Skandal 1MDB: Leissner mohon maaf kepada rakyat Malaysia
NEW YORK: Bekas pegawai tinggi Goldman Sachs, Tim Leissner, menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas peranannya dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York semalam, selaku antara yang berperanan penting dalam skandal berbilion dolar membabitkan dana 1MDB.
"Pertama sekali, saya memohon maaf secara tulus kepada rakyat Malaysia, saya amat menyesali perbuatan saya," katanya.
Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menganggarkan AS$4.5 bilion (RM19.1 bilion) dicuri daripada 1MDB dalam skim terancang.
Ia membabitkan pegawai peringkat tertinggi dalam dana itu, iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, eksekutif Goldman dan lain-lain.
Ketua Hakim, Margo Brodie, menyifatkan tindakan Leissner sebagai 'biadab dan berani'.
Tegas beliau, menyatakan walaupun Leissner memohon maaf serta bekerjasama dengan pihak berkuasa, kesalahannya tidak boleh diterima kerana membabitkan rasuah pada peringkat tertinggi di beberapa negara.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 atas konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dan menyertai konspirasi pengubahan wang haram.
Goldman membantu menjual bon AS$6.5 bilion (RM27.6 bilion) untuk 1MDB, yang ditubuhkan oleh Najib dengan bantuan Jho Low yang kini dalam buruan, atas alasan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.
Sebaliknya, sebahagian daripada dana itu dialihkan ke akaun bank luar pesisir dan syarikat-syarikat palsu.
Leissner menjadi saksi kerajaan AS dalam kes itu selepas penahanannya pada 2018 dan dibenarkan kekal bebas selepas dia bersetuju membantu kerajaan dalam siasatan dan memberi keterangan terhadap bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng.
Ng mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat untuk penggubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah.
Beliau juga disabitkan bersalah di Brooklyn dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, namun dibawa ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan.
Menurut pendakwa raya, Leissner bertemu dengan kerajaan berpuluh kali, meneliti banyak dokumen dan komunikasi yang diterimanya berkaitan skim 1MDB serta perkara lain.
Peguamnya, Henry Mazurek berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan menyatakan anak guamnya bersedia menjalani hukuman yang dikenakan ke atasnya.
"Kami menghormati keputusan mahkamah hari ini dan Leissner bersedia menjalani hukumannya dan meneruskan kehidupan masa depannya dengan kerja yang baik dan menjaga keluarganya," katanya.
Pendakwa raya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kerjasama Leissner dalam siasatan.
Bagaimanapun, Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB, berkata hukuman penjara dua tahun terhadap Leissner adalah 'terlalu singkat'.
"Memandangkan dia adalah antara dalang utama yang membantu melicinkan skandal 1MDB, dia sepatutnya dijatuhkan hukuman penjara maksimum," katanya kepada Reuters menerusi mesej teks pada Jumaat. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan