Rabu, 24 Ogos 2022

LIDAH PENGARANG MALAYSIAN INSIGHT



Apabila keadilan ditegakkan


BIARPUN membantah seperti yang dijangka di kandang tertuduh, Najib Razak telah diberikan ruang di mahkamah sementara rakyat Malaysia dapat melihat sendiri apa yang boleh atau sepatutnya berlaku – jika sahaja institusi diberdayakan, dipastikan bebas manakala kedaulatan undang-undang dipertahankan bersungguh-sungguh.


Selama lebih empat tahun, Najib melawan pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa melibatkan SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

Beliau kalah dua kali di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan sejak minggu lalu tetapi pasukan peguam bela baharunya enggan berhujah kerana mengharapkan penangguhan.

Namun Mahkamah Persekutuan enggan berganjak.

Mahkamah Persekutuan malah tidak tunduk biarpun ada dakwaan terhadap hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing terhadap tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, atau lima tahun penjara jika gagal bayar, bagi kesalahan salah guna kuasa.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu pada Disember 2021 ketika ia menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan terhadapnya.

Putrajaya berdiam diri walaupun dilapor mendapat tekanan daripada Umno yang pernah dipimpin oleh Najib untuk menangguhkan kes sehingga pasukan pembelaannya dapat merayu untuk mendapatkan lagi masa.

Tekanan itu mungkin berjaya dahulu tetapi tidak sekarang, ketika kerajaan yang memerintah mempunyai majoriti yang kecil serta mandatnya tinggal lebih kurang setahun daripada kuasa yang diberikan kepada Pakatan Harapan untuk jadi kerajaan pada Mei 2018.

Mungkin kerana kita mempunyai hakim-hakim yang melaksanakan tugas mereka menghakimi dan menegakkan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan – sesuatu yang sebenarnya sudah luput daripada banyak pihak lain yang mengaku kononnya berbuat demikian.

Selepas 59 tahun pembentukannya, Malaysia dan rakyatnya melihat sebuah badan kehakiman yang tegak tanpa gentar atau memihak, yang membuat keputusan berdasarkan fakta dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang lantang atau lebih berpengaruh.

Selama ini, kita sudah melihat bagaimana mereka yang berduit dan berpengaruh menggoncang dan membengkokkan sistem sesuka hati. Namun hari ini, lima hakim teguh mempertahankan amanah tanggungjawab mereka.

Hanya sahaja jika seluruh kerajaan – eksekutif, badan perundangan dan peringkat lain dalam cabang kehakiman – boleh melakukan yang sama untuk rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat, kaum atau agama.

Itu tentunya akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, kalau pun tidak lebih baik, untuk semua – seperti yang dibayangkan oleh leluhur pendiri negara. Kita hanya berharap ini akan jadi kebiasaan untuk selama-lamanya. – 23 OGOS 2011

SETUJU

SOKONG

AMIN




Tiada ulasan: