Dedah bahaya makan malam, saya tiada niat hasut orang boikot restoran – Dr Afif
KUALA LUMPUR – Seorang doktor menafikan dakwaan kononnya menghasut orang ramai agar memboikot restoran atau kedai makan selepas mengeluarkan kenyataan agar tidak makan malam kerana ia boleh menyebabkan sakit jantung.
Dr Afif Mohd Ridzwan berkata, tujuannya berkongsi rakaman video kenyataan itu hanya sebagai nasihat atau peringatan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan jantung mereka.
Jelas beliau, antaranya adalah mengelak makan malam kerana ia boleh mengganggu jantung yang sepatutnya berehat pada waktu malam.
“Saya tidak pernah kata pun boikot kedai makan pada waktu malam dan cuma apa yang saya cakap makan malam seelok-eloknya sebelum pukul 8 malam.
“Saya agak terkilan apabila nasihat saya sebagai doktor disalah faham kerana saya mahu sampaikan ilmu kesihatan dan tidak sesekali menyentuh soal boikot kedai makan.
“Ingin saya tegaskan sekali lagi, tiada terlintas di hati saya mahu tutup ‘periuk nasi’ restoran,” katanya yang membuat penjelasan isu itu di media sosial miliknya.
Beliau sebelum ini dituduh segelintir netizen yang mendakwa rakaman video itu seolah-olah cuba menghalang masyarakat makan di restoran pada waktu malam.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Rawatan Al Farhain membuat perkongsian tentang bahaya kepada jantung akibat makan malam itu menerusi akaun TikTok miliknya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr Afif memberitahu, tugasnya hanya menyampaikan info yang sahih dan berfakta demi kebaikan masyarakat meskipun ia bertentangan dengan norma atau kebiasaan apa yang orang ramai lakukan.
“Sebagai doktor, saya tidak boleh beri nasihat mengikut apa yang masyarakat suka sebaliknya ilmu kesihatan yang betul perlu diterapkan.
“Sampai bila kita nak ‘hanyut’ dengan info kesihatan yang kita suka sahaja. Akhirnya diri sendiri sengsara sebab tidak amalkan ilmu kesihatan yang sahih.
“Sepatutnya masyarakat ambil info ini untuk diamalkan dalam kehidupan dan erubah atau tukar jadual makan perlahan-lahan kerana lama kelamaan ia menjadi kebiasaan.
“Kita berusaha untuk sihat kerana itulah harta paling berharga. Apabila kita sakit, duit yang banyak pun belum tentu berguna ketika itu dan cegahlah sebelum sakit,” katanya.
Dr Afif turut menjelaskan amalan makan malam sebelum pukul 8 malam itu juga bergantung kepada keadaan dan aktiviti seseorang itu sekiranya bekerja syif. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan