Jumaat, 25 Julai 2025

PERANG SIAM - KAMBOJA


Kekuatan tentera faktor penentu pertempuran Thailand-Kemboja


BANGKOK: Ketegangan beberapa bulan antara Kemboja dan Thailand akhirnya bertukar menjadi konflik bersenjata semalam, termasuk penggunaan jet pejuang F-16 oleh Thailand.

Ia mengubah kawasan sempadan menjadi medan pertempuran paling sengit antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Berikut adalah perbandingan keupayaan ketenteraan dan senjata kedua-dua negara, berdasarkan data daripada Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London.

Dari sudut peruntukan dan kekuatan anggota darat, Kemboja memperuntukkan bajet pertahanan sebanyak AS$1.3 bilion (RM6.1 bilion) pada 2024, dengan kekuatan seramai 124,300 anggota tentera aktif.

Angkatan tentera Kemboja ditubuhkan pada tahun 1993 hasil gabungan bekas tentera komunis negara itu dan dua pasukan penentang yang lain.

Daripada jumlah itu, tentera darat adalah cabang terbesar dengan kira-kira 75,000 anggota, disokong lebih 200 kereta kebal dan sekitar 480 unit artileri.

Thailand pula diklasifikasikan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai sekutu utama bukan-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ia memiliki pasukan tentera yang besar dan dibiayai dengan baik, berbekalkan bajet pertahanan sebanyak AS$5.73 bilion (RM26.9 bilion) dan lebih 360,000 anggota tentera aktif.

Tentera darat Thailand mempunyai seramai 245,000 anggota, termasuk anggaran 115,000 rekrut selain dilengkapi kira-kira 400 kereta kebal, lebih 1,200 kenderaan perisai dan sekitar 2,600 senjata artileri.

Sementara itu, dari sudut angkatan udara pula, Kemboja mempunyai 1,500 anggota, dengan aset udara yang terhad, termasuk 10 pesawat dan 10 helikopter pengangkut.

Negara itu tidak memiliki pesawat pejuang, namun mempunyai 16 helikopter pelbagai guna, termasuk enam buah Mi-17 era Soviet dan 10 buah Z-9 buatan China.

Sebaliknya, Thailand mempunyai antara angkatan udara paling lengkap dan terlatih di Asia Tenggara, dengan kira-kira 46,000 anggota, 112 pesawat tempur, termasuk 28 F-16 dan 11 pesawat pejuang Gripen dari Sweden, serta puluhan helikopter.

Dari segi kekuatan tentera laut, Kemboja dianggarkan mempunyai 2,800 anggota, termasuk 1,500 infantri laut, dengan 13 kapal rondaan dan tempur pesisir serta satu kapal pendarat amfibia.

Tentera Laut Thailand pula jauh lebih besar, dengan hampir 70,000 anggota termasuk marin, penerbangan tentera laut dan pertahanan pesisir, selain rekrut.

Thailand memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat, tujuh frigat dan 68 kapal rondaan serta kapal tempur pesisir.

Armada Thailand juga merangkumi beberapa kapal pendarat amfibia berskala besar yang mampu membawa ratusan tentera serta 14 kapal pendarat bersaiz kecil.

Bahagian penerbangan tentera laut Thailand memiliki armada pesawat tersendiri, termasuk helikopter dan dron (UAV), disokong oleh kor marin yang terdiri daripada 23,000 anggota dengan puluhan kenderaan tempur berperisai. - AFP

JIKA DIBIARKAN

MAKA INI

AKAN JADI

SATU LAGI

WILAYAH PERANG

AMIN

BERITA GUMBIRA

UNTUK PENJUAL

SENJATA 

AMIN 

NEGARA ASEAN

 WAJIB CARI 

JALAN SELESAI

KHALAS

Tiada ulasan: