MAHB untung tidak perlu jual saham
KUALA LUMPUR — Isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) terus menarik perhatian anggota Parlimen ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Seorang penyokong kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan pembangkang, Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) tidak bersetuju dengan penjualan saham itu.
Hassan dari PKR menegaskan tiada keperluan untuk menjual saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada GIP yang dikawal BlackRock Inc.
“Syarikat MAHB ini untung, kalau boleh, tak perlulah saham 30 peratus itu kita jual kepada GIP.
“Saya minta kepada Pengerusi Khazanah… kalau nak marah saya, marahlah, tapi saya mohon kalau boleh kaji balik. Biarkanlah MAHB ini terus mengurus lapangan terbang di negara ini,” katanya.
Pada sesi itu, Hassan turut meminta supaya fungsi dan terma rujukan Khazanah Nasional dikaji semula.
“Saya berpendapat bahawa Khazanah Nasional tidak seharusnya menjadi portfolio ‘manager’ tapi sepatutnya melabur dalam industri strategi seperti air, pertahanan dan keterjaminan makanan,” katanya.
Terdahulu pada sesi sama, isu berkaitan penjualan saham MAHB mencetuskan ketegangan antara pemimpin kerajaan dan pembangkang.
Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mempersoal kenyataan Dr Mohd Radzi berhubung penjualan saham MAHB.
Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(12), Chuan How berkata, kenyataan Mohd Radzi mengelirukan.
“Dikatakan MAHB dijual, seolah-olah MAHB diberi, diambil oleh syarikat atau kuasa luar. Itu mengelirukan dewan. Sekarang yang memegang majoriti saham 70 peratus itu siapa? Syarikat atau orang luar? Adakah dia Malaysia ataupun tidak?
“Adakah Malaysia atau tidak? Adakah Khazanah atau tidak… jawab ya atau tidak? Kalau Malaysia, sila tarik balik,” katanya.
Pertikaman lidah antara Chuan How dan Mohd Radzi itu berlarutan beberapa minit sebelum Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau meminta Mohd Radzi memperbetulkan ayatnya.
Mohd Radzi bagaimanapun gagal memberikan penjelasan dan menghabiskan perbahasannya memandangkan masa sudah tamat.
“Masa sudah habis, you (anda) tak habis, itu masalah you,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Bagaimanapun ketika sesi perbahasan Sabri Azit (PN-Jerai), Mohd Radzi diberi peluang untuk mencelah.
“Apa yang saya nak sebut tadi, kita kena ingat penjualan MAHB kepada syarikat asing tiada keperluan langsung. Isu aset strategik negara, kita yang laburkan bertahun-tahun lamanya, kenapa kita nak jualkan aset strategik ini,” kata Mohd Radzi.— BebasNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan