Khamis, 23 Mei 2024

SINGKIR BLACKROCK DARI KWSP



KWSP diseru singkir BlackRock, tekanan meningkat untuk Anwar bertindak demi Palestin

Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus berdepan tekanan berhubung penglibatan syarikat milik BlackRock - dana pelaburan global yang diserang atas dakwaan terlibat jenayah perang Israel - dalam sebuah konsortium menguruskan lapangan terbang seluruh negara.

Kali ini, lebih 20 kumpulan mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana di bawah Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar, untuk menamatkan sebarang urusan dengan syarikat itu.

"Gesaan kami didorong oleh pembunuhan beramai-ramai yang berterusan oleh Israel terhadap rakyat Gaza yang tidak bersalah dan keperluan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan seperti KWSP untuk sedar akan tanggungjawab kemanusiaan mereka menamatkan apa-apa penglibatan dalam pembunuhan beramai-ramai, iaitu jenayah paling dahsyat," kata memorandum kepada KWSP yang ditandatangani oleh 22 kumpulan termasuk  BDS Malaysia, wakil gerakan global yang memboikot kepentingan Israel.

KWSP bersama-sama Khazanah Nasional akan mempunyai pemilikan sehingga 70% dalam sebuah konsortium diumumkan baru-baru ini untuk mengambil alih Malaysia Airports Holding (MAHB), syarikat berkaitan kerajaan yang menguruskan lapangan terbang di seluruh negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baki 30% akan dipegang oleh Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat yang dibeli BlackRock awal tahun ini pada harga AS$$12.5 bilion.

Penyertaan GIP dalam konsortium itu mencetuskan protes disebabkan peranan BlackRock dalam memperkasakan ekonomi Israel serta penglibatannya dalam industri senjata AS yang telah diperincikan.

Dalam memorandum hari ini, BlackRock disifatkan syarikat yang "meraih keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai", dengan merujuk kepada penglibatannya dalam industri ketenteraan AS.

"Ia mempunyai pelaburan besar di Israel, beroperasi di sana sejak 2016. Dengan meneruskannya, ia enggan mengakui dasar apartheid dan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin," kata memorandum itu, sambil menambah bahawa Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock, Larry Fink, adalah "ketua sorak pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin".

'Bukan untuk faedah politik'

Kumpulan itu berkata tuntutan mereka kepada KWSP didorong oleh perasaan kemanusiaan dan "bukan keinginan untuk meraih faedah politik", sambil menambah tidak timbul persoalan pentadbiran mana harus dipersalahkan atas pembelian saham Malaysia oleh BlackRock di pasaran terbuka di masa lampau.

"Tiada ada apa-apa alasan mewajarkan hubungan dengannya sebaik sahaja peranannya dalam pembunuhan beramai-ramai diketahui," tambah kenyataan itu.

Kumpulan itu turut merujuk kepada usaha lobi Zionis di AS untuk menghapuskan suara pro-Palestin melalui "kuasa wang" dan "penindasan ganas" terhadap protes, termasuk tunjuk perasaan pelajar di AS yang menyaksikan polis menceroboh beberapa kampus terkemuka untuk menyuraikan bantahan terhadap kekejaman Israel.

Mereka berkata tindakan kumpulan Zionis di AS adalahg bukti "bagaimana kekuatan wang Zionis dijadikan senjata".

"Disebabkan inilah, mereka yang ingin melihat pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang berakhir di Palestin harus melakukan perkara yang munasabah dengan menafikan sebarang keuntungan kepada Zionis."

Kumpulan itu juga berkata KWSP pada masa ini mengambil khidmat BlackRock menguruskan dananya berjumlah RM932 juta dengan yuran yang tinggi.

"Tanggungjawab kerajaan Malaysia, KWSP dan kita semua untuk bertindak sekarang - demi rakyat Palestin dan keamanan yang berpanjangan di Timur Tengah."

Minggu lalu, Anwar menolak bantahan terhadap penyertaan GIP, sebaliknya menuduh ahli politik pembangkang menghasut.

Bantahan melibatkan konsortium lapangan terbang itu adalah yang terbaharu dalam beberapa tindak tanduk kerajaan Anwar yang dilihat beralih daripada dasar tegas kerajaan terdahulu terhadap Israel.

Awal bulan ini, Anwar mempertahankan keputusan membenarkan beberapa syarikat pertahanan AS yang dituduh bersubahat dalam jenayah perang Israel untuk menyertai pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec) di Kuala Lumpur.

Syarikat itu termasuk Lockheed Martin, di mana BlackRock memegang 7.4% kepentingan.

BlackRock juga merupakan pemegang saham kedua terbesar dalam McDonald's Corp dan Starbucks, rangkaian makanan segera dan francais kopi yang turut menjadi sasaran gerakan boikot global termasuk di Malaysia.

ANWAR MAIN

SANDIWARA

DENGAN

BLACKROCK

AMIN 

Tiada ulasan: