KEDAI MAKAN
DI SIMPANG JALAN
Dua minggu dulu aku singgah di Taiping dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. Taiping ini amat spesial. Cerita dan sejarah aku dan Taiping sambung bersambung.
Kali ini aku wajib singgah di Taiping. Ada janji aku dengan Taiping yang masih belum selesai. Ada hutang yang masih belum dibayar.
Di zaman sekolah menengah di Jelebu aku telah diberitahu oleh Mister Tay – guru Ilmu Alam – bahawa Jelebu adalah daerah terpanas di Malaysia. Manakala Taiping wilayah paling basah di Malaysia.
Kali pertama aku sampai ke Taiping dalam tahun 1969. Kemudian dalam tahun 1970 - hampir setiap hari Selasa aku datang ke Taiping. Aku datang dari Kuala Kangsar untuk pergi ke Burma Pool di bawah kaki Bukit Larut dalam Taman Tasik Taiping.
Berenang ini aktiviti Hari Selasa - aktiviti Kelab Renang MCKK. Ketika itu kolam renang MCKK pecah maka gantinya kami berenang di Burma Pool Taiping.
Kemudian tahun 2001 aku ditahan di bawah ISA – Akta Keselamatan Dalam Negeri. Aku dihantar ke KEMTA ( Kem Tahanan Kamunting). Selama dua tahun aku disana.
Kem Kamunting ini hanya 6 batu jauhnya dari pekan Taiping.
Kereta yang aku tumpang dari Pulau Pinang di pandu oleh Mus. Kereta mengelencong masuk ke tol Kamunting untuk menuju ke Taiping. Disini aku teringat kem tahanan KEMTA.
Tempat jatuh lagi di kenang inikan pula tempat dikurung.
Melintas jalan arah ke Masjid Kamunting aku teringat tahun pertama di KEMTA aku menginap dalam satu sel bersama Tian Chua. Tahun ke dua baru aku dan Tian di satukan dalam satu Blok bersama Lokman Adam, Ezam Mat Nor, Ustaz Badrul dan Pak Abu. Kami duduk dalam Blok B2 KEMTA.
Dalam kem tahanan aku banyak masa. Selain dari membaca, berfikir dan berangan-angan aku juga bersukan.
Paling aktif dan cekap bersukan ialah Ustaz Badrul. Ustaz ini tidak merokok. Tubuh badan segak. Ustaz Badrul boleh melompat memusingkan badan dan kembali berdiri tegak.
Lokman Adam juga bersukan. Dia cuba menurunkan berat yang agak menonjol. Aku bersukan untuk membunuh masa.
Aku ikut Ustaz Badrul main badminton. Sambil ketawa sambil kejar mengejar kami menghabiskan masa di waktu petang sebelum masuk kembali ke sel yang akan dikunci jam 7.
Blok B2 ini agak luas. Seluas satu padang bola. Ada dua bangunan. Satu pejabat warden yang menjaga kami. Satu lagi tempat tidur kami.
Diantara dua bangunan ini ada tanah lapang dan satu gelanggang badminton.
Saban petang aku memukul bulu tangkis dengan Ustaz Badrul. Aku bermain tanpa teknik. Aku bukan Tan Aik Mong atau Misbun Sidek. Kami bermain untuk mengeluarkan peluh. Sambil memukul bulu tangkis sambil berbual. Kejar mengejar sambil ketawa. Seronok – memang seronok hingga aku terlupa aku dalam penjara.
Tertiba satu pagi jari telunjuk kiri aku bengkak. Aku merasa sakit. Apakah aku telah digigit lipan ketika tidur. Sehari berlalu sakit tidak berkurangan.
Jaswan Singh Pegawai Pembantu Hospital KEMTA mencadangkan aku diperiksa di Hospital Taiping. Aku agak risau jari aku makin membengkak.
‘ You have tennis elbow... ‘ Jaswan Singh satelah dia memeriksa lengan aku.
‘ Saya tak main tennis.... bukan elbow yang sakit tapi jari....’ Aku menjelaskan.
‘ The name only... you sakit di lengan... yang bengkak jari... this is call tennis elbow... you pukul bulu tak betul.... ‘ Jaswan ketawa.
Selasa pagi jam 10 aku dipanggil oleh Cik Gu untuk ke hospital. Cik Gu ini adalah istilah anak muda lulusan Pusat Serenti untuk para warder.
Terkurung berbulan-bulan dapat keluar ke hospital ini satu perkara yang amat menggembirakan. Aku dapat melihat dunia. Melihat kereta, bas, pejalan kaki, kedai dan bertukar angin. Menyeronokkan.
Hospital di pinggir pekan Taiping. Dalam van penjara aku digari. Mustahil dapat aku melarikan diri dengan pakaian orang tahanan – seluar jerut biru, baju putih dan selipar Jepun.
Kereta yang dipandu oleh Mus melintas pekan Kamunting. Lalu depan Stesen Bas Kamunting. Lalu depan Masjid Kamunting. Melintas depan kawasan perumahan dan masuk ke kawasan askar.
Taiping pekan warisan. Banyak bangunan lama peninggalan Inggeris. Mata aku terbuka luas. Ingatan aku dalam van penjara kembali segar.
Van penjara berhenti di lampu trafik. Kami berhenti di simpang T – menunggu lampu hijau. Aku menoleh ke luar sebelah kiri. Aku nampak sebuah kedai makan Melayu. Bila lampu hijau menyala van penjara meluncur masuk ke perkarangan hospital.
Aku di beri rawatan oleh Misi jururawat yang agak muda. Tangan kiri aku hingga ke siku di rendam dalam lilin cair. Ini terapi saraf akibat dari main badminton tanpa teknik yang betul.
‘ Ikut terus ke depan.... belok kiri... kita akan jumpa hospital....’ Aku berkata kepada Mus yang belum arif dengan jalan di Taiping.
‘ Kau ingat ke jalan nya.... ‘ Mus bertanya.
‘ Mustahil aku lupa....’ Aku memberi keyakinan arah jalan.
Mustahil aku akan melupakan jalan dari Kamunting ke Hospital Taiping. Aku rasa hampir tiga bulan – 12 kali – aku datang ke Pusat Terapi Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan tennis elbow.
Kereta yang dipandu oleh Mus sampai ke lampu jalan di persimpangan T. Lampu merah. Kereta berhenti. Aku memandang ke kiri. Aku tersenyum puas . Kedai makan simpang jalan ini masih wujud.
Hutang aku akan dapat diselesaikan.
Restoran Ridhwan sedang rancak melayan pelanggan.
Ketika dalam van penjara - setiap kali aku sampai ke simpang jalan ini aku akan menoleh ke dalam kedai makan.
Kali ini aku bukan dalam van penjara. Aku menoleh ke kiri. Aku ternampak pelanggan yang ramai dalam kedai. Di kanan aku Mus sedang memandu.
Aku teringat makanan dalam trey plastik KEMTA. Ada nasi , sesenduk sayur, sekeping ikan masin yang sampai dua kali seminggu. Hari Ahad ada seketul daging. Hari Rabu telor , Khamis ikan, Jumaat dan Senin ikan masin.
Ketika dalam van penjara aku berangan-angan satu masa nanti aku akan datang ke kedai makan ini. Dalam hati aku berjanji satu hari ini bila aku telah bebas aku akan datang makan disini.
Senin 30 Januari 2023 aku sampai.
Kereta kami membelok ke kiri dan mencari bertapak.
Aku menapak masuk dari pintu belakang dan terus menuju ke meja lauk pauk. Ini bukan lauk KEMTA atau Penjara Taiping Ada gulai ikan. Ada gulai ayam. Ada ulam, Ada telor masin rebus. Ada dua jenis ikan goreng. Ada sambal ikan. Ini kedai makan nasi campur masakan Melayu.
Aku ambil ikan bawal masak kicap. Aku ambil ulam – daun salat dan timun. Ada satu daun aku ambil tapi aku tak mengenali daun ulam ini.
‘ Daun apa ni kak....’ Aku bertanya pada Kak Diah wanita 40’an yang aku rasa tuan kedai makan ini.
‘ Daun tenggek burung.... ‘ Jawabnya ringkas.
‘ Ni apa ni... gulai apa...’ Aku bertanya lagi.
‘ Gulai pisang emas....’ Kak Diah menjawab.
Aku tak makan nasi. Aku makan gulai pisang dengan ikan bawal. Aku ambil semua ulam. Hinggakan dulang ulam kosong.
Sesudah makan aku pergi ke meja duit bukan untuk membayar tapi melihat barangan dalam balang plastik yang ada tersusun di atas meja.
‘ Ni apa ni Kak...’ Aku bertanya.
‘ Sambal lada bilis....’
‘ Dah lama meniaga.... saya pernah nampak kedai ni ... lama dulu ..... tahun 2001 ...ke 2002... tapi tak pernah singgah....’ Aku bersurah.
‘ Woit... lama tu... kami ambil tahun 2009... dulu orang lain punya...’ Kakak memberi penerangan.
‘ Sewa berapa Kak...’ Aku cuba mencungkil.
‘ Seribu lebih... ni bangunan milik Jabatan Agama Taiping...kami sewa....’ Kakak memberi penjelasan.
‘ Saya dulu selalu nampak kedai ni.... saya dalam van penjara....Kamunting... masa pergi hospital...’ Aku bercerita lagi.
‘ Kamunting mana...’
‘ Tahanan Kamunting dua tahun .... tiga hari di penjara Taiping...’ Aku menyambung cerita.
‘ Kes apa .. ‘ Kakak bertanya,
‘ Kes politik...’ Jawapan aku memberhentikan perbualan.
Aku duduk di bahagian depan kedai dan boleh memandang ke hospital. Di kawasan belakang restoran masih ramai pelanggan.
Mata aku mengarah ke Hospital Taiping. Sayu juga hati aku. Aku teringat dengan Misi Jururawat yang baik hati yang merawat aku. Di mana agaknya dia kini bertugas.
Dialah yang menyediakan lilin cair untuk aku merendam tangan. Pasti dia telah berumah tangga. Ini kesah dua puluh tahun dulu.
Aku membayar bil makan dan membeli satu balang sambal bilis.
Dalam kereta aku teringat dengan popiah basah Taiping. Lalu Mus bertanya dengan Lebai Google di mana kedai popiah Taiping. Kereta berpusing mencari Kedai No 1 di kawasan pasar yang dikatakan oleh Google ada menjual popiah.
‘ Tiga ringgit untuk lima popiah... ‘ aku memberi tahu Mus yang duduk menunggu dalam kereta.
‘ Lepas ni ke mana....’ Mus bertanya.
‘ Di Taiping kalau tak ke warung cendol tak sah lawatan kita... ‘ Aku berfatwa.
Lalu kami bertanya sekali lagi dengan Lebai Google.
Kami berlegar mencari kedai menjual cendol. Cendol amat terkenal di Taiping, Ada beberapa buah kedai. Akhirnya bertemu warung kecil. Ini pilihan aku. Aku lihat ramai juga pelanggan.
‘ Lebih sedap dari Cendol Biasa yang aku minum di Tanjung Karang...’ Komen aku kepada Mus.
‘ Lepas cendol ni kita ke Taman Tasik... sana aku mandi ... berenang.. nak tunjuk tempat itu pada kau...’
Kereta bergerak hingga sampai ke depan Penjara Taiping.
‘ Aku dah tidur 3 malam dengan Tian dalam jil ni.... sebelum aku di bebaskan dari ISA... bukan semua orang dapat masuk penjara Taiping... hanya yang terpilih saje....’ Aku dengan bangga bercerita pada Mus.
Penjara ini cukup klasik. Didirikan pada tahun 1879. Ini cara kolonial Inggeris mengawal samseng China yang bergaduh di lombong bijih timah.
Dari belakang penjara kereta kami menyusur dan masuk ke Taman Tasik. Kami berlegar dalam kereta. Kami melintas kawasan perkuburan Perang Dunia Ke Dua – makam kolonial.
‘ Ha... itu tempat aku berenang tiap hari Selasa tahun 1970 ... sejuk gila... lepas mandi pergi medan selera.. makan satay.... 5 sen secucuk..masa tu satay murah... ada junior yang ambil peluang isap rokok.... aku yang paling senior buat tak nampak....’ Aku bercerita sejarah ketika aku jadi Budak Koleq.
Kereta diberhentikan. Kami berjalan di bawah pokok-pokok tua yang kini menjadi satu tarikan di taman Tasik Taiping. Aku nampak ramai pelancong bersiar mengambil angin di tepi tasik.
Ketika berjalan di tepi tasik di bawah Pokok Hujan yang berumur ratusan tahun ini aku teringat kembali kata-kata bijak Confusius : Masa menanam pokok terbaik ialah dua puluh tahun dahulu. Masa ke dua terbaik ialah esok.
Satelah penat berjalan aku bersuara ‘... Ok kami nak pulang ... dan selamat tinggal Taiping....’ Aku bercakap kepada Tasik.
Kereta kami bergerak menuju ke Kuala Kangsar ikut jalan lama. Dalam kepala aku teringat pada Taiping dan sejarah peninggalan Inggeris.
Aku terfikir : Inggeris meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ). Inggeris membina Kem Tahanan Kamunting. Inggeris mendirikan Penjara Taiping. Inggeris membuka hutan dan membina Taman Tasik di kaki Bukit Larut. Inggeris membina Burma pool.
Aduh ! Semuanya peninggalan Inggeris. Malah MCKK tempat aku belajar pun peninggalan Inggeris.
Ratusan tahun dulu Inggeris telah menanam Pokok Hujan. Mengikut Confusius hari ke dua terbaik menanam pokok ialah esok.
Aku juga berniat ingin menanam sesuatu. Aku mahu menanam ingatan untuk generasi akan datang. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/02/15/kedai-makan-di-simpang-jalan
5 ulasan:
Bro... Mohon penjelasan. Yang rawat tu misi atau Ahli fisiotrafi?
Orang Kita susah nak hargai sejarah walau sejarah negara, memang lah inggeris buat semua, jalan bangunkan keretapi elektrik semua lah, memang penjajah tetapi kemudahan awam ini tidak terpelihara, kita buat bangunkan barau pun bocor runtuh bumbung, tapi bangunkan inggeris Masih wujud kuat pulak ITU, tapak sejarah banyak ketinggalan, ITU tak apa, pusat kunjungan orang pun tak boleh jaga, tasik penuh sampah sarap, rumput tak jaga, entah apa lah nak cakap, setiap Kali pergi Taman tasik Taiping penuh sampah sarap, landscaping pun huru hara, fauna flora entah ke laut, Cuba kaji cari orang bijak buat kerja, jaga Pokok beratus tahun bukan senang tetapi silap.orang kita sedih lah, muzium terawalo negara sama jugak, tak ada bahan baru, semua cerita ikut pemimpin politik negara terus dengan agama bangsa begitu kah kah ubah
wisma larut. bismillah pun baik kedai 100 tahun. train station pun baik. pilot tt mesti didenda ketuk ketampi. kilang kopi pun tak dibawanya. tapi mungkin tt singgah tiada rancangan. urusan penting sahaja. semoga selamat urusan tiada gendala.
Burmese pool
From Taiping With Love kata Arwah Rashid Asmawi
Catat Ulasan