Isnin, 24 November 2025

AL-FATIHAH


Israel dakwa bunuh ketua staf Hizbullah dalam serangan di Beirut

BEIRUT: Israel dilapor membunuh ketua ketenteraan Hizbullah dalam satu serangan ke atas sebuah pangsapuri yang menyebabkan lima maut di Beirut, semalam.

Haytham Ali Tabatabai ialah komander Hizbullah paling kanan dilaporkan maut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negaranya 'tidak akan membenarkan Hizbullah membina semula kekuatannya' malah menggesa kerajaan Lubnan 'menunaikan komitmen untuk melucutkan senjata Hizbullah'.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan itu membunuh lima orang dan mencederakan 28 individu lagi.

Kementerian itu tidak mendedahkan identiti mereka yang terkorban dalam serangan di kawasan Haret Hreik di selatan Beirut, kawasan berpenduduk padat yang dikuasai Hizbullah.

Bagaimanapun, Hizbullah itu kemudian berkata, empat pejuangnya terbunuh.

Dalam satu kenyataan sejurus selepas serangan itu, tentera Israel berkata mereka sudah 'menghapuskan pengganas Haytham Ali Tabatabai, ketua staf umum Hizbullah'.

Ia adalah serangan kelima Israel di kawasan selatan Beirut sejak gencatan senjata dicapai pada November 2024, setahun konflik dan berlaku seminggu sebelum Paus Leo XIV dijadualkan melawat Lubnan.

Tentera Israel dalam kenyataannya menegaskan, mereka 'kekal komited' kepada gencatan senjata itu.

Hizbullah mengesahkan dalam kenyataan, berlaku pembunuhan 'komander utama' Tabatabai dalam 'serangan khianat Israel'.

Sementara itu, seorang wartawan AFP di lokasi berkata, serangan itu mengenai tingkat tiga dan empat bangunan sembilan tingkat, dengan pasukan ambulan dan bomba bergegas mencari mangsa terselamat, manakala tentera Lubnan dikerahkan mengawal kawasan.

Sisa runtuhan memenuhi jalan di bawah, dengan beberapa kereta juga dilihat hangus di atas jalan.

Wartawan AFP kemudian melihat pekerja penyelamat membawa keluar satu mayat yang dibalut beg putih dan sekurang-kurangnya tiga wanita cedera dari lokasi itu.

"Saya berada di balkoni dan melihat ada satu kilatan, menyebabkan saya terhentak pada pagar dan semua kaca pecah," kata seorang lelaki yang berada di bangunan bertentangan.

Agensi Berita Nasional Lubnan pula melaporkan, tiga peluru berpandu ditembak ke arah bangunan itu.

Pejabat Netanyahu mengesahkan mengarahkan serangan itu.

"Di tengah Beirut, IDF (tentera Israel) menyerang ketua staf Hizbullah yang mengetuai pembinaan semula dan persenjataan organisasi pengganas itu," kata pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pula memberi amaran, 'sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel, tangannya akan dipotong',

Dia juga memberi amaran bahawa Israel akan 'meneruskan dasar penguatkuasaan maksimum'.

Serangan semalam adalah yang pertama di kawasan selatan Beirut sejak 5 Jun lalu, apabila Israel mengesahkan, mereka menyerang sebuah kilang dron Hizbullah.

Dalam perkembangan itu, menurut kenyataan Hizbulllah, Tabatabai, yang lahir pada tahun 1968 hampir tidak dikenali umum di Lubnan.

Sumber rapat kepada AFP menyatakan, sebelum menyandang jawatan sebagai ketua ketenteraan, Tabatabai 'bertanggungjawab bagi fail Yaman' dalam kumpulan itu.

Amerika Syarikat (AS) berkata, Tabatabai mengetuai pasukan khas di mana Hizbulllah menyokong bekas Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara yang kejam.

Jabatan Perbendaharaan AS pernah menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM24 juta) terhadap maklumat Tabatabai.

AL-FATIHAH

UNTUK YANG

GUGUR

AMIN

UNTUK YG LAIN

TERUS BERJUANG

AMIN

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

This is just a Brazilian hello 👋 “Bom Dia!” lol