Tak sempat nak kerja, diusir balik ke Indonesia
KUCHING: Enam warga Indonesia yang cuba menceroboh masuk dipercayai untuk bekerja di negeri ini diusir anggota tentera yang berjaya mengesan pergerakan mereka di 'jalan tikus'.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen menerusi satu kenyataan, memaklumkan mereka berusia 20 hingga 30 tahun, termasuk seorang wanita ditahan sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD).
Pasukan keselamatan berkenaan sedang melaksanakan tugasan rondaan di Sektor Pos GABMA Biawak, berdekatan 'lorong tikus', iaitu pada jarak lebih kurang 118 meter dari sempadan Indonesia, pada jam 4.10 petang semalam.
"Semasa sedang melaksanakan rondaan, anggota ronda tentera terserempak dengan semua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu sedang berjalan dari arah sempadan Indonesia.
"Anggota ronda tentera telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap enam PATI terbabit dan hasil soal siasat mendapati mereka dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia," menurut kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu menambah, pemeriksaan tidak menjumpai sebarang barang terlarang serta berbahaya, sebaliknya hanya wang tunai, telefon bimbit, dompet dan beg pakaian dengan nilai keseluruhan barangan diperiksa dianggarkan lebih RM10,000.
"Mereka dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa," menurut kenyataan itu lagi.
1 ulasan:
Kenapa kau tak mau jadi warga Indon?
Catat Ulasan