Jumaat, 2 Mei 2025

ANAK DI BUMI MANUSIA

 


Bertindak segera untuk elakkan tapir Malaya pupus

LAPORAN media tentang 112 Tapir Malaya terbunuh kerana kemalangan jalan raya daripada 2020-2024 amatlah membimbangkan negara dan dunia, kerana haiwan ini sangat unik bagi Semenanjung Tanah Melayu dan sedang menghadapi kepupusan. Bilangan ini bertambah berbanding 92 ekor antara 2015-2020.

Tambahan lagi kenyataan itu dibuat oleh YB Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berasaskan data daripada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), dimana Tapir Malaya dikatakan hanya tinggal antara 700-800 ekor di habitat semula jadi mereka.

Pada tahun 2008 IUCN (Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa), merekodkan populasi Tapir Malaya yang terancam ini dianggarkan kurang daripada 2500 ekor individu dewasa. Malaysia dan Indonesia melindungi spesies ini di bawah undang-undang masing-masing.

Kenyataan dan kesedaran tinggi YB Menteri dan PERHILITAN ini mesti diambil tindakan segera untuk penyelesaian sebenar dan tidak lagi sekadar menceritakan sejarah kemalangan jalan raya, pengalaman dan pengetahuan tentang Tapir Malaya yang ada.

Banyak tindakan sudah dilakukan seperti undang-undang, pemantauan, penyelidikan, pendidikan, kerjasama antara jabatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), penyediaan kawasan khas untuk Tapir Malaya temasuk plan strategi yang menyeluruh, namun cerita Tapir Malaya mati di jalan raya berterusan.

Sempena sambutan Hari Tapir Sedunia pada 27 April, isu Tapir Malaya akan terus dibincangkan bersama isu-isu kepelbagaian biologi amnya pada bulan Mei ini sempena Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa pada 22 Mei. Isu Tapir Malaya juga mesti diselesaikan disamping haiwan-haiwan yang terancam lainnya seperti Harimau Malaya, Gajah Asia, Beruang Madu, Siamang, Burung Upeh dan lain-lain.

Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa ialah hari yang disambut bagi meraikan isu kepelbagaian biologi yang dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) setiap 22 Mei. Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi menyambutnya setiap tahun. Mungkin Malaysia perlu ada suatu hari khas berkaitan kepelbagaian biologi atau alam semula jadi bagi mengiktiraf keistimewaan ini.

Hari Tapir Sedunia yang di sambut pada 27 April setiap tahun adalah untuk memberikan kesedaran awam dan menyokong usaha pemuliharaan tapir. Dengan mengetengahkan haiwan unik ini kepada masyarakat dan memaklumkan ancaman yang mereka hadapi, hari tapir sedunia menggalakkan tindakan untuk melindungi habitat mereka dan melindungi mereka daripada kepupusan.

Tapir memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan hutan dan kepelbagaian biologi dalam ekosistem hutan yang pada akhirnya menyumbang kepada kesihatan planet, kesejahteraan manusia dan isu-isu lain berkaitan perubahan iklim serta kehilangan kepelbagaian biologi.

Melalui kesedaran tinggi tentang keunikan Tapir Malaya wujud di Semenanjung Tanah Melayu, sifat dan tingkah laku yang unik menyebabkan mereka sangat signifikan dari segi ekologi hutan tropika. Dengan melindungi tapir, haiwan terancam lain juga akan turut terlindung.

Hari Tapir Sedunia menarik perhatian umum tentang ancaman ke atas tapir termasuk kehilangan habitat, pemburuan haram, permerdagangan haram dan pembangunan yang tidak terancang. Kefahaman ini akan meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kempen melindungi dan memulihara Tapir Malaya.

Jabatan PERHILITAN mesti terus menerajui program perlindungan dan pemuliharaan Tapir Malaya dengan sokongan padu daripada semua agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan lain jabatan serta NGO berkaitan.

Penubuhan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan adalah suatu inisiatif penting dalam pemuliharaan Tapir Malaya di samping pusat sedia ada di Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor yang ditubuhkan pada 1964. Pusat ini juga penting dalam penyelidikan, pendidikan, pemuliharaan dan pelancongan.

Kajian mendalam tentang ekologi serta pembiakan penting dan boleh mempengaruhi perancangan keselamatan tapir di jalan raya kerana tingkah laku, umur dan tempoh kematangan mereka sangat memberikan kesan kepada kematian di jalan raya. Di samping itu faktor kemanusian seperti pendidikan, kesedaran dan undang-undang penting diberikan perhatian.— BebasNews

ANAK SEMUA

BANGSA DI BUMI

MANUSIA

AMIN

MARI KITA SESAMA

JAGA HAIWAN

HIDUPAN ALAM

AMIN

KITA HANYA

ADA SATU BUMI

AMIN

INILAH BUMI

KITA MILIK

BERSAMA

KHALAS

Tiada ulasan: