Rabu, 8 April 2020

MERAKAM SEJARAH - PAKSAAN DARI KARONA





MERAKAM SEJARAH

PAKSAAN DARI KARONA 

Hari Selasa 7/4/2020  anak semua bangsa warga Malaysa telah selesai  berkhalwat a.k.a PKP – (Perentah Kawalan Pergerakan) selama tiga minggu.  Arahan baru menyambung hingga ke 14 April. Apakah arahan berkhalwat untuk   menjarakkan diri ini akan berterusan  salepas 14 April nanti?  Disambung hingga ke bulan puasa ? Hingga salepas Hari Raya ?  

Pada ketika ini masih belum ada jawapan. Semuanya  bergantung kepada langkah dan perjalanan  dan tindak tanduk Virus Karona. Kemana virus ini akan menyusup. Amin.

Bayangkan hari ini kita semua ditahan atas tuduhan Akta 39B.  Ini rang undang-undang kanun keseksaan  Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati kerana memiliki dadah. Hukuman ini bukan hanya boleh menahan warga  Malaysia tapi  sedang  menahan   seluruh warga dunia. 

Dalam dunia ini ada 195  buah negeri yang diiktiraf sebagai  negara oleh Pertubuhan  Bangsa Bangsa Bersatu. Sebanyak 180 negara sedang diserang oleh Covid-19.  Serangan Covid-19 ini sama saperti hukuman 39B akan  mensabitkan hukuman mati kepada yang bersalah.  Memang tidak ada sesiapa  membawa  berkilo ganja , kokain atau syabu. Tetapi inilah perasaan umat manusia diseluruh dunia ketika  berhadapan dengan  virus karona.  

Semua umat manusia merasai  diri mereka sedang  menunggu hukuman 39B. Ertinya kita sedang  berhadapan dengan maut. 

Akibat dari 39B ini kita diarahkan   berkhalwat dirumah. Tetapi hidup kita dalam kerisauan dan tidak tentu masa depan. Perasaan gentar, cuak,  takut takut dan was was berterusan saban hari. Kita merasa sangsi apakah sosok dihadapan kita ini akan membawa kita ke 39B.  Apakah jiran disebelah rumah akan membawa 39B.

Kita boleh tidur tapi dalam keadaan kurang  selesa.  Resah gelisah. Kita bersendirian melayan fikrah bertanya apa akan terjadi sesudah ini. Kita semua sedar diatas tangga  39B sedang menapak. Bila-bila pintu akan diketuk.

Apakah tulisan saya kali  ini bagitu pesimis. Terlalu  fatalistik. Tidak.    Saya tidak pesimis. Saya juga tidak fatalistik. Saya realis tetapi  risau. Saya juga dilamun oleh angst. Kerana saya  juga  sedang  berhadapan dengan Akta 39B.  

Berkhalwat dalam budaya Melayu bertujuan bersendirian untuk mencari ketenangan. Berkhalwat tahun 2020 bermakna menjarak dari dari bakal pembawa 39B. Saya sedar bahawa kita sedang berkhalwat dalam  suasana tidak  menentu.  

Tetapi pada  hemat saya ketika berkhalwat inilah masa  munculnya  peluang   terbaik untuk kita sesama berfikir dan menilai kembali arah  diri.  Membaca tujuan hidup. Bertanya makna hidup. 

Virus Karona sedang memaksa kita umat manusia – anak semua bangsa – dan bangsa semua agama bertanya : umat manusia ini  dari sini kita hendak kemana. 

Karona telah memaksa  umat manusia untuk bertanya akan soalan soalan hakiki yang selama ini tidak kita endahkan. Soalan yang selama ini kita simpan dalam almari.  Soalan yang sering  pulang tersepak pergi terlanggar. Musik kehidupan moden terlalu bising untuk kita bertanya dan memikirkan soalan ini.

Kita anggap soalan dan wacana  hakiki  tentang arah hidup ini hanya  dikupas oleh sosok yang memiliki fikiran kritikal. Atau ini persoalan dan perbincagan ahli flasafah. Atau majoriti warga adalah dari kaum kerabat  Pak Turut yang hanya mengikut apa kata Orang Surau. 

Atau soalan sabagini hanya ditimbulkan oleh mereka yang bukan CEO Bank atau Pengarah GLC atau tidak memiliki  kerjaya  lumayan. Kita memperlekeh soalan sabagini kerana ianya disuarakan oleh  para gagalis  yang tidak  memiliki bunglo di Taman Tun atau  tidak memiliki   kondo disebelah KLCC. Soalan hippie daru zaman John Lennon yang tak perlu diambil pot.

Sabenarnya jawapan  terhadap persoalan hakiki tentang  makna hidup ini cukup enteng. Jawapannya ada dihadapan mata kita. Saban hari kita terbaca tentang persoalan ini. Hanya ramai yang gagal untuk memahami apa yang tersadai dihadapan mata mereka. 

Yakinlah semua jawapan persoalan ini ada pada Virus Karona.  Memahami Virus Karona adalah memahami  falsafah kehidupan umat manusia hari ini.

Virus ini  dari unta. Virus ini mungkin datang  dari tenggiling, dari kelawar, dari  burung, dari babi atau  pun dari bilik makmal. Dari mana asal usul Sang Karona ini pada tahap ini tidak penting. Yang penting ialah kita umat manusia  wajib memahami perangai dan tingkah laku virus ini. Kita wajib mengamati sifat dan kelakuan Sang Karona.

Dari tenggiling Sang Karona  mahu berpindah. Darah dan tubuh badan  Sang Tenggiling tidak manis lagi.  Karona memerlukan tuan rumah baru untuk bertapak.  Justeru Sang Karona pindah untuk mendapat Tuan Rumah   baru. Paling cocok ialah tubuh badan manusia.  

Sesampai sahaja  wilayah baru ini Sang Karona  mula  bercucuk tanam dan beranak pinak. Mula membiak. Membuat tamadun. Membuat jalan. Hisap sana. Hisap sini.Gali sana gali sini.  Tebuk sana dan tebuk sini. Berusaha untuk mendirikan  lebuh raya baru untuk terus membiak. 

Jika Tuan Rumah marah maka Sang Karona akan memperkuatkan diri. Jika Tuan Rumah  melawan  atau mendapat bantuan maka Sang Karona akan  menjadi kebal. Berubah wajah.  Bercambah dengan rupa bentuk baru tapi watak peragai  masih sama. Hisap sana. Hisap sini. 

Sang Karona terus membiak dan beranak pinak. Dari beberapa  kumpulan kini Sang Karona telah berbilion bilon. Hisap, gali, salur dan sedut untuk mendirikan tamadun baru. Kini Karona ialah satu tamadun untuk seluruh alam.

Akhirnya   Tuan Rumah tidak berupaya menampong tamadun Sang Karona. Akibat dari gali sana korek sini akhir  tamadun Sang Karona menjadi bagitu berat . Tuan Rumah  mengaku kalah. Maut datang menjemput.  Bila Tuan Rumah mati  maka Sang Korona pun mati sama. Sang Karona mati Bersama Tuan Rumah.  Dan   belum sempat berpindah mencari Tuan Rumah baru.

Mustahil tidak faham kesah Sang Karona ini.

Untuk saya umat manusia  yang pada hari ini adalah virus.  Manusia ini adalah  virus. Tingkah laku dan perangai  umat manusia hari ini sama saperti perangi  virus.  Manusia dan virus adalah sama.

Apakah ini kata-kata lucah lagi kasar  dari Hisamuddin Rais. Kenapa berani menyamakan umat  manusia dengan virus. Hishamuddin Rais akan membuktikan kevirusan umat manusia. Khalas.

Kita adalah pendatang di Bumi Manusia ini. Umat manusia  hanya ada satu bumi.  Umat manusia  adalah tamu kepada bumi  ini. Bumi inilah ialah tuan rumah umat manusia. 

Sila lihat apa yang sedang umat manusia  lakukan kepada bumi ini. Umat manusia dengan rakus lagi gelojoh sedang menjarah bumi ini. Sama saperti yang sednag dilakukan oleh Covid-19.

Tamadun manusia moden sedang menggasak bumi ini. Atas nama ekonomi umat mansuia merobek  bumi ini. Atas nama pembangunan dan kehidupan umat manusia mengoyak rabakkan bumi ini. Gaya hidup umat manusia moden  sedang mengancam dunia  ini.

Saperti Sang Karona yang hidup membiak dengan memakan darah Tuan Rumah. Umat manusia  juga sedang menghisap  darah Bumi Manusia ini.  Syarikat minyak sedang  menyedut darah bumi.  Bijih timah,  tembaga, perak,   emas sedang  digali.  Lombong dan loji bangun disana sini. Loji dan lombong ini mencurahkan seribu satu macam kimia. 

Hutan dirobek. Bukit didatar. Gunung ditebuk. Semua untuk membuat lebuh raya. Hasilnya jutaan  kereta menghitamkan  pasir yang puteh. Arang yang digali kemudian dibakar. Asapnya  sedang mengancam  Bumi Manusia. Lombong menjadikan bumi ini lopong sama saperti paru-paru manusia yang lopong kerana diserang  Covid-19. 

Tak jauh dari rumah kita – di Kelantan -  hutan dara tropical ialah wilayah pengeluar oxygen yang bersih.  Tetiba hutan dara ini digasak untuk  memastikan Pak Lebai dan Tok  Imam mendapat fulus. Akibatnya  banjir melanda.  Ini sama saperti  perangai Covid-19 meyerang  alat penafasan mangsa sehingga tidak dapat bernafas.

Tak jauh dari rumah kita – di Gebeng – racun dibawa dari Australia. Semua dilakukan atas nama modal, teknoloji  dan kekayaan. Dolar, ringgit dan dinar menjadi jurumudi kehidupan manusia moden.

Tidak cukup dengan  hutan dara dirogol  kita juga mengancam diri kita sendiri dengan budaya tidak puas puas memiliki.  Sang Karona tidak puas hati. Apabila masuk ketubuh badan manusia Sang Karona juga  berlawan lawan untuk memiliki sebanyak mungkin wilayah untuk digasak. Sang Karona menggasak  tubuh badan manusia untuk terus hidup dan membiak. Manusia menggasak bumi atas nama kehidupan untuk membiak.

Hari ini umat manusia di seluruh Bumi Manusia ini  sedang  berhadapan dengan Akta 39B. Dihadapan  umat manusia   ialah maut yang akan datang bila-bila masa.   Sebenarnya Sang Maut telah lama  duduk diatas tangga. Tetapi umat manusia ini cukup degil sama saperti degilnya  mereka yang ditahan polis kerana melanggar PKP.

Umat manusia  yang degil ini gagal memahami kenapa berbulan-bulan hutan di Australia terbakar. Umat manusia gagal memahami kenapa  katak hijau hilang dari sawah.  Anak sekolah dikampong hari ini tidak lagi ternampak  burung But But dan burung Tempua. 

Sang Karona ketika membaham Tuan Rumah akan mengeluarkan racun bisa yang akhirnya akan mematikan  Tuan Rumah. Manusia juga sama peragainya saperti  Sang Karona.  Umat manusia menimbun tambah Bumi Manusia ini dengn plastic. Ini adalah racun yang akan membunuh Bumi Mansuia. Sama saperti Sang Karona yang pasti mati Bersama Tuan Rumah. Umat  manusia juga akan mati bersama Bumi Manusia.

Apakah masih  ada  pembaca yang tidak yakin bahawa perangai umat manusia moden hari ini  tidak ada bezanya dari perangai dan kelakuan  Karona Virus.

Dari mana datangnya virus ini?  Kenapa umat manusia  memiliki perangai sama saperti  Sang Karona. Soalan ini adalah bukti bahawa iklan wayang telah selesai dan kita sedang masuk ke permulaan babak pertama wayang yang saya janjikan minggu lalu. Babak saterusnya tunggu minggu hadapan.  (TT)





----------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Manusia terbaik adalah proletar dan aristokrat. Disana proletar membangun dan disini aristokrat memikirkan pembangunan.proletar yang berfikrah akan menyertai aristokrat