Jumaat, 25 Julai 2025

DEMO BUDAYA KITA


DEMO

BUDAYA KITA


Saya telah terlibat dalam tunjuk perasaan dari semenjak saya di Sekolah Rendah lagi.  Pada tahun 1959 Datuk Undang Luak Jelebu ialah Datuk Shahmaruddin bin Abdul Rahman. Dia ingin menjadikan kerusi Datuk Undang Jelebu sebagai warisan turun temurun.  Satelah dia meninggal dunia kerusi Datuk Undang ini akan diambil oleh anaknya.

Ketika itu Wakil Rakyat Pertang ialah  YB Aminuddin Manaf – abang kepada Rais Manaf – ayah saya. Bila berita rancangan Datuk Undang ini di ketahui Pak Ngah Aminuddin – dia  telah menyusun orang-orang kampung untuk membantah niat dan cita-cita Datuk Shahmaruddin  yang melanggar Adat Perpatih Jelebu.

Adat Perpatih Jelebu melantik   Datuk Undang alih beralih dari Tiga Perut. Tiga Perut ini adalah asal usul tiga keluarga dari Suku Biduanda – Perut Sarin, Perut Kemin dan Perut Ulu Jelebu. Bukan dari Ayah kepada Anak.

Justeru Pak Ngah telah mengumpul saudara mara dan  penyokong untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang niat dan cita-cita Datuk Undang yang dianggap melanggar Adat Perpatih.

Saya ingat lagi sepupu dan saudara mara saya sibuk membuat persediaan untuk menjalankan tunjuk perasaan ini. Sepanduk : Biar Mati Anak Jangan Mati Adat telah dibuat. Plakard dengan  tulisan: Hidup Di kandung Adat Mati Di kandung Tanah dan Pantang Melayu Melanggar Adat telah di buat.  

Pak Ngah Aminuddin telah menghasut warga   Jelebu pengamal Adat Perpatih  untuk bersama menunjuk  perasaan.

Saya ingat lagi – ketika itu saya dalam Darjah Tiga – sekolah petang. Pada pagi itu hampir 100 orang  Warga Jelebu telah berkumpul di pekan Kuala Klawang.  Saya datang berbasikal ke pekan untuk bersama penunjuk perasaan.

Dari pekan Kuala Klawang   kami telah berarak ke Kampung Mengkan dan melintas di hadapan rumah Datuk Undang menuju ke pekan Petaling.  Kami berjalan perlahan-lahan di hadapan rumah Datuk Undang. Saya tidak tahu sama ada Datuk Undang melihat para penunjuk perasaan atau tidak.

Dua hari kemudian akhbar Utusan Melayu Jawi telah membuat laporan tentang tunjuk perasan kami.  Kami berjaya. Niat dan cita-cita Datuk Undang untuk mengubah adat telah digagalkan.

Hari ini Datuk Undang Jelebu masih setia pada adat. Terima kasih YB Aminuddin Manaf.

Inilah ilmu pengetahuan tentang tunjuk perasaan yang telah terserap dalam jiwa saya. Justeru saya yakin bahawa tunjuk perasan ini adalah cara terbaik untuk membuat kejayaan. Berkumpul beramai-ramai menyatakan bantahan atau sokongan kini menjadi  pegangan ideologi pandangan dunia saya.

Saya masuk ke Universiti Malaya (UM ) pada  tahun 1971. Dalam universiti saya telah mula  terlibat dalam tunjuk perasaan. Di UM  tunjuk perasaan dipanggil  demo. 

Maka demo pertama saya di UM pada pagi 14 Julai 1971. Awalannya kami berkumpul di Sudut Pidato kemudian berarak ke Lebuh Raya Persekutuan. Pelajar UM berdemo  tanda  menyokong perjuangan rakyat Patani. Kami berdemo di Lebuh Raya Persekutuan ketika Perdana Menteri Siam Thanom Kittikachorn   lalu melintas dari lapangan Subang untuk melakukan lawatan resmi.

Sesudah ini banyak lagi demo yang saya ambil bahagian. Bila saya memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM ) saya telah menyusun demo menyokong Palestin. Saya  telah menyusun demo menentang lawatan PM Jepun Tanaka ke kuala Lumpur pada Januari 1974.

Sebagai warga Kolej Ke Lima saya juga terlibat menyusun demo menentang tindak tanduk   Raja Mokhtarudddin – Pengetua Kolej Kelima – hingga saya dibuang dari Kolej Ke Lima.

Sebagai pemimpin PMUM saya juga telah di jemput oleh kesatuan pelajar Siam. Saya ingat lagi saya pernah berdemo di hadapan Kedutaan Amerika di Bangkok.  Kami menentang Perang Vietnam.  Ini demo pertama saya di luar negara.ke Siam

Pada September 1974 saya berdemo menyokong para peneroka bandar di Tasik Utara. Ini kali pertama saya masuk lokap dan masuk penjara Air Molek di Johor Baru.

Pada 3 Disember 1974 – sebagai Presiden PMUM – saya telah menghasut dan menyusun para pelajar dari UM untuk turun berdemo menyokong perjuangan Warga Baling di Kedah. 

Awalnya pada bulan November 1974   Warga Baling telah menunjuk perasaan  kerana marah kepada kerajaan yang gagal menguruskan negara. Ketika itu musim hujan dan harga getah jatuh. Ini dibebankan lagi dengan kenaikan harga bahan makanan.

Pada subuh  8 Disember 1974 - polis dan askar datang mengepong UM. Ketika itu saya menumpang di Kolej Ke Tujuh. Saya melepaskan   diri dari tangkapan polis . Saya  melarikan diri melintas sempadan Siam dan lari  ke luar negara.

Saya sampai di Australia pada tahun 1976.  saya menjadi aktivis pelajar Malaysia yang bekerja rapat dengan AUS (Kesatuan Pelajar  Nasional Australia). Justeru saya terlibat dalam banyak tunjuk perasaan. Kami menyokong perjuangan Warga Asli Australia. Saya terlibat juga dalam demonstrasi menentang tenaga nuklear di Melbourne.

Pernah satu kali saya dijemput oleh  Kesatuan Buruh Australia - Trade Union Congress sebagai Penceramah dalam demo menyokong perjuangan Palestin.

Di Baghdad tahun 1977 saya juga pernah berdemo menyokong langkah progresif Saddam Hussein yang telah memilik negara kan  syarikat minyak Iraq.

Saya sampai ke  Belgium pada tahun 1982.  Kini saya terlibat dalam gerakan geopolitik Eropah. Markas Pusat   bala tentera NATO ( Supreme Headquarters Allied Powers Europe)  terletak di Mons Belgium. Pada tahun 1983 Amerika memaksa negara sekutu NATO memasang peluru berpandu Pershing  di Belgium. Saya turut sama berdemonstrasi  di Brussels untuk  menentang kemasukan Pershing Missile ke Belgium.

Bila saya berpindah dari Belgium ke United Kingdom saya kembali menjadi pelajar. Dalam kampus di London saya mengambil bahagian dalam demo pelajar menentang kenaikan yuran kampus.

Ketika ini Afrika Selatan masih mengamalkan  sistem Apartheid dan Nelson Mandela masih dalam penjara.  Di London secara aktif saya terlibat bersama warga Afrika Selatan untuk membebaskan Nelson Mandela. 

Pada 2 November 1985 saya telah mengambil bahagian  dalam demo  terbesar menyokong perjuangan warga Afrika Selatan. Turut sama dalam demo hari itu ialah Oliver Tambo Presiden ANC (African National Congress ) dan pemimpin kulit hitam bekas  calon Presiden Jesse Jackson dari Amerika.

Saya ingat lagi pada petang Sabtu 31 Mac 1990 – saya bersama beberapa kawan berada di Trafalgar Square untuk sama berdemo menentang Cukai Pintu yang dikenakan oleh kerajaan Margaret Thatcher.  Flet saya di Bromley By Bow   juga dikenakan cukai pintu sebanyak 500 pound. 

Ini tunjuk perasaan yang hebat. Saya melihat kereta di terbalikkan dan di bakar di Convent Garden. Saya  menyaksikan Polis Kota London berkuda  membelasah  penunjuk perasaan. Pada petang itu polis menangkap lebih dari 300 penunjuk perasaan.

Bila  Iraq diserang oleh Amerika saya turun ke Trafalgar Square. Kami  berarak  ke hadapan NO 10 Downing Street – kediaman resmi Margaret Thatcher. 

Ketika Perang Iraq saya bekerja sebagai pelayan di Garuda – restoran Indonesia di Shaftesbury Avenue tidak jauh dari Soho.  Saya meyakinkan Tuan Punya restoran untuk membekalkan  nasi goreng kepada penunjuk perasaan yang bermalam di hadapan Kedutaan Amerika di London.

Tiga tahun sesudah saya pulang dari 20 tahun berkelana  Anwar Ibrahim di tangkap. Gerakan Reformasi bermula. Awalnya saya tidak ambil pot hingga Mahathir Muhamad  menuduh saya sebagai dalang demonstrasi. 

Justeru tuduhan Mahathir memanggil diri saya untuk terlibat secara aktif.   Keterlibatan saya  bukan hanya sebagai mengambil bahagian – kali ini saya bersama kawan-kawan seperti Tian  Chua, Latifah Koya, Arwah Pak Din, Nasir ,  Arwah  Tan,   Nora, Jonah ,  Ezam , Zunar dan Pak Abu – kami menyusun demo demi demo. 

Akhirnya saya ditangkap oleh Mahathir dan di masukkan ke dalam Kem Kamunting selama dua tahun. Amin

Kini pada Sabtu 26 Julai ini satu  demo telah di susun. Demo ini menuntut  Anwar Ibrahim turun dari menjadi Perdana Menteri. Demo ini diatur dan disusun oleh Sekretariat Rakyat.

Demo Turun Anwar ini dan mendapat sokongan dari Parti Pas , Parti Bersatu, kaum kerabat Perikatan Nasional dan juga pelbagai NGO.

Kalau di era Reformasi laungan penunjuk perasaan ialah Undur Mahathir Undur – kali ini penunjuk perasaan  sedang melaungkan Turun Anwar Turun.

Dulu saya berdemo menuntut Mahathir berundur. Kali ini saya juga akan berdemo untuk menuntut Anwar turun. Ini bukan satu yang  ganjil. Ini adalah garis politik kiri yang menjadi pegangan garis politik saya.

Apa yang saya lakukan ialah mendirikan barisan bersatu – united front – mendobrak musuh yang sama. Musuh lama saya dulu Mahathir kini satu kancah dengan saya kerana melawan musuh yang sama.

Malah Mahathir yang dulu sering berkata bahawa : Demo bukan budaya kita kini dia sendiri telah turun berdemo dalam Bersih 4 dan Bersih 5. Pada 26 Julai ini dilaporkan Mahathir sekali lagi akan ke jalan raya berdemo.
Sah dan sahih demo telah menjadi budaya politik Malaysia.

Selain dari  berdemo  sebagai rukun saya juga penganut tegar  konsep barisan bersatu atau united front.  Taktik ini adalah fahaman dari politik garis kiri yang menjadi pegangan saya.  Dalam analisa garis kiri –  wajib di kenali musuh utama. Untuk menang kita wajib bersatu  dengan sesiapa saja untuk melawan musuh yang sama. Amin.

Apakah demo Sabtu 26 Julai 2025 ini akan berjaya? 

Untuk saya jika ada 5000 penunjuk perasaan di Dataran Merdeka pada petang itu adalah tanda kejayaan. Ini kerana selama dua tahun ini saya dengan kawan-kawan telah menyusun banyak tunjuk perasan menyokong perjuangan Palestin. Penyokong yang datang berdemo tidak melebih 3000 orang. Justeru jika  Sabtu ini ada 5000 yang turun saya berpuas hati.

Jika lebih ramai yang turut sama – ini saya anggap bonus.

Apakah Anwar akan turun. Jawabnya tidak. Untuk saya tunjuk perasaan atau demo ini ialah untuk mengolah persetujuan. Kita keluar beramai-ramai untuk mempengaruh orang ramai agar bersama  marah seperti kita.

Kemarahan inilah yang hendak dikumpulkan dalam demo. Kemarahan kepada kerajaan Madani ini akan di terjemahkan  menjadi undi.  Ini pengalaman saya ketika  menyusun dan menghasut warga untuk turun berdemo dalam  Bersih 2, 3, 4 dan 5.  

Najib jatuh kerana kita berjaya mengumpul kemarahan melalui demo.  Kali ini  - saya ulang sekali lagi – mari kita terjemahkan kemarahan kita kepada peti undi dalam PRU16. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/750100



Tiada ulasan: