'Kenapa pemimpin GRS tak ambil tindakan terhadap saya?
Ahli perniagaan, Albert Tei mempersoalkan mengapa tiada laporan polis atau tindakan undang-undang diambil terhadapnya sekiranya dakwaan yang mengaitkan beberapa ahli politik Sabah dengan skandal lesen perlombongan tidak benar.
Tei berkata ketiadaan tindakan terhadapnya sekali gus menguatkan dakwaannya, selain membidas kenyataan terbaru ketua menteri sementara Sabah, Hajiji Noor, yang mengatakan kerajaan GRS tetap tegas menolak kewujudan ‘kartel’.
Pengerusi GRS itu, yang dituduh oleh Tei menerima rasuah berkaitan skandal perlombongan terbabit, dilapor berkata bahawa kartel cuba memanipulasi dan menguasai permohonan lesen mineral di negeri itu.
“Jika (Hajiji) tidak bersalah… mengapa beliau tidak membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman fitnah terhadap saya?
“Apa sebenarnya yang membuatkan beliau, sebagai ketua menteri yang memegang kuasa tertinggi di Sabah, takut dan bimbang untuk berdepan dengan saya?” soal Tei dalam satu kenyataan hari ini.
Dia menegaskan bahawa jika dakwaannya terhadap 15 “VVIP” GRS terlibat dalam rasuah adalah “jahat dan memfitnah”, maka tindakan undang-undang sepatutnya telah pun diambil terhadapnya.
“Pemimpin GRS yang terlibat dalam rasuah ini seperti burung unta yang menyorok kepala dalam pasir – berpura-pura tidak dengar dan tidak nampak untuk mengelakkan isu ini.
“Saya sentiasa menunggu tindakan susulan daripada 15 ‘VVIP’ ini, terutama Hajiji, tetapi hingga kini mereka terus mengabaikan semua yang saya lakukan,” katanya.
Menurutnya ketiadaan tindakan itu mungkin kerana mereka yang dituduh “tahu” bahawa pemberi maklumat berkenaan memiliki “pelbagai bukti, termasuk rakaman video lain yang akan menyusahkan mereka”.
Tei juga menegaskan bahawa jika perlu, dia bersedia mendedahkan bahan-bahan itu kepada umum atau di mahkamah kelak.
Pada Nov tahun lalu, Adun Tempasuk, Arsad Bistari membuat laporan polis menafikan kandungan satu rakaman yang mengaitkannya dalam dakwaan rasuah, dengan wakil rakyat GRS itu mendakwa perbualannya dalam rakaman tersebut telah disunting.
Ketika itu, Malaysiakini menerima panggilan daripada seorang pegawai polis Kota Kinabalu yang meminta kerjasama daripada wartawannya.
Pada Feb tahun ini, Adun Membakut Mohd Arifin Arif turut membuat laporan polis terhadap laporan Malaysiakini yang memetik seorang pemberi maklumat mendakwa Arifin cuba menjadi orang tengah untuk “menyelesaikan” skandal rasuah yang melibatkan beberapa Adun Sabah.
Arifin, yang juga menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, menafikan dakwaan itu sebagai “tidak tepat, mengelirukan, dan mengandungi fakta yang salah serta berunsur fitnah”.
Namun begitu, Malaysiakini belum pernah dipanggil untuk membantu siasatan polis berkaitan laporan Arifin itu.
Tei merupakan pemberi maklumat yang mendedahkan skandal tersebut tahun lalu, yang setakat ini telah mengaitkan lebih 12 Adun Sabah – dua daripadanya sudah didakwa di mahkamah.
Selain dua wakil rakyat itu – Andi Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yacob (Sindumin) – Tei sendiri turut didakwa kerana menawar dan memberi rasuah kepada mereka.
Semalam, dalam wawancara dengan Free Malaysia Today, Hajiji dilapor menempelak penafian individu yang terlibat dalam skandal itu, dengan berkata: "Di mahkamah, cakap dia tidak bagi. Jadi siapa yang bagi? Hantu dari mana?”
Walaupun Hajiji tidak menyebut mana-mana nama dalam laporan itu, Tei mendesaknya mengemukakan fakta untuk menyokong tuduhan tersebut.
“Apa yang Hajiji katakan adalah satu dakwaan yang sangat serius, kerana dia telah memutarbelitkan kenyataan saya di mahkamah.
“Jika Hajiji gagal mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya, ini bermakna tindakannya mengandungi unsur memanipulasi fakta perbicaraan yang sedang berlangsung,” tegas Tei.
Tei berkata dia akan membincangkan perkara itu dengan pasukan peguamnya, dan seterusnya mungkin memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Hajiji di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan