Energy Stick bahaya, KKM pastikan iklan produk diturunkan
KUALA LUMPUR – Produk penyedut hidung atau dikenali sebagai Energy Stick tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk tersebut.
Katanya, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut diturunkan.
“Hasil saringan awal di platform e-dagang (e-marketplace) seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu katanya, KKM menerima aduan awam mengenai penjualan produk penyedut hidung di dalam talian.
Menurut Muhammad Radzi, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan