Jumaat, 14 Julai 2017

BERITA MELEDAK DUNIA






KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

13 JULAI 2017
 
Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan

Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;

Maka, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran Najib. Melalui kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan.
 
Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mendokong matlamat-matlamat berikut:

1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Najib;

2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;

3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;

4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;

5) Reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan

6) Menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu:

Ketua Umum:
Anwar Ibrahim

Pengerusi:
Mahathir Mohamad

Presiden:
Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:
Muhyiddin Yassin
Lim Guan Eng
Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:
Mohamed Azmin Ali
Mukhriz Mahathir
Chong Chieng Jen
Salahuddin Ayub

Ketua Setiausaha:
Saifuddin Abdullah

Bendahari:
YB M. Kula Segaran
  
Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA.

Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.

Ditandatangani oleh:

Mahathir Mohamad
Pengerusi PPBM

Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi DAP

Mohamad Sabu
Presiden AMANAH






--------------------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sempoi............

Tanpa Nama berkata...

Gasak spr bagi lurus dulu... baru boleh nak menang... kalau tak, menang sorak jea tapi kg tergadai...kehkehkehh

Tanpa Nama berkata...

Biasanya sabah dan sarawak yg spoilkan kemenangan... harap kali ni jgn jadi tongong lagi...