PERANG KELAS
BERTERUSAN
Saya telah menulis bagaimana Amerika Sarekat negara ekonomi terunggul dan paling maju dalam dunia telah menjadi gaung kematian serangan Cobid-19 paling wahid dalam dunia. Saya menunjukkan bagaimana sistem ekonomi kapitalis jenis Amerika telah gagal melawan pandemik Karona. Saya juga menggambarkan bagaimana Malaysia pada tahap ini telah berjaya menangkis serangan Karona. Wal hal sistem ekonomi Malaysia juga berpaksikan sistem ekonomi kapitalis.
Ketika saya menulis pada Selasa 14 Julai 2020 – data Pertubuhan Kesehatan Dunia (WHO ) menunjukkan angka pandemic seluruh dunia: Seramai 12, 768,307 warga dunia sedang dirawat , seramai 215,539 baru dihinggapi dan seramai 566,654 warga dunia dari pelbagai negara telah mati akibat Covid-19.
Di Amerika pada ketika ini data menunjukkan seramai 3,479,483 warga telah di hinggapi Karona. Seramai 1,549,469 telah sembuh dirawat. Seramai 138,247 warga Amerika Sarekat telah mati akibat serangan virus Karona.
Manakala di Malaysia pula data menunjukkan – jumlah keseluruhan kes 8725. Seramai 8520 telah sembuh dirawat. Ada 83 sedang dirawat. Jumlah kematian warga Malaysia hanya 122 orang. Amin.
Sebelum saya merungkai dalam dan mengaitkan kematian dengan sistem ekonomi dan perang kelas ada satu lagi data yang wajib kita sesama ketahui.
Pada Khamis 9 Julai 2020 yang lalu badan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Oxfam telah mengeluarkan data terbaru mengenai Covid-19. Oxfam ialah sebuah organisasi bukan cari untung yang ditubuhkan pada tahun 1942 di Oxford England. Seramai 20 badan amal telah bergabung untuk melawan kemiskinan dan kelaparan. Nama asal ialah Oxford Committee for Famine Relief. Oxfam Antarabangsa ditubuhkan pada tahun 1995 - beribu pejabat di Nairobi Kenya.
Menurut laporan Oxfam hingga ke penghujung tahun ini kemungkinan setiap hari seramai 12,000 warga miskin kelaparan dalam dunia ini akan mati akibat dari serangan Karona. Data menunjukkan pada bulan April yang lalu seramai 10,000 warga miskin telah mati setiap hari.
Serangan virus kelaparan ini akan menjurumuskan lebih dari 121 juta warga miskin ke tahap bulur. Angka kebuluran ini berkait rapat dengan sistem ekonomi kapitalis. Kilang ditutup – hilang kerja – hilang mata pencarian. Jadi papa kedana. Keadaan buruk ini diperburukan lagi dengan tergendala pengeluaran bahan makanan. Tanah pertanian tidak diusahakan kerana rantai ekonomi putus akibat Perentah Kawalan Pergerakan. Dalam masa yang sama bantuan amal jariah tidak kunjung sampai.
Serangan Karona ini menjadi pukulan maut pada umat miskin yang sedang bertarung dengan pelbagai macam perang. Dalam masa yang sama umat paling miskin ini dibantai pula oleh bencana pemanasan cuaca.
Dengan lucah kita melihat bagaimana agihan kemakmuraan dalam dunia kita tidak dikongsi. Yang miskin jadi pada kedana - yang kaya melambung kaya raya. Kelucahan ini menjadi-jadi hinggaikan buruh tani tukang pengeluar makanan hidup tanpa dapat makan.
Dalam keadaan lucah sabagini kita menyaksikan bagaiman 8 buah syarikat minuman dan makanan terbesar dalam dunia telah membayar dividen lebih dari 18 bilion dollar untuk pemilik saham mereka pada awal Januari 2020 ketika Karona baru menyerang.
Syarikat ini ialah : Nestle, Pepsi, Coke, Kraft, Anheuser, Mondales, Danone, Diago, Archer dan Heineken. Syarikat ini memiiki harta kekyaaan berjumlah 8 trilion dollar bersamaan 10% dari Pedapatan Dunia (GDP).
Ini adalah bukti bahawa apa yang berlaku hari ini adalah hasil dari sitem ekonomi yang dikenali sebagai sistem ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis kekayaan, makanan dan kemakmuran tidak dikongsi bersama. Dalam sistem ekonomi kapitalis akan wujud jurang kemiskinan dan kekayaan yang amat luas.
Aku - pemilik modal bekerja mencari keuntungan maksima. Aku - tuan empunya kilang, aku tuan pemilik syarikat akan bayar gaji paling minima untuk kaum buruh. Aku - pemodal jadi kaya. Kesenangan aku hanya untuk diri aku. Kamu yang miskin papa kedana adalah nasib dan rezeki kamu yang telah ditetapkan dalam Luh Mahfuz. Inilah hukum dan rukun kapitalisma.
Ketika tulisan ini digarap Oxfam telah mengenal pasti 10 buah negara yang akan menuju kebuluran hasil dari serangan Karona. Negara ini ialah Yaman, Republik Congo, Afghanistan, Venezuela, Afrika Selatan, Ethiopia, Sudan, Selatan Sudan, Syria dan Haiti. Dari pemerhatian mata kasar jelas dapat dilihat bahawa kesemua negara ini bukan sahaja diserang Karona tetapi sedang dalam kancah perang. Amin.
Saya menyatakan disini bahawa saya berterima kaseh kepada Covid-19 dan virus Karona kerana telah membuka wacana perbincangan tentang sistem ekonomi, dasar ekonomi dan peranan daulah.
Bab ekonomi dan sistem ekonomi selama beberapa dekad kebelakangan ini telah dipinggirkan dalam memahami dan menganalisa apa yang berlaku hari ini. Jauh sekali untuk membuka wacana apakah ada sistem ekonomi yang lain selain dari sistem ekonomi kapitalisma.
Kolej, uiversiti dan gedung ilmu hanya menyebar dan mengulang kaji teori ekonomi dari mazhab Adam Smith atau Milton Friedman dan suku sakatnya sahaja. Dalam banyak negara saperti Malaysia teori ekonomi lain akan diaggap ajaran sesat dan ditakrif musuh negara. Justeru teori ekonomi Karl Marx dan suku sakatnya disekat dan seolah-olah tidak pernah wujud.
Walhal apa yang berlaku hari ini semuanya adalah hasil dan manifestasi dari sistem ekonomi kapitalis yang kita guna pakai. Dari pandangan Marxis sistem ekonomi itulah yang menjadi asas dan punca segala pergerakan dunia kita. Manusia ialah sosok ekonomi. Perebutan manusia dan pergerakan manusia adalah untuk ekonomi. Merebut punca punca ekonomi ini melahirkan pertentangan antara kelas. Antara kelas yang memiliki harta dengan yang tidak memiliki apa apa. Pertempuran orang kaya dengan orang miskin. Inilah yang dipanggil perang kelas atau class war. Khalas.
CNBC – stesen tv News Business Channel pada 14 November 2017 telah melaporkan data tentang bagaimana kurang dari 1 peratus warga dunia hari ini memiliki lebih dari satengah dari semua harta kekayaan dalam dunia kita. Kekayaan dan harta mereka meningkat 6% untuk menjadi 280 trilion dollar semenjak tahun 2012. Lebih dari satengah dari 16.7 trilion dollar harta kekayaan baru ini wujud di Amerika Sarekat.
Jutawan paling teramai dalam dunia kita ini - 15.3 juta orang – adalah warga di Amerika Sarekat. Ini diikuti oleh warga Jepun seramai 2.7 orang jutawan. Seramai 2.2 juta orang jutawan dari warga Britain. Ini dibontoti oleh 1.9 juta orang jutawan dari warga China Merah.
Sepuluh sosok bilionwan terkaya dalam dunia kita ini datang dari Amerika Sarekat. Awas ! Kematian warga yang paling banyak dalam dunia kerana serangan Karona adalah juga warga Amerika Sarekat.
Apakah data dan statistic yang saya paparkan ini tidak mengerakkan fikrah kita untuk bertanya, atau menyoal atau cuba mencari jawapan kenapa ini berlaku. Apakah selama ini kita telah menjadi bebal dan manai hingga kita gagal berfikir. Atau kita menjadi malas berfikir. Atau kita takut hendak berfikir. Mana tahu kalau bertanya-tanya dan mengkaji-kaji soal ekonomi ini akan tersasul terjumpa dengan teori ekonomi sosialis Karl Marx. Ini bahaya kerana Karl Marx tidak beragama. Amin.
Perbezaan antara ekonomi kapitalis dengan ekonomi sosialis cukup jelas. Kapitalis mengajukan keuntugan maksima untuk kaum pemodal – tuan pemilik modal. Manakah sistem ekonomi sosialis mengajukan ekonomi untuk kebajikan ramai. Kapitalisma bergerak maju untuk menguntungkan tuan pemilik saham. Individu yang kaya ialah tuan pemilik saham. Manakala sosialisma juga bergerak untuk memajukan keuntungan pemilik sham. Tapi tuan pemilik saham sosialisma ialah orang ramai a.k.a daulah a.k.a kerajaan.
Justeru kekuatan sistem ekonomi sosialis ini dilihat menonjol dalam penentangan serangan pandemik Karona. Contohnya dihadapan mata kita. Contohnya paling menonjol ketika ini ialah dalam sistem kesehatan awam.
Dalam sistem kapitalisma Amerika ada wujud sistem kesehatan awam. Kesehatan warga Amerika adalah bahan komodiiti untuk dijual beli. Kesehatan adalah punca keuntungan. Banyak hospital terbaik dan kliik terulung di Amerika . Pusat kesehatan ini untuk mereka yang berupaya membayar khidmat kesehatan.
Justeru di Amerika dan dibeberapa negara kapitalis hospital dan klinik memerlukan pesakit memiliki insuran untuk membayar. Tanpa insuran ertinya si pesakit tidak berduit justeru tidak akan diterima masuk hospital untuk mendapat rawatan walau pun dalam kesakitan.
Dalam sistem ekonomi kapitalis kamu sakit kamu demam jika kamu ada duit semua beres. Jika kamu tidak ada dana maka kamu wajib mati tepi jalan. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diutamakan untung bukan kebajikan umat atau kesehatan rakyat.
Kesehatan ialah komoditi untuk diperniagakan. Sakit ialah untung. Lagi lama sakit lagi banyak untung. Amin.
Ini agak berbeza dengan sistem perubatan awam yang diguna pakai di Malaysia. Kita ada konsep hospital kerajaan. Sistem -Lembaga Hospital Kerjaaan ini adalah peninggalan kuasa kolonial Inggeris. Ketika menjajah kuasa kolonial memerlukan buruh yang sehat maka hospital didirikan. Hospital kerajaan bukan berpaksikan keuntungan. Hospital kerajaan memberi khidmat kesehatan untuk menjaga kesehatan dan kebajikan orang ramai – anak semua bangsa dan bangsa semua agama.
Kita lihat ketika Karona menyerang bagaimana hospital kerajaan bergerak dan bertugas. Hospital kerajaan menerima sesiapa sahaja yang sakit atau disyaki memilliki gejala Covid-19. Ujikaji tubuh badan pesakit dijalankan tanpa menanya sama ada si sakit ada duit atau tidak. Semua warga anak semua bangsa – bangsa semua agama - diberi khidmat kesehatan untuk kesejahteraan dan kebajikan semua. Bukan hanya untuk keselamatan dan kesehatan mereka yang kaya dan yang berduit.
Lihat bagaimana kerajaan telah mengeluarkan dana membayar hotel untuk warga yang pulang dari luar negara. Merek dikurantin di hotel atau dipusat pusat yang disewa khas oleh kerajaan. Kos penginapan dan makan minum ditanggung oleh kerajaan. Apa yang telah dan sedang berlaku ini adalah ciri dan pola sistem kesehatan ekonomi sosialis.
Ini tidak berlaku di Amerika atau di negara yang menjual sistem isuran kesehatan. Khalas.
Sistem kesehatan awan yang kita guna pakai ini peninggalan kolonial Inggeris ini induknya masih ada di United Kingdom. Ianya di kenali dengan nama NHS – National Health Service atau Khidmat Kesehatan Kebangsaan.
Biar saya surahkan disini bagaimana kaum pemodal di United Kingdom – towkay insuran dan pelabur kesehatan mahu sistem hospital NHS ini dilupus atas alasan perbelanjan mahal dalam bujet negara. Kaki lobi dan orang tengah kaum kapitalis ini telah bekerja kuat untuk menjadikan hospital di UK mengunakan sistem isuaran kesehatan saperti di Amerika Sarekat. Kempen guna sistem - Insuran Kesehatan - ini menjadi tunggak kempen politik puak kanan dan kaum kerabatnya dari Parti Konservatif.
Bila Karona menyerang maka terbukti sistem NHS lebih kukuh dan gigih. Perdana Menteri Boris Johnson pemuka dan jurucakap kaum pemodal merangkap tukang kempen sistem insuran kesehatan telah diserang Karona. Data menunjukkan seramai 291,373 warga UK telah diserang. Seramai 44,968 telah mati. United Kingdom tidak seburuk Amerika Sarekat.
Justeru - pada ketika ini kempen dan lobi untuk memansuhkan dan mengubah suai sistem kesehatan awam NHS di United Kindom telah agak pudar dan lembik. Terima kaseh Karona.
Awas! Tanpa debat yang luas. Tanpa pencerahan yang melebar. Kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya menyelitkan sistem insuran kesehatan ini kepada sistem kesehatan awam kita. Mungkin fakta ini tidak diketahui ramai.
Kaki lobi untuk syarikat insuran ini ialah YB Saudara Tony Pua Setia Usaha Politik YB Saudara Lim Guan Eng bekas Menteri Keewangan. Sosok yang kena lobi dan bersetuju menerima pakai sistem insuran kesehatn ini ialah ialah YB Sudara Dr Zul yang ketika itu Menteri Kesehatan.
Bab ini akan saya huraikan dalam siri Merkam Sejarah. Sila tunggu. (TT)
4 ulasan:
patut la kerajaan PH kemaruk sangat perkenalkan skim insurans kesihatan ni. bayar pada syarikat insurans kroni je dah brape. rakyat dapat ciput. memang dasar kapitalis Tony Pua ni. memang patut PH jatuh.
Terima kasih TT .membuka minda Kita semua
UK bukan socialist ke? Oyyy!
Enam dari sepuloh negara yang BULOR adalah negara Islam, negara lahirnye para NABI dan ulamak muktabar yang sangat syumul. Apa yg buat GWA risau adalah ..gaya idop mereka dijadikan panduan gaya hidop kita hari ini ..tuckbEEr.
Catat Ulasan