'Insya-Allah, banyak cara nak ubah masyarakat'
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini memberi bayangan dia sudah menyiapkan rancangan lanjut untuk langkah susulan selepas mengemukakan surat meletakkan jawatan dari kabinet baru-baru ini.
Menjelaskan di platform X lewat pagi tadi Rafizi berkata, dia memulakan cutinya sejak kelmarin dan mempunyai ‘misi khas’ sepanjang tempoh tersebut.
Kata Rafizi dia mahu menjawab beribu-ribu mesej yang diterimanya – kemungkinan sejak membuat keputusan mahu melepaskan jawatan menteri – selain menyertai kemeriahan “sembang” di X.
“Saya memang dah plan (rancang) apa nak tumpu selepas ni, tapi biarlah semua orang tenang, (sambut) raya haji dan lain-lain.
“Apa-apa (perkembangan lanjut) saya kongsi kemudian,” katanya.
Rafizi sudah memaklumkan lebih awal mengenai rancangannya mahu berundur dari kabinet jika gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Dalam persaingan sengit dan tegang itu, Rafizi gagal mendapat undian mencukupi dan terpaksa akur kepada perwakilian yang majoritinya mahu Nurul Izzah Anwar menjadi orang nombor dua dalam parti.
Lima hari selepas berakhirnya pemilihan itu, Rafizi menghantar surat peletakan jawatan kepada Anwar dan bercuti sebelum ia berkuat kuasa pada 17 Jun ini.
"Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat daripada parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan," katanya.
Turut mengambil langkah sama ialah Ahli Parlimen Setiawangsa yang menjadi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Dia merupakan penyandang jawatan Naib Presiden PKR.
Bagaimanapun Anwar setakat ini menegaskan Rafizi dan Nik Nazmi sedang bercuti dan tidak timbul isu untuk dia melakukan rombakan kabinet bagi menggantikan kedua-dua ahli parlimen berkenaan.
Menurut Rafizi, potensi sebenar bagi negara ini ialah rakyat biasa dan usaha memanfaatkannya perlu dilaksanakan semula.
Sementara itu menjawab komen pengikutnya di X, Rafiri berkata, dia menghargai setiap doa yang ditujukan kepadanya.
“Insya-Allah, (ada) banyak cara nak ubah masyarakat. Kita ada masa yang panjang,” ciapnya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan