Banjir monsun timur laut belum berlaku, kata tentera
SEMUA agensi perlu bersedia menghadapi bencana lebih buruk kerana banjir yang sepatutnya dibawa monsun timur laut masih belum berlaku, kata Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang.
Katanya, pasukan itu sendiri sudah membuat persediaan untuk operasi menyelamat apabila ia melanda empat negeri yang lazim terlibat banjir monsun itu.
“(Banjir monsun timur laut) ini belum terjadi lagi. Semua anggota kita sudah bersedia di negeri berkenaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami lebih bersedia, maknanya (ancaman monsun timur laut) ini kita sudah tahu apa hendak jadi, semuanya sudah diletakkan dalam keadaan siap siaga.
“Tetapi ingin saya ingatkan banjir ini tidak seteruk yang akan sampai. Monsun belum sampai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor,” katanya.
Banjir buruk yang berlaku sejak hujung minggu lalu pula disebab kesan cuaca berkaitan dengan luruan Taufan Rai yang melanda Filipina dan Vietnam.
Mengulas lanjut, Affendi berkata agensi itu memberi tumpuan kepada Pahang kerana lebih banyak lokasi dan mangsa terjejas banjir di negeri itu.
“Di Pahang buat masa kini dengan jumlah mangsa seramai 38,399 orang.
“Sembilan kawasan yang melibatkan atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.
“Setiap atur gerak melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota,” katanya yang turut meminta semua pihak berhenti menuding jari dan bersedia menghadapi bencana itu.
Affendi berkata keadaan di negeri Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa kini masih terkawal.
Bagaimanapun, katanya ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri.
Kompeni ini akan diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.
“ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekunder yang merupakan antara peranan yang kita laksanakan selain dari memikul tugas utama menjaga kedaulatan tanah air,” katanya. – 23 Disember, 2021.
1 ulasan:
Satu Malaysia pelik melik, tugas doktor dibuat Ahli ekonomi, rugas politik dibuat oleh kakitangan AWAM, tugas tukang paip dibuat oleh tukang elektrik, tukang jalan pula buat bangunan, patut lah Malaysia Semua huru hara, Munke tanggungjawab mana ? Gaji elaun ambik setiap bulan? Atau derma dah kepada mangsa banjir ? Adoi pening pening lagu ini, mana Che Det, suruh lah lantik orang yang cerdik sikit, tak payah cerdik banyak, cerdik aikido sudah, ini yang patut jadi tok imam jadi Munke, patut huru hara begini kah kah kah yang patut kat masjid tu simpan sana tak payah masuk politik YB karut marut lah kah kah kah
Catat Ulasan