Khamis, 20 Julai 2017

BURUH BERSATULAH



GAJI ADIL HAK PEKERJA

Seminar Bina Semula Kuasa Kesatuan Sekerja pada hari ini membuka lembaran baru perjuangan hak-hak perkerja di negara ini. Isu hak-hak dan kebajikan golongan pekerja akan diberi tumpuan di dalam manifesto HARAPAN yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Setiap warganegara berhak mendapatkan hak pekerjaan tanpa sebarang diskriminasi. Usaha ini harus diperkukuhkan tanpa mengenal kaum, jantina dan bentuk fizikal seseorang baik pekerjaan di sektor kerajaan mahupun swasta. Sehingga ini dasar meletakkan pertimbangan perkauman masih diteruskan dan ini akan dihentikan apabila HARAPAN memerintah kelak.

Kadar gaji yang rendah dan tidak setimpal menyebabkan peluang pekerjaan tidak diambil oleh pekerja tempatan. Lalu pekerja asing diambil untuk mengisi kekosongan ini. Jumlah pekerja asing yang telah mencecah 5 juta orang membuka ruang kepada pengeksploitasian terhadap mereka.

Di dalam Al-Qur’an perihal gaji dan pekerja diceritakan di dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Syu’aib yang terkandung di surah Al-Qasas ayat 23-28.  Intipati daripada kisah Nabi Musa dan Nabi Syu’aib ini menunjukkan majikan yang adil akan mendapat pekerja yang produktif lagi amanah. Memberi gaji yang adil dan menjaga kebajikan para pekerja bukan sahaja merupakan tanggungjawab para majikan malah akan meningkatkan produktiviti pekerja dan pendapatan majikan. HARAPAN mahu situasi adil dan saksama di antara pekerja dan majikan wujud di negara ini.

HARAPAN akan terus komited untuk membela nasib para pekerja baik di sektor awam mahupun swasta di Malaysia. Antara tawaran HARAPAN kepada pekerja adalah kadar gaji yang adil dan manusiawi serta pengukuhan kesatuan sekerja. Pengukuhan kesatuan sekerja akan memperkuatkan kuasa rundingan pekerja demi menjamin hak-hak golongan pekerja serta merangka strategi hala tuju ekonomi negara.

Dasar HARAPAN yang akan ditawarkan kepada semua pekerja di Malaysia ini akan mensejajari piawaian antarabangsa serta amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara maju. Dasar untuk para pekerja dibawah HARAPAN akan menjamin hak-hak yang lebih adil, saksama dan manusiawi. Rezeki tanah di bumi ini kurniaan Tuhan yang harus dikongsi bersama.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA






--------------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bravo! Konsep yang disambut baik. Semoga beroleh kemenangan lalu menyusul dengan perlaksanaan berkesan segala pelan tindakan yang bernas dan utuh lagi bermunafaat pada masyarakat seluruhnya. Amin