Ahad, 27 Julai 2025

POKOK JADI KIPAS


Program penanaman bakau perlu penyelarasan pihak berkuasa


HARI Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa disambut setiap tahun pada 26 Julai sejak diisytiharkan oleh UNESCO pada 6 November 2015. Sambutan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan ekosistem hutan bakau kepada alam semula jadi dan manusia.

Pokok bakau berperanan dalam melindungi kawasan pantai daripada bencana ribut dan ombak termasuk tsunami, sebagai habitat penting bagi hidupan laut, tempat asuhan hidupan laut, ekonomi penduduk tempatan dan sebagai penyerap karbon penting.

Isu hutan bakau di Malaysia telah mendapat perhatian ramai kerana kepentingannya kepada masyarakat tempatan, keselamatan daripada ombak dan kempen besar-besaran di peringkat global. Melindungi hutan bakau adalah untuk masa depan komuniti.

Bencana tsunami pada tahun 2004 akibat daripada gempa bumi di Lautan Hindi yang telah mengorbankan lebih 230,000 nyawa di 14 negara telah mengajar manusia tentang pentingnya benteng semula jadi hutan bakau yang mempunyai akar dan struktur pokoknya yang kuat.

Pengurangan hutan bakau global secara berterusan membimbangkan dunia, tambahan lagi apabila seluruh dunia bercakap tentang kesihatan planet, perubahan iklim, simpanan karbon dan hakisan pantai yang berlaku dengan cepat.

Di Malaysia, hutan bakau berkurang sebanyak 50 peratus sejak merdeka. Pembangunan pantai dan perbandaran, aktiviti akuakultur dan industri serta pelancongan menggangu kawasan pantai dan hutan bakau sebagai habitat semula jadi.

Kehilangan hutan bakau boleh menyebabkan kepupusan kepelbagaian biologi marin dan menjejas sumber perikanan dan pendapatan nelayan. Populasi hidupan liar yang unik seperti belangkas dan penyu akan terjejas apabila keadaan pantai yang terhakis tidak dilindungi.

Pengesanan cepat kehilangan hutan bakau sangat penting dengan menggunakan teknologi terkini penderiaan jauh untuk tindakan segera seperti penguatkuasaan undang-undang dan merancang program pemulihan ekosistem hutan bakau.

Program pemulihan hutan bakau terosot aktif melibatkan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan sukarelawan korporat. Pada tahun 2005-2017 mencatatkan kejayaan dengan penanaman hampir 7 juta pokok bakau di persisiran pantai seluruh negara.

Program penanaman pokok bakau memerlukan penyelarasan oleh pihak berkuasa. Pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia perlu mengenal pasti kawasan yang sesuai dan berkepentingan untuk di tanam dengan anak pokok bakau. Keadaan tempat, spesies dan kaedah yang sesuai perlu ditentukan untuk memastikan kelangsungan hidup anak bakau.

Peningkatan minat dan penglibatan pihak NGO, korporat serta pelajar sekolah dalam penanaman pokok bakau perlu dipandu oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pakar penyelidik. Lebih kurang 20-30 peratus sahaja anak bakau yang ditanam terus hidup, dan ini mesti ditingkatkan.

Dengan komitmen kerajaan untuk mengekalkan 50 peratus kawasan tanah diliputi hutan selaras dengan komitmen Sidang Kemuncak Bumi 1992, program pemulihan hutan bakau juga mesti diselaraskan dan dipantau dengan berkesan.

Kempen penanaman pokok bakau tidak boleh bersifat simbolik sahaja dan amalan “tanam dan tinggal”. Anggapkan aktiviti penanaman bakau bertujuan pemulihan habitat terosot sebenar. Maka aktiviti ini mesti dirancang dengan baik, dipantau dan diselenggara oleh pihak berkuasa, NGO dan sukarelawan berdekatan dengan tapak program.

Kawasan penting seperti hutan bakau di Merbok, muara Sungai Muda, Pantai Teluk Air Tawar Seberang Perai, Kuala Gula-Matang, Perak, pantai Selangor dan Johor, antara yang perlu diberikan perhatian. Lebih banyak kajian perlu dilakukan berkaitan ekosistem hutan bakau berkenaan.

Kawasan hutan bakau dengan pantai berlumpur yang landai menjadi tempat penting burung hijrah singgah. Ada diantara kawasan ini diiktiraf sebagai “Important Bird and Biodiversity Area (IBA)” yang juga sebagai tempat singgah burung hijrah dari Mongolia, China, Rusia, Korea dan Jepun.

Kawasan hutan bakau juga habitat penting bagi haiwan vetebrata lain seperti kera, lotong, memerang, musang, biawak, ular, burung dan kelawar. Semua haiwan ini mempunyai peranan masing-masing dalam pemuliharaan ekosistem hutan bakau.

Untuk kepentingan kepelbagaian biologi, program penanaman pokok bakau mesti lebih sistematik. Kajian berkaitan ekosistem perlu ditiingkatkan melibatkan institusi berkaitan. Kajian bekaitan spesies utama bakau seperti Rhizophora, Avicennia, Sonneratia, dan peranan mereka dalam ekosistem bakau, masih lagi berkurangan dan memerlukan perhatian segera

SAMA SAMA

KITA JAGA

ALAM SEKITAR

AMIN

DUNIA MAKIN 

PANAS

POKOK JADI KIBAS

KHALAS

Tiada ulasan: