Kes Zara Qairina Serlah Kelemahan Asas Sistem Perundangan Malaysia
Kematian tragis Zara Qairina bukan sekadar meragut nyawa seorang anak, tetapi menjadi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara. Peristiwa ini mengundang persoalan besar mengenai ketelusan dan integriti proses siasatan kematian di Malaysia.
Keadaan ini menyerlahkan kelemahan asas dalam sistem perundangan kita iaitu ketiadaan sebuah Akta Undang-Undang Koroner yang berfungsi secara bebas seperti yang telah lama diamalkan di Singapura dan United Kingdom.
Di Malaysia, kerangka undang-undang sedia ada, adalah untuk siasatan kematian berpandukan Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Mengikut peruntukan ini, pegawai polis memulakan siasatan kematian, mengarahkan post mortem dan, jika perlu, membawa kes kepada majistret untuk inkues.
Sistem ini meletakkan kuasa utama di tangan pihak penguat kuasa yang pada masa yang sama mungkin menjadi subjek siasatan, sekali gus mewujudkan konflik kepentingan yang ketara dan membuka ruang kepada kecuaian.
Ketiadaan institusi koroner yang bebas menimbulkan risiko campur tangan dan bias, terutama dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan atau melibatkan agensi penguatkuasaan.
Sejarah telah berkali-kali membuktikan kelemahan ini. Kes Teoh Beng Hock pada 2009, misalnya, mendedahkan bagaimana kematian misteri seorang saksi SPRM dalam bangunan agensi tersebut membawa kepada inkues yang berlarutan, dapatan yang bercanggah, dan desakan berterusan oleh keluarga serta masyarakat sivil untuk mendapatkan jawapan yang sahih.
Kes A. Kugan pada 2009, contohnya, memperlihatkan percanggahan ketara antara dua laporan bedah siasat; kes Ahmad Sarbani Mohamed pada 2011 pula menimbulkan pertikaian antara dapatan inkues dan keputusan mahkamah sivil; kes S. Balamurugan pada 2017 menunjukkan kegagalan mematuhi arahan majistret sehingga mangsa meninggal dunia dalam tahanan; dan kes A. Ganapathy pada 2021 mengesahkan kecuaian pengendalian tahanan sehingga membawa maut.
Dalam kes pelajar, insiden seperti kematian Mohamad Thaqif Amin pada 2017 dan S. Vinosiny pada 2022 menonjolkan isu kelewatan, percanggahan, dan komunikasi yang tidak telus dalam menentukan punca kematian.
Kes-kes ini menggambarkan corak berulang iaitu ketidaktelusan siasatan, standardisasi forensik yang tidak konsisten, dan kekangan akses keluarga terhadap bukti — yang sama seperti apa yang sedang dipersoalkan dalam kes Zara.
Keluarga si mati sering berdepan kekangan untuk mendapatkan akses penuh kepada dokumen siasatan, bukti forensik dan laporan post mortem.
Ketidakselarasan prosedur antara negeri dan daerah, yang bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat dan majistret, hanya memburukkan lagi keadaan, sementara keyakinan awam terus merudum apabila keputusan siasatan dianggap berat sebelah atau tidak telus.
Kes Zara menjadi gambaran nyata masalah ini. Keluarganya memerlukan jawapan yang sahih, namun terpaksa bergantung kepada saluran yang sama yang berpotensi mempertahankan institusi sendiri atau terdedah kepada kecuaian pihak penguat kuasa.
Sekiranya Malaysia memiliki sebuah Akta Undang-Undang Koroner seperti di Singapura melalui Coroners Act 2010 atau di United Kingdom melalui Coroners and Justice Act 2009, proses siasatan kematian akan dikendalikan secara bebas dan neutral oleh koroner yang tidak terikat kepada polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan. Setiap kematian luar biasa, mencurigakan atau tidak diketahui puncanya akan melalui prosedur seragam di seluruh negara.
Waris akan mempunyai hak undang-undang untuk mendapatkan maklumat siasatan, mengemukakan soalan dan memanggil saksi dalam inkues. Integriti forensik juga akan lebih kukuh kerana autopsi dilaksanakan di bawah arahan koroner dengan pakar forensik bebas, mengurangkan risiko manipulasi atau penghilangan bukti.
Lebih penting, keputusan yang dikeluarkan oleh institusi bebas akan meningkatkan semula kepercayaan awam terhadap proses keadilan.
Sistem koroner di negara lain telah membuktikan keberkesanannya. Di Singapura, Coroners Act 2010 mewajibkan setiap kematian yang tidak semula jadi, tiba-tiba atau tidak dapat dijelaskan dilaporkan kepada koroner.
Koroner mempunyai kuasa memerintahkan autopsi, memanggil saksi dan menentukan punca kematian secara terbuka. Di United Kingdom, Coroners and Justice Act 2009 memastikan koroner adalah pegawai kehakiman bebas yang menyiasat kematian demi kepentingan awam, terutamanya dalam kes berprofil tinggi atau melibatkan agensi kerajaan.
Di Australia dan Kanada, sistem koroner digunakan di peringkat negeri atau provinsi, dengan bidang kuasa bebas daripada polis, dan laporan mereka sering menjadi asas kepada pembaharuan polisi dan undang-undang.
Model-model ini menunjukkan bagaimana institusi koroner yang bebas bukan sahaja memberi jawapan kepada keluarga mangsa, tetapi juga berfungsi sebagai mekanisme akauntabiliti negara terhadap nyawa rakyatnya.
Kes Zara adalah peringatan keras bahawa nyawa rakyat tidak boleh diperlakukan sebagai angka dalam statistik. Malaysia memerlukan sebuah Akta Undang-Undang Koroner yang memastikan setiap kematian mencurigakan disiasat oleh badan bebas yang telus, profesional dan berwibawa.
Kelewatan untuk bertindak hanya akan menyebabkan lebih banyak keluarga terus terumbang-ambing mencari kebenaran yang mungkin terkubur bersama jasad orang tersayang.
Jika Singapura, United Kingdom, Australia dan Kanada telah membuktikan keberkesanan sistem ini, tiada alasan munasabah bagi Malaysia untuk terus bergantung kepada model lapuk yang bersandar pada budi bicara pihak berkepentingan. Kebenaran adalah hak, bukan ihsan, dan kes Zara harus menjadi titik mula kepada reformasi ini.
Setiausaha Agung – Sekretariat Tanahair


Tiada ulasan:
Catat Ulasan