Polis Pakistan bongkar sindiket Ponzi, tipu mangsa pelaburan atas talian
ISLAMABAD: Polis Pakistan hari ini berjaya menahan 149 individu termasuk 71 warga asing yang kebanyakannya dari China dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan, menurut Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan.
Dalam satu kenyataan, agensi itu berkata penahanan itu sekali gus berjaya membongkar sebuah pusat panggilan yang terbabit dalam skim Ponzi iaitu penipuan pelaburan.
"Menerusi rangkaian penipuan ini, orang awam diperdaya dan sejumlah besar wang dikutip secara haram," katanya.
Agensi itu memaklumkan, tindakan dilakukan susulan maklumat risikan berhubung rangkaian berkenaan yang beroperasi di Faisalabad, sebuah pusat perindustrian di timur negara itu.
Menurut agensi itu kepada AFP, serbuan dilakukan di kediaman Tasheen Awan, bekas ketua grid elektrik bandar berkenaan, namun beliau masih bebas.
Kesemua yang ditahan kini berada dalam tahanan, merangkumi 78 warga Pakistan dan 48 warga China, selain warga Nigeria, Filipina, Sri Lanka, Bangladesh, Zimbabwe dan Myanmar. Daripada jumlah itu, 18 orang adalah wanita.
Salinan laporan polis menyatakan bahawa modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan memberikan pulangan kecil kepada mangsa menerusi pelaburan pertama yang dibuat oleh mereka.
Mangsa kemudiannya dipujuk untuk membuat pelaburan yang lebih besar.
"Sindiket itu dijalankan melalui WhatsApp bagi memperdaya orang awam dengan memberikan tugasan pelaburan kecil seperti melanggan pelbagai saluran TikTok dan YouTube.
"Kemudian, mereka memindahkan mangsa ke pautan Telegram untuk tugasan dalam talian lain yang memerlukan pelaburan lebih besar," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan