebih kritikal dan melemahkan parti itu ketika PRN akan diadakan tahun ini.
“Enam PRN semakin hampir dan Umno tidak cukup masa untuk bangkit semula selepas kalah teruk pada PRU15 dan pembersihan dalaman.
“Ini akan meletakkan Umno berada pada tahap paling lemah yang seterusnya akan memberi kesan kepada strategi masa depannya
“Sekiranya ia sekali lagi tewas di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH, ke mana hala tuju Umno seterusnya?
“Negeri-negeri di pantai timur sudah pasti milik PAS,” kata Cheah. – 10 Februari 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan