MP kemuka usul tergempar isu undangan pada Trump
Beberapa anggota parlimen mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membahaskan isu undangan kerajaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Usul itu, yang dikemukakan bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), menggesa Dewan Rakyat membahaskan isu-isu tersebut bagi menangani kebimbangan awam yang semakin meningkat.
Dalam kenyataan hari ini, Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata Speaker Dewan Rakyat semalam menerima usulnya untuk membahaskan jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.
Usul itu, katanya, perlu disegerakan memandangkan Sidang Kemuncak Asean dijangka berlangsung dalam masa kurang daripada sebulan, dan keputusan parlimen penting untuk memastikan Malaysia tidak dilihat sebagai mengiktiraf "pemimpin yang menyokong kezaliman Zionis".
“Saya berharap Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan mempertimbangkan dan meluluskan usul ini untuk dibahaskan segera, demi memastikan pendirian tegas Malaysia terhadap Palestin dan keadilan sejagat tidak dikompromikan.
“Malaysia mesti berdiri di sisi kebenaran walau siapa pun tetamu yang datang,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menjelaskan bahawa sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia wajib menjemput semua rakan dialog ke sidang kemuncak itu. Ia berkata peluang itu akan digunakan untuk menyampaikan pendirian Malaysia mengenai Gaza secara langsung kepada Trump.
Walaupun Malaysia kekal prihatin terhadap penderitaan Palestin, kerajaan mengekalkan pendirian bahawa ia mesti menilai objektif di sebalik jemputan rasmi Asean kepada Trump.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan