Rasuah: Bekas SUSK bekas Menteri Pelancongan kena jel 6 tahun, denda RM8.8 juta
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah terhadap lapan tuduhan menerima rasuah RM1.77 juta berkaitan tender perkhidmatan pengiklanan kementerian itu pada tahun 2018.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin mengenakan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas imbangan kebarangkalian.
Sepanjang prosiding, Mohd Saifullah, 34 yang berkot biru dan berada dalam kandang tertuduh, menangis teresak-esak ketika Suzana mensabitkan dan menjatuhkan hukuman berkenaan.
Suzana turut memerintahkan Mohd Saifullah yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Datuk Mohamaddin Ketapi, dipenjara tujuh tahun jika gagal membayar jumlah denda terbabit.
"Mahkamah telah mensabitkan kamu dengan semua tuduhan, seterusnya mahkamah mempertimbangkan mitigasi untuk meringankan hukuman dan juga mendengar hujahan pendakwaan bagi pemberatan hukuman.
"Saya harap hukuman ini dapat menginsafkan kamu dan mengelakkan kamu daripada melakukan kesalahan pada masa akan datang.
"Kamu masih muda dan harap kamu akan insaf dan berubah kepada yang lebih baik," katanya.
Penilaian maksimum
Terdahulu Suzana dalam penghakimannya berkata, mahkamah mensabitkan Mohd Saifullah selepas mendengar keterangan saksi pembelaan dan membuat penilaian maksimum terhadap semua keterangan termasuk keterangan saksi pendakwaan serta meneliti hujahan kedua-dua belah pihak.
Katanya, oleh itu, pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan tanpa sebarang keraguan munasabah. Dengan itu mahkamah mensabitkan kamu dengan pertuduhan berkenaan.
Hakim itu bagaimanapun membenarkan permohonan peguam bela, Asyraaf Abu Bakar Hamzah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya, sementara rayuannya diputuskan mahkamah.
Mohd Saifullah didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender "Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative).
Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat Inter Bev Network dan tender 'Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat antaranya di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri, di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; di Vipod Residences dan PETRONAS Dengkil antara jam 11 pagi hingga 11.30 malam, pada 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Ketika menghujahkan rayuan bagi diringankan hukuman, Asyraaf berkata, anak guamnya yang bertugas sebagai setiausaha sulit kanan ketika kejadian, masih muda dan naif dalam hal ehwal politik, telah diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan.
"Tertuduh mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan masih boleh beri manfaat kepada masyarakat. Tertuduh adalah pesalah kali pertama, dan sepanjang lima tahun perbicaraan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik dan telah insaf," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon hukuman berat kerana tindakan tertuduh bukan sahaja mencemarkan imej keluarga, tetapi memberi kesan langsung kepada kepercayaan masyarakat terhadap integriti dan ketelusan urus tadbir kerajaan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan