AS dakwa 3,000 tentera Korea Utara 'berlatih' di Russia
WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 3,000 tentera Korea Utara dihantar ke Russia dan sedang menjalani latihan di sana, menurut Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, sambil memberi amaran, mereka akan menjadi sasaran sah untuk Kyiv jika terlibat dalam pertempuran di Ukraine.
Russia dan Korea Utara meningkatkan pakatan politik serta ketenteraan mereka ketika perang Ukraine, dengan Pyongyang berdepan tuduhan membekalkan senjata kepada tentera Moscow.
Bagaimanapun, penghantaran askar bagi menyokong pasukan tentera Russia menandakan pembabitan ketara, sekali gus mendorong amaran daripada Kyiv dan sekutu Baratnya, yang baharu meluluskan pinjaman AS$50 bilion (RM217.5 bilion) untuk membantu Ukraine.
"Kami mendapati antara awal hingga pertengahan Oktober, Korea Utara menghantar sekurang-kurangnya 3,000 askar ke timur Russia," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby kepada wartawan.
Jelas beliau, tentera berlepas menggunakan kapal dari Korea Utara ke Vladivostok, kemudian bergerak ke tapak latihan tentera di timur Russia, di mana mereka sedang menjalani latihan.
"Kami belum tahu sama ada tentera akan menyertai pertempuran bersama tentera Russia, namun jika mereka memutuskan untuk menyertai perjuangan menentang Ukraine, maka mereka akan menjadi sasaran sah tentera Ukraine," katanya.
Media Korea Utara tidak mengulas sejak agensi perisik Seoul minggu lalu berkata Pyongyang sudah memutuskan untuk menghantar pasukan tentera berskala besar ke Russia untuk memerangi Ukraine.
Moscow pada Rabu enggan mengesahkan atau menafikan laporan itu, dengan jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova, memberitahu wartawan untuk bertanya kepada Pyongyang di mana tenteranya berada.
Sebelum ini, selepas taklimat oleh Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, penggubal undang-undang Korea Selatan, Park Sun-won berkata, 1,500 lagi tentera sudah dihantar ke Russia, meningkatkan jumlah penghantaran kepada 3,000 anggota.
Seoul berkata, Pyongyang merancang mengerahkan 10,000 askar ke Russia menjelang Disember, sekali gus membangkitkan kebimbangan antarabangsa.
Jerman pada Rabu sudah memanggil utusan Korea Utara untuk memberi amaran kepada negara tertutup itu supaya jangan lakukan kerahan tentera itu.
"Sokongan Korea Utara terhadap perang pencerobohan Russia secara langsung mengancam keselamatan Jerman dan keamanan Eropah," kata Kementerian Luar Jerman di platform media sosial X.
Kyiv pada Rabu menggesa mana-mana tentera Korea Utara yang dikerah oleh Russia supaya meletakkan senjata dan menyelamatkan nyawa mereka.
Korea Selatan pula akan menghantar delegasi ke ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels minggu depan untuk memberi taklimat mengenai keadaan semasa.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, merayu supaya sekutu Kyiv bertindak balas dan berulang kali berkata penghantaran tentera Korea Utara berisiko meningkat dan memanjangkan perang.
Korea Utara dan Russia berada di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran program senjata nuklearnya, sementara Moscow berkaitan perang Ukraine. - AFP
1 ulasan:
apa yang kau meroyan ni? gam dunlop kau isap tu ada kesan lagi ke? Kah kah kah!
Catat Ulasan