Pertempuran Thailand-Kemboja berlanjutan, masuk hari ketiga walaupun ada gesaan gencatan senjata
SISAKET, THAILAND: Pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja masuk hari ketiga hari ini, namun seakan ada sinar baru apabila kedua-dua pihak meminta sokongan diplomatik, menyatakan mereka bertindak mempertahankan diri dan menyeru pihak lain untuk menghentikan pertempuran serta memulakan rundingan.
Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan lebih 130,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran terburuk antara negara jiran di Asia Tenggara itu dalam tempoh 13 tahun.
Tentera laut Thailand berkata, terdapat pertempuran di wilayah pesisir pantai Trat awal hari ini, lebih 100 kilometer (km) dari titik konflik lain di sepanjang sempadan yang sekian lama dipertikaikan.
Ketegangan antara kedua-dua negara terbabit meningkat sejak Mei lalu susulan insiden berdarah yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Tentera di kedua-dua sempadan diperkuatkan di tengah-tengah krisis diplomatik besar yang membawa kerajaan pakatan Thailand yang goyah ke ambang kehancuran.
Angka kematian di Thailand kekal 19 orang hari ini, manakala jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, berkata lima tentera dan lapan orang awam terbunuh dalam pertempuran itu.
Di daerah Kanthralak di wilayah Sisaket, Thailand, di sempadan berhampiran beberapa pertempuran, pekerja hotel, Chianuwat Thalalai, berkata bandar itu sudah dikosongkan.
"Hampir semua penduduk sudah berpindah, ia hampir sebuah bandar terbiar.
"Hotel ini masih dibuka kepada individu yang berada berhampiran dengan kawasan sempadan yang memerlukan tempat tinggal," katanya.
Duta Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cherdchai Chaivaivid memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan pada Jumaat, tenteranya cedera akibat periuk api yang baru ditanam di wilayah Thailand sebanyak dua kali sejak pertengahan Julai.
Tambahnya, Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan negara itu kemudiannya melancarkan serangan pada pagi Khamis.
"Thailand menggesa Kemboja untuk menghentikan segera semua permusuhan dan tindakan pencerobohan, sekali gus menyambung semula dialog dengan niat baik," katanya kepada majlis itu dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan