Najib masih berdepan 4 lagi perbicaraan
PERBICARAAN rasuah SRC International Sdn Bhd, Najib Razak membabitkan RM42 juta selesai hari ini, tetapi ia bukanlah penamat kepada kes perundangan bekas perdana menteri itu.
Pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International hanyalah yang pertama dalam lima perbicaraan sedang dihadapi Najib.
Perbicaraan lain ialah:
* 1Malaysia Development Berhad (1MDB) - RM2.28 bilion.
Dalam perbicaraan 1MDB, Najib dikenakan 25 pertuduhan pada 20 September 2018.
- Empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
- Sebanyak 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Ia melibatkan sembilan pertuduhan menerima RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan RM2.19 bilion dan lima pertuduhan menggunakan RM22.649 juta.
Perbicaraan ini sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Colin Lawrence Sequerah.
Pada 23 Jun, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah terdapat 20 lagi saksi yang belum memberi keterangan sebelum pihak pendakwaan menyelesaikan kesnya.
Sebaik sahaja peringkat pendakwaan kes itu selesai, hakim akan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak untuk memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap Najib.
Jika diarah membela diri, Najib mempunyai tiga pilihan.
Ahli Parlimen Pekan itu boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pendakwaan atau memberi keterangan secara bersumpah, membenarkan pihak pendakwaan menyoal balasnya.
* Meminda laporan audit 1MDB
Dalam perbicaraan ini, Najib didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai pegawai awam atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mengubah laporan audit 1MDB, yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2016. Ini dilakukan agar tiada tindakan boleh diambil terhadapnya oleh Parlimen.
Ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy juga didakwa bersubahat dengan Najib dalam dakwaan meminda laporan audit 1MDB pada mesyuarat dengan pegawai Jabatan Audit Negara pada 24 Februari 2016.
Perbicaraan ini juga sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Saksi pendakwaan terakhir sepatutnya memberi keterangan pada 14 Julai, tetapi jatuh sakit. Perbicaraan akan disambung semula pada 26 Ogos.
* Kes International Petroleum Investment Co (IPIC).
Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah berdepan enam pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.64 bilion dana kerajaan untuk pembayaran kepada IPIC.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34.
IPIC, dana kekayaan negara Abu Dhabi, adalah penjamin bersama dua bon 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion.
Dalam kes IPIC, Najib dan Irwan meminta dibicarakan pada 25 Oktober 2018 bagi enam pertuduhan menyeleweng kira-kira RM6.64 bilion dana kerajaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.
Sebahagian daripada dana itu dilindungi dengan tujuan tertentu termasuk perbelanjaan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa KL, dan subsidi dan bantuan tunai dilaporkan di bawah peruntukan Belanjawan 2017.
Sebelum ini, dilaporkan wang itu sebaliknya disalurkan kepada 1MDB untuk membayar balik hutangnya termasuk AS$1.2 bilion kepada dana kekayaan negara Abu Dhabi pada April 2017.
Pada Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib dan Irwan untuk membatalkan pertuduhan CBT.
* SRC International Sdn Bhd - RM27 juta
Terdapat tiga lagi pertuduhan tambahan berhubung SRC International yang belum didengari.
Ia melibatkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Najib, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – 23 Ogos, 2022.
2 ulasan:
dapek jugak la dia kluar jalan2... maso kluar nnti pakai baju oren ko, baju purple... semalam elok hensem muko insap aey... padahal itu la sojahek2 urang tu dongan bini aey...
dan berapa kali pula nak berdiri depan jemaah masjid lepas solat nak bersumpah sumpit itu ini?
terlalu banyak sumpah boleh memakan diri. buktinya 23Ogos2022 kena heret ke jel menjadikan sumpah sumpit tak berguna dan membuang masa membodohkan orang.
Catat Ulasan