Khamis, 1 Disember 2016

KETIKA BERSIH5 BERLANGSUNG





KETIKA BERSIH5 BERLANGSUNG

Minggu lalu saya tidak menulis Dari Brickfields. Saya telah ditangkap di Jalan Kemuja - dibelakang LRT Bangsar pada Sabtu jam 10:15 pagi. Ini hari Sabtu bersejarah - Hari Sabtu 19 November 2016 - hari Bersih5.

Sebelum ditangkap saya sempat memberi ucapan  terima kaseh kepada semua yang turun ke jalan raya. Ini ucapan pertama dan terakhir saya pada hari Bersih5. 

Saya ditangkap oleh sembilan  anggota polis yang tidak memakai baju polis dihadapan kawan-kawan saya Warga Bangsar.  Saya tidak tahu nama anggota polis,  dari cawangan apa atau pangkat mereka.  Salah seorang dari mereka  mengenalkan diri bahawa mereka datang dari  Bukit Aman. Ini yang saya dengar jelas.

Tidak ada bentrokan berlaku. Hanya laungan sokongan yang saya dengar dari kawan-kawan ketika saya diiringi ke dalam kereta polis. Perlu saya nyatakan disini - kereta polis ini juga kereta biasa yang tidak ada tanda POLIS. Ianya terletak amat jauh dari tempat saya ditangkap.

Saya tidak terkejut. Saya merancang jika ditangkap - biarlah salepas perhimpunan. Ini harapan saya yang telah meleset.

Kami meligari Kuala Lumpur kerana banyak wilayah yang dilarang masuk. Ada tempat dimana kereta dihadapan saya akan berunding dahulu  dengan  Polis Beruniform yang bertugas agar kami boleh melintas jalan. Kereta saya diekori oleh sebuah lagi kereta. 

Polis   membawa saya ke ke Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur di hadapan penjara Pudu lama. Saya dibawa masuk  ke dalam bangunan IPK. Semua ruang diaras  ini telah dipenuhi oleh ribuan anggota polis. Mereka berbaris - tersusun beratur - menunggu arahan. 

Saya melihat polis-polis muda yang mungkin pertama kalinya berhadapan dengan tunjuk perasaan. Pengalaman pertama mereka. Berapa jumlahnya yang berbaris tersususn - saya tidak tahu tapi saya yakin mencecah ribu.

Polis yang mengawal saya membuka jalan mengenepikan polis-polis  muda yang tersusun bebaris. Polis-polis muda ini  melihat saya yang memakai baju kuning Bersih5 diiring masuk. Saya tidak digari. Saya yakin mereka sedar yang  saya adalah orang tangkapan polis. Saya amati muka mereka - ramai  yang tersenyum.

Apa makna senyuman ini?

Saya rasa semua anggota polis dalam negara telah didatangkan ke Kuala Lumpur untuk mengawal Bersih5. Malah - saya ternampak - polis  dari Mahkamah Jalan Duta juga turut sama beratur menunggu arahan. Polis Mahkamah adalah polis yang paling tidak polis . Polis mahkamah bekerja di pejabat.

Saya dibawa ke tingkat 7 untuk disoal siasat.

Untuk warga yang tidak pernah mengalami apa yang saya alami pasti akan gentar. Tapi saya ini telah ‘lusuh’ dengan pengalaman ini.  Saya telah terlupa berapa kali saya telah ditangkap kerana kerja-kerja politik. Malah saya berani mengakui diri saya sebagai sosok yang pernah meniduri hampir ke semua balai dan rumah pasong di Kuala Lumpur ini.

Aras 7 - Aras Siasatan. Kad pengenalan dan talipon cap ayam saya diambil. Pegawai polis yang mengambil talipon saya tersenyum apabila melihat Nokia lama saya yang berwarna merah. Saya tahu sosok ini kurang yakin yang saya TIDAK memiliki talipon bijak.

Kemudian baju kuning  Bersih5 yang saya pakai juga perlu dirampas sebagai bahan bukti. Aduh! Saya tak ada baju lain. Pejabat ini semuanya berhawa dingin.  Saya menerangkan duduk pekara.

Tetiba muncul seorang hamba Allah yang mengeluarkan satu baju t dari beg bimbitnya. Kenapa dan mengapa sosok ini ada menyimpan sahelai baju dalam beg bimbitnya - wallah hu alam bis sawab. 

Baju Bersih saya disita  dan saya dapat baju baru. Saya berterima kaseh dan  ingin mengenali Si Polan ini agar saya dapat memulangkan kembali baju ini. Si Polan ini menolak cadangan saya. Lalu kami ketawa terbarai. Hakikatnya - tidak ada siapa yang saya kenali nama mereka disini.

Saya menunggu dan menunggu. Pekara ini amalan biasa jika ditahan atau sedang dalam siasatan polis. Apa yang menarik ialah ramai anggota polis ini telah mengenali saya. Mereka sebanyak sadikit tahu siapa Hishamuddin Rais. Malah ada yang menyebut nama filem Dari Jemapoh. 
Jangan lupa teknoloji juga telah beralih. Ramai sosok-sosok ini memiliki potensi untuk menjadi  Ansel Adam atau David Bailey atau Steve McCurry. Mereka juga sedang merakam  detik-detik sejarah.

Hakitanya - biar saya nyatakan disini - pada tahun 2016 ini tingkah lalu polis amat amat berbeza dari tahun 1974 atau  pengalaman saya pada tahun 1998 - zaman Reformasi.

Mata saya mengamati  dan merakamkan semua yang berlaku. Saya rakamkan sebagai bahan sejarah kerana tidak ramai yang berpengalaman ditangkap pada thun 1974, di tangkap pada tahun  1998 dan ditangkap lagi pada tahun 2016.  

Mungkin ada sosok kongsi gelap yang keluar masuk penjara. Tapi mungkin tidak ada diantara mereka yang  merakamkan apa yang saya rakam untuk pengetahuan  dan bacaaan umum.

Satu pekara yang ingin saya terangkan disini tentang konsep relatif.  Ini bersangutan dengan konsep masa. Saya amat yakin Maria Chin Abdullah yang sedang ditahan dibawah SOSMA sedang merasakan apa yang saya tulis ini.

Ketika dalam tahanan, ketika dalam penjara - masa berjalan amat lambat sekali. Setiap detik yang berjalan diruang bebas akan bergerak dengan pantas berbanding dengan detik dalam tahanan. Justeru menunggu dalam tahanan adalah penungguan yang maha lama.

Saya menunggu dan menunggu. Ada pegawai polis yang datang bertanya, ada yang melihat dari jauh. Tetiba datang seorang anggota polis membawa makanan - Nasi ayam.  Sebenarnya ketika dalam tahanan amat jarang saya memiliki selera untuk makan. Tapi saya wajib makan. 

Selesai makan tetiba muncul seorang anak gadis - bertudung - belum melintasi 25 tahun. Di leher tersangkut kamera. Anak gadis ini memandang saya. Dia sedang menunggu arahan. Ah! Si Minah ini adalah jurukamera polis. 

Lalu saya teringat kepada Acino juru kamera The Malaysian Insider - portal yang telah diarwahkan. Acino lulusan photography dari UITM Seri Iskandar - apakah Si Gadis ini juga dari kampus yang sama? Saya tidak tahu nama gadis ini, jika saya tahu pasti saya usulkan kepada Acino.

Seorang pegawai mengarahkan agar gambar saya diambil.  Saya memakai kembali baju kuning Bersih. Saya dibawa disebuah bilik yang memiliki latar puteh untuk saya digambari. Ini gambar portrait polis - Hishamuddin Rais - OPS BERSIH 12/16. Saperti biasa saya akan tersenyum ketika digambari.

Kenapa saya tersenyum?

Seratus tahun dari hari ini ketika anak cucu cicit kita membuka sejarah BERSIH5 - saya yakin mereka  akan terjumpa gambar Hishamuddin Rais yang terseyum. Maka anak cucu cict kita akan berkata - ‘Ah! Mereka tidak gentar menghadapi  penjara tali gantung. Mereka tersenyum’.

Jika cucu cicit kita ketika itu  sedang berjuang  melawan kezaliman  mereka TIDAk akan patah semangat. Senyuman saya dalam tahanan polis ini adalah tanda semiotik  generasi 2016.

Wajib saya nyatakan disini saya telah hampir 4 jam di IPK. Saya masih belum menemui Pegawai Penyiasat atau IO - Investigation Officer.  Sebelum Nokia saya ditahan saya telah sempat berhubung dengan SUARAM untuk memberitahu dimana saya ditahan. Suaram memberi tahu bahawa peguam akan datang. Tapi peguam tidak muncul-muncul.

Dalam bilik berhawa dingin saya kerap ke tandas. Kali ketiga ke tandas saya terserempak dengan sorang anak muda China yang memakai baju kuning Bersih5. Dia berdiri sendirian di ruang menunggu lift tanpa kawalan. Lalu saya bertanya apakah dia juga ditahan. 

Tidak anak muda tidak ditahan. Dia  adalah pembantu YB Howard Lee dari Pasir Pinji  Ipoh.

Ah! Rupa-rupanya saya ada teman. Saya kenal dengan Si YB ini. Malah saya pernah dijemput ke Ipoh untuk bersama sidang akhbar ketika melancarkan program Bersih5 di Perak. Tapi dimana YB ini disimpan? Pulang dari tandas  mata saya liar mencari. 

Pada ketika ini saya akan dibawa ke bilik Pegawai Penyiasat. Tim yang menangkap saya  ingin beredar. Kami bersalaman. Dan saya sekali  lagi berterima kaseh kerana dapat baju baru. Jelas tugas  tim itu hanyalah menangkap dan membawa hasil tangkapan ke IPK. 

Sebelum beredar salah saorang dari tim ini bersuara ‘ dimana kamu malam tadi… kami cari…’ Mungkin ini suara dari yang pegawai yang  berpangkat.

Saya ketawa kuat dan terus menjawab… ‘ ada saya ada dirumah… tak kemana mana…lain kali boleh  talipon minta saya ke balai. Tak perlu datang ke rumah. Anjing saya - Ezi akan bising menyalak jika orang tak dikenali datang..’ Kami bersama -sama  terbarai ketawa. 

Betul telah dua kali polis datang menyerbu  ke flet tumpangan saya.  Ezi akan menderam ganas jika ada aroma yang tidak dikenali berdiri diluar pintu. 

Selesai berjabat tangan saya dibawa masuk ke dalam bilik siasatan. Bilik ini tidak luas. Ada satu meja dan dua kerusi. Satu PC. Di dinding ada tertera gambar-gambar orang yang telah disiasat. Ada beberapa keping gambar jantan Afrika. Beberapa keping gambar lelaki India.

Seorang polis muda masuk dan duduk dimeja. Apakah ini Pegawai Penyiasat? Untuk melunakkan keadaan  saya melawak ..’ pastikan lepas ini gambar saya ada ditampal sama…’

Bayangkan: nama pegawai polis ini juga ialah Hisham. Saya hampir tidak pecaya. Tapi inilah sejarah. Apa pangkat Hisham saya tidak pula  bertanya. Yang saya tanyakan adakah dia Pegawai Penyiasat?

Hisham menjawab ‘ tidak’. Pegawai Penyiasat ialah  ASP Tan dari Balai Dang Wangi.  Dalam bilik ini  dia hanya mengambil maklumat asas - nama, tarikh lahir dan nama keluarga.

Kemudian saya ingin ke tandas sekali lagi. Rasa saya jam telah melintasi lebih dari pukul tiga. Saya hilang kiraan waktu. Kali ini diruang masuk saya ternampak Arman pemimpin Baju Merah. Ah! Arman juga ditahan. 

Arman mengenali saya. Saya menghampiri dan terus bersalaman. Diatas dinding tempat  Arman duduk tertera nama-nama sosok yang dijangkkan akan hadir di BERSIH5.  Gambar Arman dan gambar saya ada tertera. Semakian jelas untuk saya aras ini adalah aras  OPS Bersih.

Gambar siapa lagi didinding? Tunggu minggu hadapan. (tt)

NOTA:
Ketika menulis tulisan ini
Berita Maria Chin dibebas sampai. Salut!



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45















----------------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

8 ekor hebat

Fuyoh, sampai 8-9 ekor mari tangkap TT
8 - 9 orang dah boleh buat nyanyi Boria tu.
TT ni ada pisetol Luger ke?
Tiada kerja lain ke?
Kalao lah mereka tu pi tangkap Jho Low..
Tangkap M01...

*Terima Kaseh TT syer pengalamam

Tanpa Nama berkata...

Kahkahkahkah kan aku dah kata, polis sangat suka tangkap engkau,TANGKAU! Kahkahkahkah

Nazrio berkata...

TT b rfoto sambiL senyum untuk tatapan anak cucu...? Hidup zahid.!!! 12X ..!!!
4 eLa kain cukup tak baju rusmah .?