PN Tuntut Dokumen JDA Ambalat, Triti Sulawesi Dibahas Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 2 Jul 25 – Perikatan Nasional (PN) menuntut dokumen perjanjian pembangunan bersama (JDA) mengenai Ambalat dan dokumen triti Sulawesi dibahaskan di Dewan Rakyat, kata Hamzah Zainuddin.
Timbalan pengerusi PN itu berkata, banyak persoalan yang memerlukan penjelasan kerajaan berhubung isu tersebut.
“Lebih menimbulkan persoalan, pengumuman pembangunan bersama di Ambalat ini dilihat berbeza dengan beberapa siri jawapan perdana menteri termasuk ketika isu mengenai Triti Sulawesi dan Ambalat dibangkitkan di Parlimen.
“Sehubungan itu, PN menuntut butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pengumuman kerjasama Malaysia dan Indonesia di kawasan Ambalat menimbulkan kegusaran ekoran melibatkan kepentingan nasional.
“Kedaulatan dan kepentingan Malaysia ke atas segenap inci wilayah negara, khususnya di kawasan maritim strategik di Blok Ambalat, yang kaya dengan simpanan minyak serta gas asli, wajib dipertegas dan dipertahankan.
“Langkah membuat pembangunan bersama (joint development) secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto sebelum ini dilapor menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Sementara Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata Malaysia akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ dengan Indonesia berhubung wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat.
Ia katanya boleh dilaksanakan menerusi kaedah perjanjian pembangunan bersama bagi membangunkan ekonomi kawasan sempadan, dalam masa yang sama menyelesaikan perkara berkaitan isu-isu teknikal. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan