Muhyiddin: Kini suara keramat rakyat mahu kamu turun, Anwar
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa suatu ketika dahulu dia pernah menyatakan bahawa suara rakyat adalah ‘suara keramat’.
Dalam satu hantaran Facebook, Muhyiddin meminta Anwar akur kehendak rakyat yang mahukan dia berundur, susulan himpunan “Turun Anwar” yang berlangsung di ibu negara semalam.
"Dulu kamu kata suara rakyat, suara keramat. Kini suara keramat rakyat sedang bergema di gegendang telinga kamu. Dengar suara rakyat baik-baik. Rakyat mahu kamu turun!
"Jangan berbohong kepada rakyat. Jangan zalim kepada rakyat. Jangan pandang enteng suara rakyat," katanya.
Dalam pada itu Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada orang ramai yang menggunakan hak kebebasan untuk berhimpun dan mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan perhimpunan itu berjalan lancar.
"Tahniah kepada Pemuda PN, badan-badan bukan kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini yang telah berjaya menghimpunkan lautan manusia dan mengurus acara dengan teratur walaupun banyak cabarannya.
"Terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan, Briged Armada, Jabatan Amal Malaysia dan semua pihak yang terlibat menjaga keselamatan para peserta himpunan.
“Alhamdulillah, keadaan terkawal dan tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Urimai, P Ramasamy dalam satu kenyataan menyifatkan himpunan itu sebagai “satu kejayaan besar,” dan mendakwa ia “seumpama lautan manusia.”
Malaysiakini menganggarkan kehadiran sekitar 25,000 orang menyertai perhimpunann itu, manakala penganjur pula mendakwa ia mencecah angka setengah juta orang.
Pun begitu, Ramasamy menganggarkan jumlah peserta antara 150,000 hingga 200,000 orang.
“Ada pemimpin pembangkang mungkin membesar-besarkan jumlah kehadiran pada waktu petang, tetapi angka yang hadir membuktikan tanpa ragu bahawa himpunan itu benar-benar mahu Anwar melepaskan jawatan.
“Ia ibarat pepatah: Anwar kini merasa sendiri ‘ubat’ yang dahulu pernah diberinya ketika memimpin gerakan reformasi semasa beliau di pihak pembangkang,” katanya.
Ramasamy berkata, walaupun majoriti peserta yang hadir adalah orang Melayu dari pelbagai negeri, kehadiran kaum Cina dan India juga sangat ketara.
“Gerakan membawa peserta Cina, manakala Urimai dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) membawa peserta India. Penyokong Urimai dari Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan berarak bersama dari Kuil Hindu Dewi Sri Pathrakaliamman, Masjid India, menuju ke Sogo.
“Urimai memang sengaja memilih kuil itu sebagai titik mula,” katanya merujuk kepada kuil di Masjid India yang sebelum ini menjadi tumpuan dalam isu pemindahan kontroversi pada Mac lalu.


1 ulasan:
Ko Meng ckp peserta perhimpunan tinggal sampah 15 tan...lu tak turun lu mana tau..jgn fitnah...perhimpunan paling bersih ..unit amal buat kerja...ku sejak joint UMNO dah jadi kaki fitnah...musibat betul la
Catat Ulasan