Rabu, 3 November 2021

CINTA TAK BERBALAS

 



CINTA 

TAK BERBALAS


Aku belum pernah kahwin. Mungkin kerana ini aku belum lagi menjadi ahli falsafah. Aku rasa masih belum terlambat. Ini bukan pandangan sengkek. Ini pandangan ahli falsafah dunia – yang wujud lebih awal dari Nabi Isa dan Nabi Muhamad.

‘ Kalau nak kahwin, kahwinlah. Kalu dapat isteri yang baik awak akan gembira. Kalau tak dapat isteri baik , awak boleh jadi ahli falsafah’ . Ini kata-kata Socrates 2400  tahun dahulu.

Socrates ( 470-399 Sebelum Masihi)  – lahir di   Athens Greece 400 tahun sebleum Nabi Isa. Sosok ini   bertanggung jawab menyediakan   asas falsafah tamadun Barat dan tamadun  dunia yang kita bersama-sama guna pakai  hari ini. 

Socrates berkahwin dengan Xanthippe dan mendapat tiga cahaya mata. Isteri Socrates ini pemarah dan suka berleter. Suka berleter dan suka bertengkar inilah  yang ‘menyukakan’ hati Socrates hingga dia menjadi ahli falsafah.

Socrates berumah tangga  walau pun hidup sebagai suami isteri tidak tenteram. Pernah sekali Sang Isteri marah lalu  mencurahkan satu baldi air  ke atas kepala Socrates   di hadapan orang ramai.

Perangai isteri yang sedemikian  menjadi pemangkin Socrates berfalsafah.

Bagaimana jika cinta di tolak tidak berbalas?

Aku selalu menulis  cinta yang agung ialah cinta yang gagal. Cinta gagal bukan bermakna cinta tidak berbalas. Cinta gagal adalah percintaan dua sosok yang terhalang.

Manakala cinta tak berbalas ialah bercinta seorang  diri.  Si Polan yang dicintai tak ambil pot. Tepok  sebelah tangan pada angin.

Cinta tak berbalas ini juga cinta klasik. Cinta bentuk ini juga menjadi pemangkin.  Cinta tidak dibalas mendorong sosok   yang kecewa  membuat sesuatu yang hebat lagi luar biasa.

Cinta aku selalu ditolak. Cinta aku  selalu tidak berbalas.  Bukan sahaja tepok tangan dengan angin. Aku juga cuba tepok tangan dengan dinding. Rayuan  manis dari mulut aku  tidak pernah diterima.  

Tapi penolakan dari ramai Minah dari  pelbagai warga dunia ini  tidak pula memangkin diri aku untuk menjadi  hebat seperti  Vincent Van Gogh (1853-1890) yang cintanya ditolak.

Van Gogh patah hati terus  menjadi pelukis. Aku patah hati hanya berulamkan petai. Cinta aku yang selalu  ditolak  tidak  pula menjadikan aku pelukis atau seniman tersohor. Aku hanya berupaya menjadi   pemelihara anjing.

Ketika aku di sekolah rendah pada tahun  1961 aku ada membaca tentang  Leonardo Da Vinci dengan lukisan Mona Lisa.  Seingat aku nama  Van Gogh aku hanya mendengar dengan teliti   pada tahun 1979.

Kawan aku Wakuma siswa dari Ethiopia telah membaca buku surat-surat Van Goh  kepada adiknya  Theo. Ini surat luahan patah hati seorang abang kepada adiknya.

Aku tidak membaca buku ini. Ketika itu aku di Karachi Pakistan. Aku tidak  ada masa nak melayan surat-surat cinta kerana aku sibuk mengikuti perkembangan kejatuhan Shah  Ahmad Reza Pahlavi dan kemunculan sosok bernama Ayatolah Khomenei di Iran.

Bila aku sampai ke Belgium nama Vincent  Van Gogh muncul kembali. Aku merasa agak  bebal kerana tidak mengetahui siapa Van Gogh ini. Malah aku juga tidak tahu bahawa anak paderi yang bernama Van Gogh ini juga ada  pertalian  dengan Belgium. 

Vincent Van Gogh dari Zundert  Belanda mendapat  suaka di Belgium. Hishamuddin Rais dari Jelebu Malaysia juga  mendapat suaka  di Belgium. 

Dari kamus Dewan suaka bermakna mencari tempat berlindung  atau menumpang hidup.

Bila aku ketahui bahawa Van Gogh juga mendapat suaka di Belgium maka aku pun mula membaca tentang sosok ini.

Sosok ini lahir dalam keluarga alim ulama  kelas menengah  atasan  Belanda . Ayahnya seorang paderi – pendakwah  agama Kristian Dutch Reformed Church. Dari awal Van Gogh terdidik dalam bidang agama dan seni.

Pada tahun 1873  ketika berumur 20 tahun Van Gogh mendapat peluang bekerja sebagai  juru jual lukisan di London. Ketika di London Van Gogh menyewa bilik di Stockwell  di sebelah Brixton.

Aduh!  Anak muda bernama Van Gogh ini telah jatuh cinta dengan  anak tuan rumah bernama  Eugenie Loyer a.k.a Jenny.  Dia mula merakamkan cintanya dalam surat-surat kepada adiknya Theo  yang  tinggal di Belanda.

Van Gogh telah bersedia untuk memulakan kehidupan  berumah tangga. Dia meluahkan perasaan cintanya kepada   Jenny.

Aduh! Jenny menolak cinta Van Gogh kerana Jenny telah lama bertunang dengan jejaka lain.  Van Gogh frus menonggeng. 

Ini kali ke dua cinta Van Gogh ditolak. Setahun sebelum  Jenny cinta Van Gogh juga telah ditolak oleh Caroline  Haanebeek – gadis satu kampung.

Hati yang patah ini mendapat bantuan dari keluarga. Dari London Van Gogh balik kampung kemudian ke Paris.  Sesudah Paris sekali lagi ke England . Kali ini menjadi guru tambahan tanpa gaji  di Ramsgagte.   

Pindah negeri ini diguna sebagai ubat. Tetapi patah hati remuk rendam ini masih belum terubat.

Van Gogh pulang kembali ke Belanda. Kini jatuh cinta pula dengan Mak Janda beranak satu.  Puan Kee Vos Stricker sepupu sebelah ibunya. Agak lebih berumur dari Van Gogh. Cinta  dengan Mak Janda ini pun kena tolak. Apa punya nasib.

Umur makin meningkat. Pekerjaan tetap tidak ada. Mengikut surat kepada Theo dia hanya perlu  roti, katil dan bilik tidur.

Maka Van Gogh masuk belajar  ke sekolah  pondok  untuk melatih diri  untuk menjadi  pendakwah di Belgium. Patah hati ini menjadikan dirinya kembali kepada Yang Maha Esa. Van Gogh tidak pernah  melupakan Isa Anak Mariam dari  Narazetth.

Keluar dari sekolah pondok ini Van Gogh  terus pergi ke Borinage.  Ini kawasan perkampungan buruh lombong arang batu.  Borinage menjadikan   aku semakin  tertarik dengan  Van Gogh.

Kereta api dari Brussels ke Borinage -  di wilayah  Selatan Belgium  - akan  melintas di stesen  Braine-le-Comte. Mustahil aku akan melupakan Braine-le-Comte.  Malam pertama, minggu pertama dan bulan pertama aku di Eropah aku menjadi warga  di pekan kecil ini.

Satelah lebih dari dua bulan aku di Braine-le-Comte baru aku berpindah ke Wavre – bandar ‘ Bourgeosie Catholic ‘ di mana aku mengikuti kelas  di sekolah bahasa Perancis di   Athenee  Royal Maurice Creme.

Di Wavre  aku teringatkan Braine-le-Comte. Di pekan kecil ini  aku teringat cinta pertama aku di Eropah.  Aku tidak akan melupakan Braine-le-Comte. Tempat  terberak  lagi dikenang inikan  pula tempat kena ‘ rejek’.

Minggu ke dua aku di Braine-le-Comte aku berkenalan dengan David anak muda dari Chile yang lari dari rejim Pinochet.  David dan aku cuba bersembang – meraba-raba – dalam bahasa Inggeris. Ketika itu David masih lagi belajar  di sekolah menengah – umurnya aku rasa  belum melintasi  18 tahun.

Di Braine-le-Comte aku ternampak  Nathalie. Anak gadis Belgium yang langsing  cun dan bergetah. Aku rasa Nathalie ini baru selesai sekolah menengah.

Melalui David aku berjaya berkenalan dengan Nathalie. Bayangkan betapa susahnya kami cuba berbual mesra. Nathalie tak tahu bahasa Inggeris. Aku tidak tahu bahasa Perancis. Manakala David bahasa ibundanya Sepanyol.

Tapi akhirnya aku berjaya  juga membuat temu janji dengan Nathalie. Kami bertemu di sebuah cafe dalam pekan. Aku cuba mengayat Nathalie. Aku  bersurah tentang niat aku untuk belajar ilmu filem di Belgium.

Ketika aku mengayat Nathalie si  David  datang ke meja kami. Lalu kami bersembang mesra.  Aku tak tahu apa yang dibualkan oleh David dengan Nathalie. Mereka berlabun dalam bahasa yang aku  tak faham.

Nathalie minta diri. Tinggal aku dengan David dalam cafe.

‘ Isham...you  wrong... Isham wrong cafe...’ David mengulangi tentang cafe. Aku tak faham apa silap nya.

‘ Not chic... not chic... no young people...’ David memperlekeh cafe pilihaan aku.

Baru aku faham cafe yang aku pilih tidak chic dan tidak trendy. Bukan tempat  untuk anak muda bertemu.  Ini cafe biasa yang dilanggani oleh Pak Cik Pak Cik.

Dua minggu kemudian  Nathalie datang  ke rumah tumpangan aku. Ketika itu aku  bersama David. Nathalie datang dengan Benoit – seorang siswa . Benoit ingin membantu aku mencari  sekolah filem di Belgium. Benoit memperkenalkan aku  dengan sekolah-sekolah filem yang wujud di Belgium.

Bila mereka pulang David memandang muka  aku  dan terus berkata:  “ C’est fini...Isham... pas de chance...’  

Aku faham  apa maksud David. Maknanya  – semua dah habis...aku tak bernasib baik...’  

Kata-kata David ini betul. Terbukti  jaring aku tak  melekat kerana  aku nampak ketika  Nathalie  dan Benoit  berjalan pulang mereka berpegangan  tangan. 

‘ Voila..  c’est la vie...’ Ayat Perancis – inilah  kehidupan ... ayat yang  telah aku hafal untuk aku jadikan batal   menampung hati yang kecewa.

Ketika aku di Wavre hati aku meronta-ronta untuk ke Borinage.  Aku hendak melawat lorong dan jalan-jalan yang telah dilintasi oleh Van Gogh. Aku juga difahamkan  ada sebuah muzium  Van Goh di Borinage.

Hari Sabtu bulan September 1983 aku mengambil  kereta api dari Wavre menuju Borinage. Perjalanan kereta api  musim daun gugur yang amat romantik.   Kereta api melintasi hutan-hutan di mana pokok-pokok berdaun merah, hijau, perang, kuning dan coklat – daun yang sedang  bersedia untuk gugur menyambut  musim sejuk.

Aku tidak merayau ke dalam pekan. Aku terus    mencari dan membaca jalan ke arah rumah lama Van Gogh.

Aku  menapak masuk ke  dalam taman.  Daun daun musim luruh  telah bertaburan gugur. Ada lopak air disana sini pasti telah hujan dua tiga hari dahulu. Dalam tercari-cari akhirnya aku dapat bertemu  arah tanda  jalan  ke rumah Van Gogh.

Sebuah rumah banglo batu bata yang tidak besar. Mungkin hanya ada dua bilik.  Rumah ini terjaga kemas. Kelilinginya padang rumput.  Dari apa yang aku baca  satelah cinta ditolak di sinilah  Van Gogh mengabadikan diri mendakwah kepada para pelombong arang batu.

Van Gogh  pernah masuk sendiri ke dalam lombong untuk merasai betapa payah dan perit bekerja  dalam lombong arang batu. Semua ini dilakukan untuk melupakan hatinya yang patah berderai  kerana cinta tidak berbalas.

Cinta Van Gogh  terhadap Jenny lebih hebat dari cinta Hishamuddin Rias terhadap Nathalie.

Pintu rumah di tutup. Aku tahu dalam rumah ini ada penjaga yang digaji khas oleh Majlis  Bandaran  untuk menjaga rumah bersejarah yang telah menjadi  muzium.

Aku mengetuk pintu. Tidak ada  jawapan. Aku mengetuk sekali lagi. Aku terdengar tapak kaki  menuju ke pintu.  Aku dengar selak pintu dibuka.

Di tepi pintu menjenguk muka seorang Madam yang telah berumur.

‘ Bonjour Madame... Monsieur Van Goh .. il habite ici..’ Kata-kata aku dengan penuh sopan bertanya apakah Tuan Van Gogh tinggal disini.

‘ Ooo.. Monsieur...mais no..il est mort i ya a longtemps... ‘  Tuan... dia telah mati ... lama dahulu..Madam ini  menjawab dengan penuh kehairanan. 

Aku sebenarnya sengaja berlakon  bertanyakan apakah Van Gogh ada di rumah. Aku ingin menggembirakan Madam  yang aku rasa  berjam-jam duduk bosan bersendirian tanpa pelawat. Aku yakin tidak ramai pelawat yang menziarah muzium ini.

Aku tersenyum bila mendengar kata-kata Madam ini. 

Aku rasa Madam ini terfikir bahawa aku ini budak jantan kulit hitam yang tersesat yang tak tahu siapa Van Gogh. Budak hitam dari negara  Dunia Ketiga ini tidak tahu bahawa Van Gogh telah lama meninggal dunia.

‘  Monsieur ...entrez s'il vous plaît...’ Madam menjemput  aku masuk. 

Aku perhatian Madam ini gembira kerana  ada tamu bebal  yang tersesat dalam  budaya seni Eropah. 

Aku  mementaskan teater agar Madam ini akan pulang ke rumah dan akan bercerita  pada sanak saudara dan jiran  tetangga tentang bagaimana dia telah sempat bertemu dengan jantan hitam yang tidak tahu bahawa Van Gogh telah lama mati.

Aku melihat bilik tidur, dapur dan meja tempat Van Gogh membuat lakaran. Dari segi sejarah  dalam rumah ini Van Gogh telah melakar beberapa lakaran  menggunakan arang. 

Ada beberapa  lakaran Van Gogh tergantung di bilik tidur.

Aku tahu di atas meja  di bilik ini juga Van Gogh telah menulis surat kepada Theo tentang keperitan kehidupan para pelombong. Pendakwah ini menjadi marah kepada gulungan kaya yang tidak sedar bahawa hawa panas dalam rumah mereka adalah hasil dari titik peluh tenaga buruh yang perit bekerja.

Mata Madam ini  mengikut gerak badan aku. Sekali lagi aku mementaskan teater komidi aku.

‘ Qui est Van Gogh...’ Aku membebalkan diri dan bertanya siapa Van Gogh.

‘ Monsieur… monsieur c’est un artiste peintre celebre… ‘ Madam ini dengan pantas menerangkan bahawa  Van Gogh ini seorang pelukis tersohor.

‘ Merci Madame…’ Aku berterima kasih dan tersenyum kerana aku amat yakin aku telah menggembirakan  hati  seorang Madam di Borinage.

Aku mengundur diri dan menapak ke pekan. Pekan kecil ini kelihatan lengang – macam pekan tinggal.. Pekan yang satu ketika dahulu dilanggani oleh para pelombong.

Mata aku tercari-cari macam rusa masuk kampung. Aku menapak tanpa tujuan. Aku ingin merasakan  apa yang telah dirasakan  oleh Van Gogh ketika dia berjalan dengan ayah dan adiknya yang datang melawat dia di Borinage.

Tertiba  aku tergelecek dan jatuh ke lopak  air di tepi longkang.  Topi aku tercampak.  Ketika aku bangun membetulkan diri aku perhatikan di sekeliling  tak ada siapa nampak aku terjatuh. Tapi aku merasa ada mata yang sedang memandang aku terjatuh. Mata aku liar  mencari cari.

Betul. Ada mata yang ternampak aku. Aku tersenyum. Apa yang aku nampak ini akan aku ingati sepanjang hidup aku. Seorang perempuan berbaju mandi merah sedang duduk di belakang dinding kaca. 

Perempuan   itu  tersenyum  bila aku ternampak dia.   Inilah dua mata  yang melihat aku terjatuh. Aku melambaikan  tangan. Dia membalas lambaian aku.  Aku tahu siapa perempuan ini. Mereka  memberi khidmat kasih sayang. Tidak menolak cinta sesiapa pun.

Cumbu kasih sayang  pantun dan seloka akan terhambur dari mulut mereka  bersama ringgit dan dolar.

Ketika aku memerhatikan perempuan dalam gelas ini aku teringat bagaimana Van Gogh di akhir hayatnya telah berkawan dengan Sien Hoornik.

Van Gogh bertemu Sien  Hoornik  seorang pelacur  Den Haque. Sien dan anaknya akhirnya menjadi model untuk lukisan Van Goh.  Pelacur dan anak inilah yang menjadi keluarga Van Gogh hingga akhir hayatnya.

Aku menapak  menuju ke perhentian kereta api.  Ketika kereta api  berhenti di Braine-le-Comte aku teringat kembali kepada Nathalie.. 

Aku gagal dengan Nathalie di Braine-le-Comte tapi di Borinage aku berjaya menggembirakan dua hati perempuan Belgium.

EPILOG 1
Bila aku pindah ke London aku putus hubungan dengan David. Kali akhir aku bertemu David dia memberitahu aku bahawa  Ibu dan adik lelakinya telah juga mendapat suaka di Belgium. 

EPILOG 2
Kegagalan aku dengan Nathalie menjadikan aku lebih keras belajar bahasa Perancis. Usaha tangga kejayaan.   Bahasa mengenalkan kita kepada tubuh dan badan yang diminati.

EPILOG 3
Ayat paling afdal untuk dihafal ketika di Belgium atau di Paris  ialah – voulez-vous coucher avec moi ce soir ?  Mahukah kamu tidur dengan aku malam ini.  (TT)


TULISAN INI  JUGA
DISIARKAN  DI LAMAN PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/11/03/cinta-tak-berbalas/


3 ulasan:

Unknown berkata...

Kawin tu urusan jodoh. Jodoh urusan tuhan. Merasa keenakan pantat tu pulak adalah pilihan. Ada banyak pilihan…cina melayu indon filipin asing lokal adalah pilihan. Nanti akhir kalam harap Tt gtau apa pilihan terbaek yang pernah dibuat untuk menjadi panduan kepada anak anak muda yang mencari cinta…

Tanpa Nama berkata...

L'Chaim!

Tiger Samat berkata...

Aku pun mcm hang TT tapi aku bergelandangan di SunBelt cities...teringin juga nak tulis tapi tak reti..kahkahkah kahkahkah