Penduduk Mesir hanyutkan botol berisi makanan kepada penduduk Gaza
KAHERAH: Penduduk Mesir melancarkan inisiatif 'Dari Laut ke Laut-Botol Harapan untuk Gaza' sebagai usaha terdesak berikutan terkejut dengan krisis kemanusiaan dan kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.
Mereka mengisi botol bersaiz satu dan dua liter dengan makanan kering seperti beras, kekacang, dan bijirin sebelum dilepaskan ke Laut Mediterranean dengan harapan ia sampai ke pantai Gaza.
Langkah itu diambil sebagai usaha terdesak untuk mengatasi sekatan menyeluruh oleh Israel yang menghalang kemasukan bantuan kecemasan melalui sempadan, sementara ratusan ribu penduduk Gaza terus kebuluran.
Pada masa sama, rakyat Mesir turut menggesa penduduk negara yang bersempadan dengan Laut Mediterranean seperti Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi untuk turut serta dalam usaha itu.
Menurut media tempatan berbahasa Arab, idea itu diilhamkan oleh kaedah 'mesej dalam botol' dan menerima pujian meluas, khususnya di platform media sosial.
Idea itu dilaporkan dicetuskan oleh seorang ahli akademik dan jurutera Mesir yang kini berpangkalan di Jepun.
Beliau mencadangkan penghantaran makanan melalui laut sebagai kaedah paling praktikal berikutan sekatan berterusan di Gaza.
Dalam satu hantaran di laman sosial, beliau menjelaskan bahawa sebuah tong plastik 25 liter yang ditutup rapat boleh memuatkan antara enam hingga lapan kilogram makanan, sambil meninggalkan ruang udara lapan liter bagi memastikan ia terapung.
Katanya, bekas makanan itu perlu dilepaskan sekurang-kurangnya empat kilometer dari pantai, pada sudut 60 darjah ke arah timur laut, bagi mengelak arus bertentangan.
"Arus permukaan di timur Mediterranean mengalir dari barat ke timur pada kelajuan sehingga 0.8 kilometer sejam (km/j).
"Ini bermakna bekas makanan berkenaan boleh sampai ke pesisir pantai Gaza dalam tempoh 72 hingga 96 jam jika dilepaskan dari kawasan seperti Damietta atau timur Port Said," katanya dalam hantaran itu.
Ramai pengguna media sosial yang melihat cadangan itu menyatakan harapan dan turut berkongsi video rakyat Mesir yang menyahut inisiatif berkenaan.
Namun, ada juga yang menyuarakan bahawa inisiatif simbolik sebegini wajar diterjemahkan kepada tekanan rakyat yang lebih berkesan.
Antaranya, dengan menyokong badan bantuan yang dipercayai serta mendesak tindakan segera masyarakat antarabangsa bagi membuka sempadan dan menyalurkan bantuan penting ke Gaza.
Perkembangan itu berlaku ketika lebih 100 pertubuhan bantuan menzahirkan kebimbangan serius terhadap kebuluran besar-besaran di Gaza sedangkan dianggarkan lebih 950 trak bantuan tersekat di sempadan Mesir-Gaza.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan tentera Israel ketika cuba mendapatkan makanan sejak pengambilalihan operasi bantuan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel pada Mei lalu.
Antara pertubuhan yang terbabit termasuk Save the Children, Oxfam dan Doktor Tanpa Sempadan yang turut melaporkan petugas mereka di Gaza kini menderita akibat kebuluran.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyifatkan krisis kekurangan zat makanan di Gaza sebagai 'buatan manusia', seiring dengan serangan berterusan Israel di wilayah itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, perang pembunuhan beramai-ramai oleh Israel sejak Oktober 2023 sudah meragut sekurang-kurangnya 59,219 nyawa rakyat Palestin, namun angka sebenar dijangka jauh lebih tinggi kerana ribuan mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah. – AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan