Lebih 250 korban banjir Asia Tenggara, Indonesia dan Thailand paling teruk
MEDAN (Indonesia): Banjir dahsyat Asia Tenggara meragut lebih 250 nyawa, dengan Indonesia dan Thailand merekodkan angka korban tertinggi, menurut pihak berkuasa.
Hujan lebat musim monsun digabungkan dengan sistem ribut tropika menenggelamkan banyak kawasan di negara terbabit, memaksa penduduk berlindung di atas bumbung ketika akses ke seluruh komuniti terputus.
Di Indonesia, pihak berkuasa bergelut untuk sampai ke kawasan paling terjejas di pulau Sumatera, dengan pegawai memaklumkan banjir dan tanah runtuh minggu ini meragut sekurang-kurangnya 111 nyawa, dengan hampir 100 lagi masih hilang.
Jurucakap polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan, memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa memberi tumpuan kepada pemindahan penduduk dan penyampaian bantuan, ketika akses ke beberapa kawasan serta komunikasi masih terputus.
"Mudah-mudahan cuaca kembali baik supaya kami dapat menghantar helikopter ke kawasan paling teruk terjejas," katanya.
Di wilayah Aceh, air surut meninggalkan lumpur tebal yang menimbus kereta sehingga hampir paras tingkap.
Seorang wartawan AFP melihat sendiri sebuah lori membawa kayu ditinggalkan dalam lumpur tanpa pemandu.
Lebih banyak hujan diramal di banyak bahagian Sumatera, walaupun intensitinya dijangka berkurangan, menurut pegawai.
Di Selatan Thailand pula, banjir memaksa penduduk Hatyai berpaut pada bumbung rumah sambil menunggu diselamatkan pasukan penyelamat yang menggunakan bot.
Sekurang-kurangnya 145 orang terkorban di wilayah selatan negara itu, kata jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat, ketika air banjir mula surut dan meninggalkan gambaran sebenar mengenai bencana itu.
Di Hospital Songklanagarind, petugas tidak lagi mempunyai ruang untuk menerima mayat dan kini terpaksa bergantung kepada trak dengan kontena sejuk beku yang disediakan kerajaan sebagai sokongan.
"Bilik mayat sudah melebihi kapasiti, jadi kami perlukan lebih banyak," kata Charn, seorang pegawai bilik mayat yang hanya memberikan nama pertamanya.
Kritikan awam semakin meningkat terhadap respons banjir di Selatan Thailand, dengan dua pegawai tempatan digantung tugas atas dakwaan kegagalan mereka mengendalikan situasi itu.
Musim monsun tahunan, lazimnya antara Jun dan September, sering membawa hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat, namun ribut tropika memburukkan keadaan.
Perubahan iklim mempengaruhi corak ribut, termasuk tempoh dan intensiti musim itu menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan tiupan angin lebih kuat.
Iklim lebih panas menyimpan lebih banyak lembapan, mencetus hujan lebih ekstrem manakala lautan yang lebih panas berisiko memperkuat sistem ribut.
Sementara itu, di Sri Lanka angka korban banjir dan tanah runtuh meningkat kepada 56 orang, dengan 21 masih hilang selepas hujan lebat berterusan di beberapa wilayah, menurut Pusat Pengurusan Bencana negara itu.
Lebih 10 orang cedera, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara dan operasi SAR dihalang cabaran tanah runtuh.
Kebanyakan kematian dilaporkan berlaku di kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan ladang teh, termasuk Badulla dan Nuwara Eliya, kira-kira 300 kilometer (km) dari ibu negara Colombo.
Hujan monsun yang melanda sejak awal minggu ini turut menyebabkan gangguan besar terhadap perkhidmatan kereta api dan penutupan jalan utama di seluruh negara. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan