Khamis, 7 Ogos 2025

TARIF TRUMP MAKIN TINGGI !!!




'AS akan kenakan tarif 100 peratus ke atas semua import cip, semikonduktor kecuali...' - Trump


WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif sekitar 100 peratus ke atas cip semikonduktor diimport dari negara yang tidak menghasilkannya di AS ataupun tidak merancang untuk berbuat sedemikian, kata Presiden Donald Trump.

Beliau berkata, kadar tarif baharu itu akan dikenakan ke atas 'semua cip dan semikonduktor yang memasuki AS, namun tidak terpakai terhadap syarikat yang telah membuat komitmen untuk mengeluarkannya di AS.

"Jadi, tarif 100 peratus akan dikenakan ke atas semua cip dan semikonduktor yang masuk ke AS.

"Bagaimanapun jika anda telah membuat komitmen untuk membina (kilang di AS) atau jika anda sedang dalam proses membina (di AS) seperti yang dilakukan oleh banyak pihak, maka tiada tarif akan dikenakan," katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, semalam.

Namun setakat ini, tidak jelas berapa bilangan cip yang akan terbabit bawah pelaksanaan tarif itu.

Pada 2022, Kongres telah meluluskan program subsidi bernilai AS$52.7 bilion bagi pengeluaran dan penyelidikan cip semikonduktor.

Tahun lalu, Jabatan Perdagangan bawah pentadbiran Presiden terdahulu, Joe Biden, berjaya meyakinkan kelima-lima syarikat utama semikonduktor berteknologi tinggi untuk membina kilang cip mereka di AS sebagai sebahagian daripada inisiatif itu.

Sebelum ini, jabatan itu melaporkan AS hanya menghasilkan kira-kira 12 peratus daripada cip semikonduktor global berbanding 40 peratus pada 1990.

Trump turut memberi amaran jika mana-mana syarikat mendakwa sedang membina kilang tetapi gagal melaksanakannya, kerajaan akan mengira semula jumlah tarif tertunggak dan mengenakannya pada kemudian hari.

"Anda tetap perlu membayar dan ia pasti akan dilakukan," katanya.

Sementara itu, sebarang tarif ke atas cip semikonduktor dilihat berkemungkinan akan menyasarkan China yang masih berunding dengan Washington mengenai perjanjian perdagangan.

"Terdapat pelaburan besar dalam pengeluaran cip di AS, jadi sebahagian besar sektor ini dijangka dikecualikan," kata Felo Kanan di Institut Peterson bagi Ekonomi Antarabangsa, Martin Chorzempa.

Memandangkan cip yang dikeluarkan di China tidak akan dikecualikan, katanya, maka cip keluaran SMIC atau Huawei dijangka turut tidak terkecuali.

Beliau berkata, kebanyakan cip daripada syarikat-syarikat itu yang memasuki pasaran AS telah dipasang dalam peranti yang dirangkaikan di China.

"Jika tarif ini dikenakan tanpa tarif ke atas komponen, kesannya mungkin tidak begitu besar," katanya.

Negara pengeluar cip seperti Korea Selatan dan Jepun serta Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai perjanjian perdagangan dengan AS, sekali gus berpotensi memberi mereka kelebihan.

EU memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju dengan kadar tarif tunggal sebanyak 15 peratus bagi sebahagian besar eksport ke AS termasuk kenderaan, cip dan produk farmaseutikal.

Korea Selatan dan Jepun pula secara berasingan menyatakan AS bersetuju untuk tidak mengenakan kadar tarif lebih tinggi kepada mereka berbanding negara lain bagi cip, dengan turut mencadangkan kadar sekitar 15 peratus. - REUTERS

APAKAH EKSPOT

MALAYSIA AKAN

KENA 100%

AMIN

TRUMP TERUS

HURU HARAKAN

DUNIA KAPITALIS

KHALAS

Tiada ulasan: