Rabu, 30 September 2015

APA ITU APA - JEREBU







APA SEBENAR APA - JEREBU



Telah hampir satu bulan kita dijala jerebu. Kalau ikan dalam sungai terperangkap dalam bubu  selama kita diperangkap jerebu pasti ikan ini telah lama mati. Tetapi kita bukan ikan. Kita manusia. Saya betulkan - kita bukan sahaja manusia tapi kita manusia moden.

Kerana kita manusia moden maka kita dalam jerebu. Lalu timbul satu perasaan pada ketika ini.Saya merasakan saya memiliki masalah dengan moden.  Ertinya saya sosok  moden yang bermasalah dengan modeniti. Moden bermakna Yang Baru. Modeniti bermakna  pembahruan.


Masuk ke zaman moden ini memberi makna kita meninggalkan yang lama. Kita merayakan sosok pribadi - individualiti. Kita merayakan kebebasan. Kita menyambut kemajuan teknoloji. Kita meninggalkan zaman feudal. Kita meninggalkan sistem pertanian feudal. Kita menyambut dan merayakan sistem ekonomi kapitalis.

Maka dalam tulisan ini - sekali lagi saya membawa ayat-ayat songsang. Sekali lagi saya membawa surah-surah sesat.

Kali ini surah songsang dan ayat sesat  akan dikahwinkan pula oleh perasaan pesimis. Saya merasa bagitu pesimis   bahawa kita telah tidak ada jalan keluar dari perangkap  jerebu ini. Saban tahun kita dijala. Saban tahun kita diperangkap. Dari tahun ke tahun jerebu semakin lama menghantui kita semua.

Maka, saya cukup yakin yang membawa jerebu ini adalah modeniti.  Pada hemat saya jerebu ini adalah hasil dari dunia moden.

Dulu ketika saya membesar tidak pernah kedengaran apa itu itu jerebu. Justeru, kerana ini  saya mula merasa pesimis terhadap modeniti. Pesimis bermakna putus asa. Pesimis bermakna kecewa. Ertinya - saya putus asa dan kecewa dengan modeniti. Saya kecewa dengan pembaharuan yang dibawa oleh moden.

Manusia moden keluar dari zaman kuno dengan angkuh sekali. Kita meninggalkan zaman feudal untuk memasuki zaman moden dengan sorak sorai yang riuh gempita. Kita merasa bangga manusia moden telah berjaya memahami hukum-hukum alam. 

Ilmu pengetahun kita melimpah ruah. Semua bidang keilmuan kita cipta, kita buka dan kita teroka. Hukum hukum alam ditemui dan kita kaji. Manusia moden meyakinkan diri mereka bahawa semua penemuan ini adalah untuk kebaikkan  dan kesejaheraan umat manusia sedunia.

Pada awalan tamadun moden - manusia moden menemui pelbagai penemuan  dari kajian hukum-hukum alam. Manusia moden mewujudkan pelbagai bentuk benda baru. Pelbagai rekaan moden.

Satelah memahami hukum alam  manusia moden telah mencipta pelbagai ciptaan. Dari ciptaan ini manusia moden merasa mereka memiliki kuasa untuk  menguasi alam. Tidak cukup dengan  penemuan ini manusia moden mula bergerak untuk menundukkan alam. 

Sekali imbas memang betul moden membawa keselesaan. Saya tidak lagi terkial-kial menggosok kolar baju saya dengan sabun dan berus sabut. Mesin basuh dan sabun debu telah memberi keselesaan yang amat sangat.  

Saya teringat lagi - sahingga tahun 1974  bila saya pulang ke Jelebu - setiap petang saya akan memasang lampu pelita minyak api.  Saya juga  wajib  menimba air diperigi jika saya mahu mandi. Moden telah membawa air dan api ke kampong saya.  

Seharusnya saya bersyukur kerana bagitu banyak masa dan tenaga telah diselamatkan.  Kehidupan moden telah membawa keselesaan. Tapi manusia moden tidak akan merasa puas hanya dengan air dan api. 

Projek manusia moden menundukkan alam ini  telah bermula 200 dahulu. Ianya bermula dengan pembakaran arang batu, wap dan injin. Ia dimulakan oleh  era revolusi industri. Lima dekad kemudian revolusi ini dibantu, dipasak dan dipangkin oleh penemuan bahan bakar petrolium.

Hari ini manusia moden sedang dalam zaman kemuncak tamadun petrolium. 

Dari pemerhatian,  saya melihat bahawa tamadun moden hari ini sedang dalam perjalanan menuju kehancuraan. Justeru, saya berhak untuk merasa pesimis  dengan keadaan sekarang.  Jerebu ini menambahkan lagi pesimis saya.

Lalu saya bertanya  apakah manusia moden ini telah melintasi tahap dimana mereka tidak dapat lagi diselamatkan? Apakah manusia moden tidak sedar bahawa jalan dihadapan mereka akan membawa kehancuran?
Dalam susana pesimis ini saya masih lagi menyimpan seketul harapan. Babak jerebu  yang memanjang pada tahun 2015 ini saya harap akan membuka mata manusia moden. Saya harap manusia moden akan berhenti sabentar. Bertafakur untuk  memeriksa diri sambil bertanya kenapa jerebu ini berlaku?

Ketika kita semua  dibaluti jerebu ini mari kita sesama melihat kembali  babak-babak sejarah dimana manusia  berjaya  menguasai alam. Kemudian kita sama-sama melihat kembali  hasil projek kejayaan manusia moden menundukkan alam.

Untuk saya - contoh terbaik ialah  dibidang pertanian moden yang telah membawa limpahan makanan kepada manusia. Kita lihat beras , gandum, kacang soya dan pelbagai bijirin bertambun tambah. Semua dibantu oleh teknoloji pertanian  moden. Makanan melimpah-limpah. Ini hanya boleh dilakukan oleh teknoloji moden.

Mustahil lima puluh tahun dahulu di Jelebu  kerbau boleh membajak, mustahil Pak Tani membongkok disawah dan berjaya mengeluar hasil padi  dari ribuan hektar sawah. Hanya moden yang boleh melakukan semua ini. Terima kaseh moden.

Opps.. Sabentar.

Sebenarnya padi dan gandum yang menggunung itu  hanya kita lihat dari mata kasar manusia moden. Alam bergerak lebih halus dari pandangan mata kasar kita. Memang betul ada limphan makanan tetapi apa harga yang wajib kita bayar. Berapa harga yang wajib kita bayar.

Mata kasar manusia moden telah dikaburi oleh ringgit dan dolar. Kita telah gagal melihat dunia ini dari mata halus - dari pengamatan dan penganalisan yang mendalam. Manusia moden cukup supefisial - cukup cetek fikrahnya. Mereka dangkal dan hanya berkeupayaan melihat luaran sahaja. 

Lalu mereka gagal menyedari bahawa jerebu yang menjala mereka ini adalah juga hasil dari perbuatan mereka sendiri.

Apakah perlu saya nayatakan bahawa jerebu yang kita alami ini adalah hasil pertanian moden. Apakah manusia moden terlalu bebal untuk memahami ini.
Mungkin ada warga yang kurang sedar bahawa pada satu ketika dahulu kita tidak ada kelapa sawit. Pada satu ketika dahulu kita juga tidak ada getah. Sawit berasal dari  Nigeria Afrika. Getah dari hutan Amazon Brazil. Dua-dua penjana ekonomi ini telah diimpot masuk ke  Tanah Melayu.

Pembakaran yang sedang berlaku di Sumatra ketika ini adalah sifat dan ciri-ciri pertanian moden. Pertanian moden ini juga berpaksikan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis ini berkiblatkan keuntunagan maksima.


Untuk mendapat keuntungan maksima adalah lebih baik hutan atau pokok sawit lama dibakar. Jika dibiarkan reput akan mengambil masa. Masa yang panjang akan  merugikan. Khalas. Period. Lihat bagaimana manusia moden berfikir - rasional dan tuntas.

Keupayaan manusia moden berfikir adalah pemberian alam yang maha besar. Dalam masa yang sama keupayaan fikrah  ini jugalah yang membawa mudarat  dan segala malapetaka yang sedang kita hadapi hari ini.

Manusia moden memiliki keupayaan fikrah  untuk menipu diri sendiri.
Alam ini sabenarnya adalah  gedung yang amat besar. Saperti pusat membeli belah Giant, Tesco atau NSK - dalam gedung ini ada pelbagai barangan yang cantik lagi menarik.  Semuanya menjemput dan menggamit.

Alam yang kita duduki ini TIDAK  datang dengan percuma . Setiap apa yang kita pakai - apa yang kita gunakan - apa yang kita tebang - apa yang kita kikir -  apa yang kita gali - apa yang kita korek - kita  wajib membayar harganya. 

Sekali imbas balak ke Kuala Kerai atau di Gua Musang adalah harta kekayaan pemberian alam.  Ini harta alam semula jadi. Sekali imbas balak ini wujud di Kelantan kerana pemimpinnya jujur dan warak. Kerana warak dan jujur maka kita menebang hutan balak ini. Lihat berapa harga yang wajib kita bayar kerana hutan balak telah ditebang. 

Terbukti - ciri dan watak alam ini  sama saperti kita telah mengambil satu kilo gula dari NSK - kita wajib membayar harganya.

Hakikatnya apa saja yang dihasilkan oleh moden  tidak datang dengan percuma. Kita diwajibkan membayar harganya. Apa sahaja yang   diusik atau diubah oleh manusia moden ianya akan menimbulkan kesan sampingan.  Kesan sampingan ini ialah harga yang kita wajib bayar.

Apakah manusia moden tidak mengetahui  tentang kesan sampingan. Mustahil. Sebenarnya manusia moden telah mengetahui kesan sampingan sebagai hukum alam yang pertama. Tetapi manusia moden melalui keupayaan fikrah telah mengenepikan hukum alam pertama ini dari menjadi pedoman dan kiblat hidup. Ini kerana kiblat manusia moden ialah keuntungan yang membawa keselesaan hidup. Maka kesan sampingan dikesampingkan dari menjadi  wacana induk.

Malah hukum alam pertama ini tidak datang dengan mendadak. Tidak sampai dengan serta merta.

Nyamuk tiruk pembawa malaria boleh dihapuskan dengan semburan cecair DDT. Bertahun-tahun kemudian ditemui DDT telah menjadi racun kepada umat manusia. Bertahun kemudian didapati  nyamuk tiruk telah menjadi kebal dari semburan DDT. Malaria menyerang kembali. Ini hanya satu contoh.

Hukum alam tertera jelas  - apa sahaja yang diusik ianya wajib dibayar. Kalau pada tahun ini gagal dibayar maka ianya wajib dibayar tahun hadapan. Kalau tidak sepuluh tahun kemudian. Kalau tidak  mungkin dalam masa 20 tahun atau dalam masa 50 tahun. Bayar tetap dibayar.

Kalau tidak dibayar oleh  ayah pasti dibayar oleh anak. Kalau tidak dibayar oleh anak pasti akan dibayar oleh cucu. Kalau tidak dibayar oleh cucu pasti akan dibayar oleh cicit. Hakikatnya ianya wajib dibayar.

Jerebu yang kita hadapi hari ini adalah pembayaran kita semua 

kepada pertanian moden. Pertanian moden yang membawa keselesaan kepada umat manusia sedang meminta kita semua membayar harganya.  Kali ini ‘ along’ yang meminta pembayaran dapat  kita dilihat dan dibaca. Ini kerana Sang Along ini datang dengan jelas. Along yang meminta bayaran ini sedang mengkaburi mata dan menyesakkan nafas kita semua. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45


--------------

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TT...Kau tulis panjang-panjang buat apa. Walhal kau hanya nak beritahu jerebu ini hasil kerja puak 'Kapitalis'.

Tanpa Nama berkata...

Jerebu ini BALA akibat kita khianat diri kita sendiri

Selagi ada Mat Bahalol selagi itu Bala akan datang...

Tanpa Nama berkata...

Ehehehe anon 1.21pm, ehehe TT tengah kusut kepala tuu.

Nazrio berkata...

Ntah TT ni...aku tahu sangat
the end ayat2 TT ni...
Satu Yang 'orang asaL'
joLobu ni Lupa
MeLayu x suka baca pjg2
MeLayu x suka pikir pjg2

son of sairim berkata...

Apa yang ko merepek ni syaiiiitttonnnnn.....gudang garam naik harga ko.....50 sen pun bising....kkakakakakakakka...hidup orang jelebu...jerebu foreverrrrr....snukaaaa

Tanpa Nama berkata...

Yg kau ni biol tak pasal-pasal ni pehal? Ada ko boleh olah cerita tentang jerebu mcm TT supaya sedap dibaca dan terkesan di hati?

Dasar makcik Felda, jump to conclusion gitew-gitew jer. Lilek la bro.