LAGENDA
KUNG FU TAN
Restoran, cafe , bar , panggung wayang dan teater tidak mencukupi kalau tak ada perempuan. Semua ini diperlukan untuk bersantai dan bercanda-canda. Bersantai juga tidak akan cukup tanpa rumah urut dan rumah merah. Selepas makan dan minum perlu naik ke ranjang untuk melepaskan kejantanan.
Sesudah itu apa lagi jika hati belum puas, jantan masih meracau dan dompet masih penuh berisi?
Jika dompet masih berisi wajib ke kelab dan masuk ke dewan kasino untuk berBlackjack atau berOne Arm Bandit atau ber Roulette. Dewan kasino sentiasa cerah dengan pelayan lelaki dan perempuan yang muda lagi cun yang sentiasa tersenyum. Sekali lagi tepuk dada tanya zip seluar.
Semua yang aku tulis ini adalah khidmat yang wujud dan disediakan oleh Soho. Aku sendiri termasuk sebagai aparachik yang memberi khidmat ini di Soho. Wilayah Soho ditengah kota London ini bukan luas sangat. Aku rasa tak lebih dari dua batu persegi. Tetapi lagenda dan mitosnya amat meluas tersebar ke seluruh dunia.
Restoran, rumah urut, rumah merah, panggung wayang, kelab dan teater semua boleh dilihat. Pelancong boleh melanggan khidmat dari semua lembaga ini.
Tidak ada dakwa dakwi jika Abang Mat mengajak Miss Jenni menari bogel atau terkencing di atas meja. Atau Abang Mat yang mula bosan dengan badan isteri kini mahu beralih rasa. Abang Mat teringin untuk merasa panas tubuh badan Adik Jimmy atau Abang Joe atau Mister Umbaga dari Jamaica. Semua boleh dilanggan.
Di Soho kain, baju, seluar , coli, bra dan seluar dalam semua boleh dibuka dengan pound, ringgit dan dolar.
Apa yang aku tulis ini adalah hasil pengalaman aku yang telah mengenali Soho. Tujuh tahun aku memburuh di Soho menjadikan aku kenal hati perut Soho. Malah aku juga tahu apa yang ada dalam perut Soho.
Aku tahu ada isi perut Soho yang tidak dilihat oleh pelancong. Malah aku rasa ramai warga London yang tidak mengenali dan mengetahui Soho sama seperti aku mengenali Soho.
Kalau dalam dunia musik pop ada Sex, Drug and Rock n Roll. Dalam dunia Soho ada Restoran ,Teater, Kelab , Casino dan Gengster.
Gengster ? Siapa gengster Soho?
Gengster, samseng atau kaki busuk adalh lembaga halimunan yang bergerak di bawah tanah. Mereka didengar wujud tapi jarang ditemui oleh pelancong yang sampai ke kota London. Mereka wujud tetapi tidak kelihatan.
Gengster memberi khidmat sosial tapi tidak ada pejabat atau alamat. Mereka juga boleh membantu seperti khidmat polis tapi dalam masa yang sama mereka juga kaki pau. Bijak dalam hal peras ugut.
Mereka juga terlibat dalam perniagaan ekspot impot. Daging dan dadah adalah barangan yang mereka impot dan ekspot. Jangan silap faham bukan perniagaan daging halal dari Argentina tapi daging segar yang sentiasa halal untuk tiduri.
Apakah mereka Mafia dari Itali atau Kartel dari Columbia. Atau 14K dari Hong Kong. Jawabnya iya dan tidak.
Aku ingat lagi pada tahun 1979 ketika di Karachi aku telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo.
Dari kitab ini aku mamahami budaya Mafia. Aku memahami bagaimana watak Vito Corleone berkembang membesar hingga dinobatkan untuk menjadi Don oleh masyarakat Itali di New York. Derajat Don dalam budaya Itali ini sama setaraf dengan derajat Tun dalam budaya Melayu .
Aku perhatikan salah satu dari budaya gengster dan samseng - ketika mereka beroperasi di luar negara – sasaran yang menjadi mangsa atau yang mereka payungi hanya masyarakat mereka sendiri.
Seolah-olah ada wujud satu Piagam Samseng di mana semua gengster menghormati tatasusila ini. Mereka bersetuju untuk tidak akan mengganggu komuniti yang bukan asal usul mereka.
Di London warga Itali berhadapan dengan Mafia. Warga Latino berhadapan dengan Kartel. Warga Hong Kong berhadapan dengan 14K. Warga Vietnam dengan samseng Vietnam. Maka di Soho warga Malaysia berhadapan dengan Kaki Busuk Malaysia.
Ada Kaki Busuk Malaysia di London? Positif. Ada. Kaki Busuk Malaysia buat kerenah kepada warga Malaysia saje. Mereka bekerja cari makan di Soho. Mereka pau restoran Malysia di London. Dalam masa yang samaa mereka juga memayungi restoran Malaysia-Indonesia dan memastian tidak akan di pau oleh 14K dari Hong Kong.
Di London ramai buruh dan pekerja dari Malaysia. Mereka datang ke Old Mother England – anak negeri tanah jajahan Baginda Queen. Mereka ini juga memerlukan payung. Jika polis London tak ambil pot maka disini Kaki Busuk mara ke hadapan.
Kita jaga kita - justeru pekerja ini mewujudkan Persatuan Pekerja dari Malaysia di London. Ini badan resmi bukan bergerak bawah tanah. Tapi mereka kenal mengenal.
Aku sendiri kenal dan berkawan dengan beberapa ahli persatuan ini. Mereka berkumpul dan berpusat di East End.
Persatuan ini ditubuhkan semenjak zaman berzaman. Dari zaman Tanah Melayu kemudian menjadi Malaya. Dari zaman pelaut Melayu melayari dunia. Ada pelaut, ada kelasi, ada buruh dan ada yang bekerja dengan kereta api bawah tanah. Mereka datang macam Bangla datang dari Dacca ke Kuala Lumpur – mencari pekerjaaan.
Aku ingat lagi dengan seorang ahli persatuan ini. Nama dia Jimmy – bukan Mat Saleh. Jimmy ini jantan China dari Selangor. Jimmy bekerja dengan Bas Merah kota London. Dia pemandu bas.
Satu hujung minggu dia menjemput aku datang bertandang ke rumahnya di Seven Sisters Utara London. Jimmy sama seperti aku – jantan bujang tinggal di flet milik Majlis Tempatan.
Jimmy memasak dan kami makan malam. Sambil makan sambil minum air anggur sambil Jimmy bersurah.
‘ Dulu aku tak duduk disini.. aku duduk dekat Soho.. dekat Berwick Market .... that was a great time... masa Mick Jagger dan John Lennon..’ Jimmy memberi pencerahan, aku sedar si Jimmy ini amat senior dari aku.
‘ I was a hippie...rock and roll and ganja... I travelled all over Europe... datang dulu nak study .. but failed... nak balik no point.. I stay on..’ Jimmy bersurah tentang sejarah hidupnya. Surah hippie ini saheh - dibuktikan dengan rambut Jimmy yang sampai ke bahu. Di London tidak akan larangan untuk pemandu bas memakai rambut panjang.
‘ That time kita kontrol Soho...’
Aku merasa pelik. That time itu bila. Dan apa makna kontrol Soho.
‘ That time we controlled Soho... no Hongkee.. no bullshit Vietnam... we run Soho... I was part of them...’ Dengan bangga Jimmy menyambung surah.
Mulanya aku tak faham siapa Hongkee. Kemudian Jimmy jelaskan - Hongkee nama untuk pendatang China dari Hong Kong.
‘ Johnny our leader.... .. budak Penang... berani .. no Hongkee.. no Chinaman.. no Vietamese...’
‘ We were wlcome... no worriess... Malaysia masa tu paspot besar... no imigration problem...’
‘ What happened? ‘ Aku mencelah sambil menung air anggur.
‘ They killed Johnny... there ...at Gerrad Street not far from Melati Restoran... they choped his head.. mati looo.... Hongkee want to take over Soho...’ Baru aku sedar dari sejarahnya satu ketika dulu Soho ini wilayah samseng dari Tanah Melayu.
‘ Where are you studying?’ Jimmy bertanya.
‘ PCL tak jauh dari Soho..’
‘ Make sure you ok... many students failed and end up working in London... After Johnny mati... I move out of Soho and work for London Transport... Have you met Hamid ?.... budak Ipoh.. dia driber underground... Victoria Line... ada jumpa dia? ‘
Aku menggeleng kepala. Aku tak kenal siapa Hamid. Aku tak menyangka salah seorang driber kereta api bawah tanah Victori Line di London ialah Hamid dari Perak.
Surah dari Jimmy itu melekat dalam kepala aku. Dan paling menarik ialah pengalaman kehidupan rock n roll Jimmy yang sezaman dengan John Lennon dan Mick Jagger. Ini hebat.
Bila aku mula bekerja di Desaru aku teringat kembali surah Jimmy. Memang betul - aku makin menyedari di belakang perniagaan restoran, cafe dan pub atau apa sahaja tempat hiburan pasti dibelakangnya ada gengster.
Restoran Desaru sendiri dari apa yang aku difahamkan sebahagian dari saham dimiliki oleh Freddy dari Malta. Dari apa yang aku dengar Freddy memiliki satu atau dua bilik mengintai – peep shows – tempat melihat Minah Salleh berbogel.
Ketika bekerja di Desaru aku mula mendengar nama Kung Fu Tan. Aku rasa semua pekerja Malaysai di restoran dan pelayan di Soho dizaman aku pasti telah mendengar nama Kung Fu Tan.
Ketika aku mula bekerja di Desaru dan kemudian Garuda aku hanya mendengar namanya saja. Kung Fu Tan nama yang lejen. Nama yang dihormati oleh kami pekerja di restoran Malaysia dan Indonesia di Soho.
Untuk pemilik restoran seperti Mister Gan pemilik Desaru atau Pak Ibrahim pemilik Garuda nama Kung Fu Tan ditakuti. Aku juga yakin nama Tan ini juga dikenali dan ditakuti oleh pemilik Rasa Sayang, Nusa Dua, Melati, Satay and Wine - semua ini restoran Malaysia-Indonesia – yang terletak dalam wilayah Soho.
Satelah Johnny mati dibunuh oleh samseng Hongkee aku difahamkan Tan telah cuba menghidupkan kembali kumpulan samseng Malaysia di Soho. Tetapi iklim dan suasana budaya Soho telah berubah. Bukan zaman rock n roll enam puluhan di mana kaki busuk Malaysia kontrol Soho.
Tahun 70’an Perang Vietnam telah selesai. Ramai pelarian Vietnam telah masuk ke United Kingdom. Mereka ini ada etnik China dan ada etnik Vietnam.
Mereka telah mengalami perang. Pisau , senapang M16, bom, bedil , peluru dan mayat bukan satu yang menakutkan untuk mereka. Semua ini wujud dalam kehidupan harian mereka. Mati dan bunuh satu perkara biasa. Pelarian Vietnam membesar dalam kancah perang.
Dari surah yang aku dengar satu malam Tan dan kawan-kawannya telah terlibat dalam satu pergaduhan. Mereka telah dikepong oleh samseng Vietnam. Ini berlaku dalam sebuah pub di tepi China Town. Dikatakan lapan orang samseng Vietnam telah menyerang 5 orang geng Kung Fu Tan.
Pergaduhan berlaku. Kung Fu Tan – nama ini lahir kerana Tan ini pegamal Kung Fu yang baik. Bila Tan diserang dengan berani dia menggunakan ilmu kung fu untuk menyerang dan mempertahankan diri.
Pergaduhan ini aku rasa kerana berebut kawasan. Mungkin Tan telah melintasi masuk ke kawasan China Town yang dikawal dan dipayungi oleh samseng China Vietnam.
Dalam pergaduhan ini seorang Vietnamese telah terbunuh. Dari surah yang aku dengar si Vietnam ini mati di belasah oleh Tan di basement di sebelah tandas. Minyak gasolin juga telah digunakan untuk membakar musuh.
Hebat pertempuaran dua geng kaki busuk ini..
Tan di tangkap, di dakwa dan di bicarakan. Ramai yang didapati bersalah dan dipenjara. Paling lama dihukum penjara ialah Kung Fu Tan – 12 tahun – ini kes bunuh.
Pada tahun 1989 ketika aku bekerja di Garuda restoran. Aku terdengar bahawa Kung Fu Tan telah dibebaskan dari penjara. Aku tak tahu samada ini desas desus atau fakta. Tapi kami para pelayan dan pekerja restoran hanya menunggu.
Aku sendiri ingin melihat muka Tan ini kerana namanya kini menjadi lejen untuk kami yang memburuh di Soho.
Kesah Tan membakar samseng Vietnam dalam pub telah disambung dari mulut ke mulut ditambah dan ditokok. Ianya menjadi lajenda untuk kami di Soho.
Ketika berita Tan dibebaskan tersebar aku sedang bekerja sepenuh masa. Satu petang Johnny anak pemilik Garuda telah membawa berita bahawa Tan memang sah telah bebas dari penjara. Dua malam dahulu Tan telah pergi makan ke Desaru.
‘ Dia datang dengan geng ... ada tiga orang... lepas makan cabut tak bayar...’ Johnny membawa berita.
‘ Gan ada dalam restoran atau tak? ‘ Aku bertanya samada Mister Gan pemilik Desaru tahu hal ini.
Apa terjadi antara dia dengan Mister Gan pemilik Desaru aku tak tahu. Tapi berita tersebar Tan telah datang ‘makan free’ bukan seorang diri. Ada tiga orang anak muda datang bersama Tan. Ertinya Tan masih ada pengikut.
Mengikut berita yang lain pula sesudah makan Tan pergi berjumpa Mister Gan. Apakah Gan telah kena pau. Apa terjadi aku tak tahu. Yang sahih ialah Kung Fu Tan dapat makan percuma.
‘ Kalau dia datang sini macam mana Johnny? ‘ Aku bertanya dan d minta arahan.
‘ Layan je... berapa banyak dia nak makan...berapa botol beer dia nak minum... bagi je...’ Johnny memberi garis panduan jika Kong Fu Tan datang ke Garuda.
Seperti yang dijanjikan selang beberapa hari Kung Fu Tan muncul pada satu malam. Kali ini dia datang berdua. Awalnya aku tidak kenal siapa mereka lalu aku persilakan masuk dan menyediakn satu meja. Dia menolak dan terus berdiri di depan bar.
‘ Hello Tan... how are you...’ Johnny menyapa dari belakang bar.
‘ Business okay?... Busy ? ‘ Tan memandang keliling suasana Garuda yang hampir penuh dengan pelanggan.
‘ Oklaaa... boleh laaa... cari makan.. Tiger ke Bintang? “
‘ Tigerlaaa... ‘
Johnny membuka dua botol beer dan menuang ke dalam gelas. Tan dan kawannya mengambil dan menghirup beer.
Aku perhatikan sosok Tan ini biasa sahaja. Tingginya lima kaki lebih lebih. Badan tidak sasa, tidak sado tapi perut tidak boroi atau gemuk. Mungkin dalam penjara dia bersenam. Umur mungkin dah menghampiri 40 lebih. Dari cara dia berdiri di tepi bar aku yakin Tan ini sosok bersukan – sukan kung fu.
“ Johnny... where is Carl? Tan bertanya pada Johnny tentang Carl.
‘ He is ini Bali..’ Johnny menerangkan yang abangnya Carl kini berada di Bali.
Kemudian Tan beredar.
Satu pagi seminggu kemudian ketika aku baru selesai membersihkan Garuda Kung Fu Tan muncul. Dia menolak pintu dan masuk ketika aku sedang menyediakan kopi.
‘ Please sit down... I’ll make you coffee...’ Aku mengikut arahan Johnny untuk melayan kepala samseng dari Ipoh ini.
‘ Are you alone..” Tan bertanya.
‘ Yes... kitchen staff and Johnny must be on the way..’ Tangan aku menyediakan secawan kopi dan meletakkan ke meja tempat Tan duduk. .
‘ Milk and sugar here...’ Aku menghantar susu dan gula. Kemudian aku berdiri di tepi bar memerhati ke arah Tan.
Sambil menghirup kopi Tan memerhati sekeliling,
‘ Your glass wall...’ Tan terhenti. Aku pula menunggu ada apa dengan dinding gelas Restoran Garuda.
‘ With one brick ... all over... pecah...’ Tan memandang tepat mata aku. Pandangan ganas. Aku mengelak bertentang mata.
Aku faham makna kata-kata dari Kung Fu Tan. Sebelum dari pertemuan ini aku pernah terbaca bagaimana sebuah restoran di China Town terpaksa ditutup. Tidak ada apa yang pecah. Tidak ada siapa kena pukul. Tidak ada pergaduhan.
Dari laporan akhbar petang Evening Standard aku terbaca bagaimana tiga lelaki yang tidak dikenali telah masuk ke dalam sebuah restoran China di China Town yang belum memulakan perniagaan. Lelaki ini telah menaburkan najis manusia ke serata dinding restoran. Selesai kerja mereka keluar menghilangkan diri.
Aku rasa ini bukan kerja geng Kung Fu Tan. Kes najis didinding ini berlaku dalam restoran China bukan restoran Malaysia atau Indonesia. Samseng Malaysia tak akan kacau atau pau restoran China Hong Kong.
Apabila Johnny sampai aku ceritakan apa yang telah berlaku antara aku dengan Kung Fu Ta.
‘ Dia nak pecahkan dinding restoran...buat kacau betul... ‘ Ini sahaja jawapan Johnny.
Minggu itu kami di Garuda tak habis-habis membincangkan hal Kung Fu Tan. Apakah dia betul-betul samseng. Apakah dia lebih hebat dari mafia. Tiga orang pekerja dapur dari Aljeria tak faham kenapa kami layan Kung Fu Tan.
‘ Give me money...I’ll fuck him ...’ Ini komen dari Bobby anak muda Aljeria yang bekerja secara haram di dapur Garuda.
Hujung minggu itu Tan datang sekali lagi. Kali ini dengan tiga kawan – anak muda China. Mungkin anak muda dari Malaysia yang kini berpayung dibawah Tan
Johnny menyambut. Aku menyediakan meja terbaik. Tanpa melihat menu aku menyediakan makanan terbaik untuk empat kaki busuk ini. Mereka minum Tiger dan Bintang.
Aku melayan mereka sama seperti aku melayan pelanggan yang lain. Bezanya aku tahu mereka tidak akan meninggalkan satu sen pun di atas meja untuk duit tip. Kaku dapat terima kasih pun sudah memadai.
Selepas makan aku nampak Tan pergi ke bar dan bercakap dengan Johnny. Kemudian aku nampak Johnny membuka laci duit. Aku tahu Johnny sudah kena pau.
Apa yang terjadi malam itu menjadi heboh. Pak Ibrahim tuan empunya restoran pun tahu hal Kung Fu Tan. Aku juga difahamkan beberapa tuan pemilik restoran Malaysia di Soho telah bertemu dan cuba memikir dan mencari jalan penyelesaian.
Hari berjalan. Minggu berganti bulan. Sosok Kung Fu Tan tidak menjelma lagi. Dulu kami para pekerja dan pelayan restoran Malaysia-Indonesia selalu bersembang tentang Kung Fu Tan. Kini semua senyap.
Satu petang ketika aku berjalan di Old Compton Street aku terserempak dengan Steven Chen. Aku kenal baik dengan anak muda dari Kuantan ini. Dia selalu datang bersembang filem P. Ramlee dan filem hantu di Garuda kerana dia tahu aku belajar filem.
Steven ini tukang masak di Malaysian Singaporaen Restaurant di Dorking luar kota London. Bila dia ada cuti dia akan datang ke Garuda. Gian nak bercakap bahasa Melayu.
“Lama tak jumpa...’ kami bersalaman.
‘ Takda cuti..’ Steven menjawab,
‘ Eh... you know what happened to Kung Fu Tan? ‘ Aku bertanya kerana aku tahu jaringan bawah tanah Steven ini luas. Pernah satu kali aku ditemu bual oleh BBC Radio 4 tentang Soho dan gengster. Aku mendapat beberapa maklumat ‘ bawah tanah’ dari Steven.
‘ Kau tak tahu... we sent him off 20 batu di luar London... dia tak boleh masuk London lagi...’
‘ Really... betul ke ?’ Aku sebenarnya yakin akan maklumat dari Steven. Kerana ketika aku membuat program temubual dengan radio BBC dulu Steven ada memberi maklumat bahawa taiko besar Don atau Tun samseng Malaysia berada di Amsterdam.
Maka dari maklumat Steven ini aku yakin Kung Fu Tan tidak akan lagi kelihatan mundar mandir di Soho kerana arahan Tun dari Amsterdam. Maka restoran Malaysia-Indonesia– ingapore di Soho tidak lagi ada gangguan.
EPILOK
Tahun 2004 di Bangsar Telawi aku terserempak dengan Abang Said. Aku kenal Abang Said dari zaman aku di London. Dia bekerja di Satay House di Edgeware Road London.
Kami bersembang tentang itu dan ini. Dia kini pulang ke Kedah. Sedang bercadang untuk membuka kedai makan.
Kemudian aku bertanya tentang si Anu dan si Anu. Aku bertanya tentang siapa dan dimana.
‘ Apa berita Kung Fu Tan’. Pertanyaan pendek.
‘ Dia dah meninggal dunia dua tahun dulu...’
‘ Bergaduh ke..’
‘ Tak sakit demam biasa..’
Maka disini tamatnya lejen Kun Fu Tan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
1 ulasan:
Cerita bab Hikayat hang Tuah
atau Cerita Bab Sahabat Nabi Muhammad
atau cerita Bima Sakti
ini cerita hikayat hidup kamu,
weh, kamu tu siapa
kamu tu sultan ke?
kamu tu piEm hem hem ker?
kamu tu bukan kasta kayangan
kamu tu kasta pariah
orang tak kenal kamu den...
Catat Ulasan