Rabu, 2 Julai 2025

APAKAH JIWA MANUSIA KITA TIDAK TERUSIK ?



Hampir 600 rakyat Palestin terbunuh ketika ambil bantuan


GAZA: Sekurang-kurangnya 583 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 4,000 cedera sejak 27 Mei lalu ketika menunggu bantuan makanan di pusat agihan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tragedi itu berlaku di tengah-tengah krisis kebuluran yang semakin meruncing di wilayah yang dikepung itu.

Pusat-pusat bantuan berkenaan, yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), menjadi lokasi keganasan hampir setiap hari.

Dalam tempoh lapan hari pertama operasi GHF, lebih 100 orang dilaporkan terbunuh akibat tembakan oleh tentera Israel.

Wartawan tempatan melaporkan ramai penduduk kini takut untuk mendekati pusat-pusat ini kerana risiko ditembak, namun terpaksa berbuat demikian demi mendapatkan makanan untuk keluarga mereka.


Berbeza dengan rangkaian agihan bantuan yang dikendalikan oleh PBB sebelum ini, yang mempunyai kira-kira 400 lokasi, GHF hanya mengendalikan empat lokasi utama di selatan dan tengah Gaza, meninggalkan kawasan utara yang paling terjejas tanpa sebarang akses.

Menurut laporan Euro-Med Human Rights Monitor, pusat-pusat itu bukanlah zon selamat, sebaliknya menjadi 'medan pembunuhan' di mana tentera Israel didakwa sengaja menyasarkan orang awam yang kelaparan.

Beberapa saksi mendakwa tembakan dilakukan secara rawak dan terus ke arah kepala mangsa, walaupun tiada ancaman terhadap pasukan Israel.

Pakej bantuan yang diagihkan juga dikritik kerana tidak mencukupi.

Walaupun Pertubuhan Makanan Sedunia mengesyorkan 2,100 kalori sehari, bantuan yang dibenarkan hanya menyediakan sekitar 1,750 kalori - tanpa air bersih, ubat-ubatan atau bahan api.

Kecaman antarabangsa semakin meningkat, namun tiada siasatan bebas atau tanggungjawab yang jelas terhadap kes yang berlaku setakat ini.

Pemerhati hak asasi manusia menggesa siasatan segera dijalankan dan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa campur tangan ketenteraan.

Tentera Israel semalam mengakui terdapat warga Palestin tercedera sewaktu berada dekat pusat pengagihan bantuan di Semenanjung Gaza.

Sehubungan itu, satu arahan baharu dikeluarkan kepada tentera rejim Zionis sebagai 'pengajaran' yang harus mereka ambil.

Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan secara menyeluruh dilancarkan oleh pusat pemerintah selatan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterre pada Jumaat pula mendedahkan operasi bantuan GHF di Gaza yang disokong AS sebagai tidak selamat, sambil menambah ia sedang membunuh orang awam.

"Setiap operasi yang menolak orang awam terdesak ke zon ketenteraan sememangnya berisiko. Ia sedang membunuh orang," katanya. - REUTERS


APAKAH BILA

MEMBACA BERITA

INI JIWA MANUSIA

KITA TIDAK 

TERUSIK ?

AMIN

Tiada ulasan: