Isnin, 9 Oktober 2023

SENJATA MENENTU K,UASA


Malaysia gesa PBB ambil tindakan segera henti keganasan di Gaza

MALAYSIA menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengambil tindakan segera meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam yang tidak bersalah, memandangkan ketika ini konflik yang telah berlarutan selama 75 tahun itu menyebabkan banyak nyawa terkorban, ribuan cedera dan kerosakan harta benda. 

“Masyarakat antarabangsa juga hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau,” kata beliau pada sesi penerangan menteri berhubung Perkembangan Semasa Konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid berkata rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Katanya ketika ini, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi UNSC.

Zahid berkata pendirian dan dasar luar negara oleh Kerajaan Madani dalam konflik Palestin-Israel adalah jelas dan tidak pernah berubah, dengan perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin tetap menjadi antara tunjang keutamaan dasar luar Malaysia.

Beliau berkata pendirian tegas dan lantang Malaysia itu telah kerap kali dinyatakan secara jelas termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Katanya, ia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang sering kali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.

Zahid berkata malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB di New York pada 22 September lepas juga menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

Sementara itu, Zahid berkata masyarakat dunia khususnya pihak barat dilihat berterusan mengambil sikap acuh tidak acuh, menutup sebelah mata membenarkan kekejaman oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin tanpa sebarang tindakan punitif.

“Kenapa ada dua pendekatan yang berbeza? Krisis Ukraine misalan, pihak barat dengan secepat kilat memberi sokongan kepada Kiev. Malangnya apabila melibatkan Palestin, ia langsung tidak diendahkan,” katanya.

Zahid berkata tindakan berat sebelah itu terus menimbulkan persoalan berhubung ketidakadilan di dalam penguatkuasaan prinsip dan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, Zahid berkata Malaysia sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap Palestin merentasi segala aspek termasuk dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, serta pembangunan semula infrastruktur.

Katanya, sumbangan dan bantuan itu disalurkan dengan pelbagai cara sama ada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala dan setakat ini bantuan Malaysia kepada rakyat Palestin tidak pernah terhenti.

Malah selain bantuan daripada kerajaan, beliau berkata Malaysia turut menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul daripada sumbangan awam yang dilaksanakan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), dikendalikan oleh Kementerian Luar.

Dalam pada itu, Zahid merakamkan penghargaan kepada semua ahli Parlimen yang menzahirkan solidariti bersama untuk Palestin, meskipun sering kali wujud percanggahan dan perbalahan antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam pelbagai isu.

Atas semangat perpaduan dan soladiriti rakyat Malaysia, serta berdasarkan prinsip Malaysia Madani seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan, beliau turut memohon ahli-ahli Parlimen agar menyokong sepenuhnya ketetapan yang diberikan dalam sesi penerangan itu. – Bernama, 9 Oktober, 2023.


PALESTIN

MERDEKA

LAHIR DARI

MUNCUNG

SENAPANG

KHALAS

Tiada ulasan: