Potong gaji menteri tak selesai isu kos sara hidup, kata Mahdzir Khalid
TINDAKAN mengurangkan gaji menteri kabinet tetap tidak akan menyelesaikan isu kos sara hidup, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.
Beliau tidak berganjak daripada pendirian itu dan menegaskan Perdana Menteri Ismail Sabri sudahpun melakukan usaha terbaik untuk menangani isu kos sara hidup melalui pemberian subsidi kepada rakyat.
Jelasnya, beliau tidak endah dengan kritikan yang timbul selepas beliau menolak cadangan memotong gaji menteri diutarakan bekas menteri Rafidah Aziz.
Ahli Parlimen Padang Terap itu juga melihat saranan Rafidah itu sebagai satu sindiran ke atas pentadbiran Ismail.
“Sebagai orang lama dalam politik Rafidah Aziz sepatutnya berjumpa dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menyatakan pandangan.
“Bukannya dengan meluahkan di media sosial. Rafidah orang lama bekas menteri dan berpenggal- penggal lama. Datanglah jumpa perdana menteri. Kata saya bekas menteri ada nak beri cadangan.
“Tak payahlah nak bercakap keluar dekat laman sosial, lepas itu nampak macam-macam perli-perli. Saya tidak kisah kalau nak kritik tak apalah, saya tak ada masalah,” katanya.
Rafidah dalam satu kenyataan yang tular di media sosial pada Jumaat menyeru gaji para menteri dipotong sebagai tanda memahami kesukaran ditanggung rakyat waktu ini.
Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Mahdzir yang juga naib presiden Umno tetapi disambut dengan terbuka oleh seorang menteri veteran Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Mahdzir mengarahkan rakyat supaya faham bahawa isu bekalan makanan dan peningkatan kos sara hidup bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi masalah seluruh dunia.
Katanya, fenomena global itu merupakan kesan pandemik Covid-19 kerana banyak negara tidak dapat mengeluarkan produk makanan.
“Ia sebenarnya berlaku pengeluaran dan permintaan. Ada sesetengah tempat itu tak ada pengeluaran makanan, ada yang ada tidak boleh eksport pula.
“Jadi di peringkat global ini ada kekurangan bekalan di negara masing-masing,” katanya yang memberi contoh sekatan eksport gandum oleh India untuk menjamin bekalan dalam negara.
Tambahnya, kerajaan masih memberikan banyak subsidi untuk memastikan harga barang tidak meningkat dengan mendadak sehingga membebankan rakyat.
“Sebab itu walau harga arang batu tinggi tapi perdana menteri kata nak kekalkan tak naikkan harga pengeluaran tenaga biarpun arang batu dan gas mahal tapi kerajaan nak teruskan subsidi.
“Sama juga dengan harga ayam walaupun pada awal perdana menteri kata nak apungkan harga ayam tapi kemudian beliau tarik balik,” katanya yang menambah langkah itu dibuat demi rakyat.
Mahdzir bercakap kepada pemberita di selepas program konvokesyen Kolej Ketengah di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.
Selain tekanan untuk menstabilkan bekalan dan harga bahan keperluan asas, Ismail juga berdepan asakan politik pelbagai pihak termasuk dari pemimpin partinya.
Beberapa pertubuhan pelajar sudahpun mengumumkan tekad untuk turun berdemonstrasi sekiranya kerajaan tidak mampu menangani kenaikan harga bekalan keperluan asas.
Amaran serupa disuarakan pembangkang yang mahu Ismail segera mengumumkan langkah bagi menstabilkan harga barang tersebut.
Tekanan berkenaan antara lain memaksa beliau mengubah keputusan memansuhkan subsidi minyak masak untuk bungkusan dalam botol yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Julai.
Seterusnya semalam, Ismail mengumumkan kerajaan tidak akan mengapungkan harga ayam dan juga berjanji akan mengumumkan harga siling baharu dalam masa terdekat.
Selain itu, beliau juga memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air dan elektrik bagi semenanjung.
Pada masa sama, Ismail ditekan untuk melaksanakan pemberian subsidi bersasar bagi bahan api RON95 dan juga diesel bagi menangani beban subsidi besar yang ditanggung negara.
Kementerian Kewangan semalam mengumumkan negara membelanjakan RM77.3 bilion setakat ini bagi perbelanjaan subsidi yang merupakan jumlah paling besar dalam sejarah.
Ia termasuk RM37.3 bilion untuk subsidi bahan api, RM4 bilion untuk minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. – 26 Jun, 2022.
1 ulasan:
Apa kata rakyat boikot dulu beli ayam....Rule of Law of Demand, bila xde org beli jatuhlah harga dia, sekejap saja penyelesaian ni, mana penjual/penternak nk pi buang ayam tu? Pembeli yg tentukan bukan penjual yg tetapkan...kenapa pasaran /rakyat x didedahkan dgn cara ini, x perlu kepada apungan dsbnya... #boikotbeliayam
Catat Ulasan