Isnin, 15 April 2024

SELAMAT BEBAS UNTUK RAZALI





Raya pertama selepas

 21 tahun menunggu 

detik dibawa 

ke tali gantung
Razali Ahmad teruja apabila berjalan masuk ke sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur, memimpin ibunya yang bertongkat, berhajat untuk membeli sedikit barangan.

Tahun ini merupakan tahun bersejarah bagi lelaki berusia 49 tahun ini, kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai seorang insan bebas selepas 21 tahun.

Selama dua dekad, dia merengkok di penjara sebagai banduan akhir yang menanti hukuman mati.

Selama dua dekad, dia tidak merasai nikmat juadah raya, ataupun amalan-amalan biasa Hari Raya seperti bersalaman di pagi raya dan solat Raya di masjid. 

Selama dua dekad, dia menunggu gilirannya ke tali gantung.

"Ini raya yang terbaik dalam hidup saya," katanya kepada MalaysiaNow.

Razali antara banduan akhir yang bertuah selepas hukuman matinya diketepikan.

"Semua ini bagaikan satu keajaiban yang amat besar buat diri saya dan rakan-rakan lain yang sudah bebas." 

Dia disabitkan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Pada November lalu, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman Razali kepada penjara 30 tahun dan 12 sebatan, selari dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Hukuman sebat ke atasnya dijalankan di Penjara Kajang sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Kehidupan di luar bilik akhir 
.
Walaupun kini menghirup udara di luar penjara, semuanya sudah berubah bagi Razali.

Ibunya sudah menginjak usia 70 tahun dan sukar berjalan, manakala ayahnya seringkali ke hospital akibat strok.

Razali bertekad mendapatkan pekerjaan, tetapi stigma "bekas banduan" menjadikan usaha ini sukar. 

"Adakah orang-orang macam kami ini tidak boleh berubah? Kami tak layak ada masa depankah? 

"Jika bekas banduan boleh jadi perdana menteri, berilah kami juga sedikit peluang untuk sara hidup," kata Razali, yang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang.

Walaupun bebas, Razali kini seakan-akan melalui satu lagi hukuman, iaitu dengan dinafikan peluang menjalankan kehidupan biasa.

Bagaimanapun, dia tidak menyerah kalah.

Dia kini memulakan perniagaan kecilnya hasil bantuan dana dari rakan-rakan, menjual pakaian dan makanan ringan di Danau Kota pada sebelah malam.

Di sebelah siang, dia akan membantu ibu angkatnya mengusahakan perniagaan katering berdekatan rumahnya. 

Sejak beberapa bulan lalu, Razali aktif memenuhi beberapa jemputan untuk berkongsi pengalamannya dengan pelajar di kolej dan universiti. 

Mesejnya kepada anak muda jelas: Jangan terlibat dengan dadah dan jenayah lain.

"Itulah cita-cita saya sekarang, saya mahu selamatkan generasi muda selepas 21 tahun jalani hukuman."

SELAMAT BEBAS

SELAMAT PULANG

KE  EMAK ABAH

SANAK SAUDARA

AMIN

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Susah cari makan sekarang, bukan senang, kena susah kena peluh kena panas kena hujan semua sakit akan sampai tetapi ada juga manusia bertopengkan agama bangsa ketuanan mengkayakan sendiri sanak saudara rasuah berleluasa tetapi masih dijaga oleh orang-orang kita yang seakan sedap kedudukan kerana jawatan pangkat kedudukan tetapi ingat semua sementara, salah tetap kena bayar betul tetap menerima sumbangan kah kah kah pelik melik