Imam tiada lesen pandu kereta cukai jalan tamat tempoh
KOTA BHARU: Seorang imam akur apabila ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya malam tadi akibat tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika operasi khas bersepadu sempena Aidiladha di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Wilayah Timur, di sini.
Dia yang ditemani isterinya berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari sebuah pasar raya di sini, bagi membeli peralatan mencetak teks khutbah untuk dibacakan pada Aidiladha nanti.
"Memang sudah dua tahun cukai jalan kereta ini mati dan biasanya saya pandu siang hari sahaja dalam keadaan berjaga-jaga tetapi tak sangka malam ini (tadi) nasib tidak menyebelahi kami.
"Saya pun sedang berkira-kira untuk mengambil lesen kenderaan tetapi belum sempat kerana kekangan masa. Apabila terjadi begini (disaman), insya-Allah akan saya usahakan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Dalam operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, sebanyak 102 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan 24 kenderaan disita.
Operasi yang bermula jam 8 hingga 11 malam itu turut dihadiri Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dengan diiringi Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Seorang lagi yang ditahan dalam operasi itu adalah lelaki Rohingya berusia 33 tahun yang menunggang motosikal kononnya dalam perjalanan ingin membeli ubat untuk anaknya yang sakit.
Lelaki berusia 33 tahun itu berkata, dia baru membeli motosikal itu dari seorang rakan pada harga RM2,200, dua minggu lalu dan tidak sangka akan ditahan pihak berkuasa.
"Kalau tahu ada operasi malam ini memang saya tidak akan keluar tetapi anak sakit di rumah, jadi saya keluar beli ubat.
"Memang sedih sebab motosikal ini baru dibeli daripada rakan menggunakan duit hasil kerja sebagai tukang rumah, tetapi apa boleh buat, terima sajalah," katanya yang menetap di Jelawat, Bachok.
1 ulasan:
Kalau nak kutip beribu warga asing ada motorsikal kereta pajero Hilux kah kah kah, semuanya rezeki kepada penguatkuasaan amin, syukur kerana yang kena nasib tak baik, yang tak kena masih berjalan seperti biasa kah kah kah
Catat Ulasan