Rabu, 25 Oktober 2017

KENAPA NAJIB WAJIB DINYAHKAN






KENAPA NAJIB

WAJIB DINYAHKAN

Minggu lalu saya telah menulis tentang gerakan Nyah Najib. Gerakan menuntut agar Najib berundur ini bukan satu pekara yang baru. Malah menuntut Najib dinyahkan bukan lagi suara pinggir. Bukan lagi suara kecil dari Kampong Kerinchi. Bukan lagi suara  garau Mat Sabu atau suara halus Wan Azizah.  Nyah Najib kini melantang sedunia.

Gerakan menyahkan Najib dari tampok kuasa ini telah menjadi satu projek mega bertaraf antarabangsa. Ini satu projek global yang akan menjadi patukkan dan  rakaman sejarah dunia. Taraf projek Nyah Najib ini  sama saperti projek menjatuhkan Pinochet di Santiago Chile atau Mubarak di Cairo Mesir atau Suharto di Jakarta atau Marcos di Manila.

Dari New York ke Los Angles , ke Paris , ke Geneva ke Singapura ke London  -  projek Nyah Najib telah lama bergerak. Media antarabangsa telah lama bersuara - melapor dan menganalisa sosok yang bernama Najib. 

Media antarabangsa yang mahu Najib dinyah  saperti The Wall Street Journal, The New York Time, Washington Post , London Financial Times, South China Morning Post , BBC London, CNN atau CNBC - semuanya  mewakili  negara  atau  kumpulan yang  memiliki kepentingan ekonomi, perniagaan, ketenteraan dan  politik di Malaysia. 

Tidak dapat dinafikan bahawa suara dan laporan media dunia ini telah membantu memperluaskan lagi projek Nyah Najib ke dalam  negara. Surah dan hadis laporan  media luar negara ini dianggap  lebih saheh dari hadis dan surah yang dikeluarkan oleh Utusan atau RTM. Amin.

Tiga puluh juta warga Malaysia hingga ke hari ini amat-amat sedar bahawa laporan berita rompakan duit 1MDB telah menjadi berita global. Untuk pertama kalinya Mak Cik dan Pak Cik Felda terdengar nama Martin Scorsese dan nama Leonardo Di Caprio

Warga dunia mengenal German  dengan Mercedes. Jepun dikenali dunia dengan Honda.  London dikenali dunia dengan Harrod. Kita  di Malaysia dikenali  dunia dengan 1MDB.

Colombia dikaitkan  dengan  tokan dadah Pablo Escobar. Britain dikaitkan dengan Ronald Biggs penyamun kereta api - the Great Train Robbery.  Amerika dikenali dengan Al-Capone.  Parlemo Itali dikenali  dengan  Don Carleone. Maka dunia mengenali kita dengan penyamun yang bernama Najib Razak.

Rompakan yang dilakukan oleh  Najib  memperlekeh taraf Ronald Biggs  -  yang merompak 2.6 juta pound pada tahun 1963 atau 49 juta pound hitungan   tahun 2017. Najib juga memperlekehkan Al-Capone, Don Carleone dan Pablo Escobar. Jumlah rompakan  yang dilakukan oleh Najib bukan sahaja mengatasi pendapatan Escobar malah   rompakan 1MDB ini dirancang dengan  teliti dan licik sekali.

Apakah sama taraf rompakan Najib dengan rompakan Bentong Kali dan Botak Chin? 

Oh la la…menyamakan  Botak Chin dan Bentong Kali dengan Najib samalah saperti menyamakan Yusof Haslam dengan Martin Scorsese. Rompakan Bentong Kali dan Botak Chin ini adalah percubaan budak-budak sekolah mencuri gula-gula  dari balang kantin sekolah.  

Jika mencuri  terbesar  dan terancang dalam dunia akan mendapat hadiah Nobel maka saya akan menghabis hayat  bersama 29 juta rakyat Malaysia untuk  melobi Putera Raja Sweden agar Najib dianugerah  Hadiah Nobel Pencuri untuk kurun ini. Amin

Apakah kerana Najib mencuri duit maka dia wajib dinyahkan? Jawabnya ialah ia dan tidak.  Dalam tulisan ini saya akan membawa pencerahan dan hujah tentang sebab musabab , dalil dan nas mengapa Najib wajib dinyahkan.

Mencuri adalah satu kesalahan. Ini hukum sejagat. Dimana-mana pun dalam alam ini jika seseorang itu dibuktikan telah mencuri maka Si Polan itu akan dihukum.

Pencuri bukan hanya terdiri dari samseng atau anggota kongsi gelap atau kaum kerabat mafia. Imam, Tok Kadi, Yang Berhormat, Menteri, Presiden  atau Perdana Menteri juga pernah dalam sejarah dibuktikan sebagai pencuri.

Di Jakarta kita ada Haji Muhamad Suharto seorang Presiden  yang kerjanya  ialah mencuri. Di Pilipina kita ada Ferdinand Marcos seorang Presiden yang juga telah dibuktikan sebagai pencuri. Di Cairo kita ada Tuan Haji Hosni Mubarak yang juga Presiden yang pernah dipenjara kerana mencuri.

Justeru apabila Mahathir Muhamad  menunduh secara terbuka - dalam ceramah dan temubual media -  Najib ini   seorang pencuri maka ini bukan satu yang menghairankan. Sosok yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun ini pasti tahu dan arif tentang hal curi mencuri duit kerajaan ini.

Pada hemat saya kita tidak ada pilihan. Najib wajib kita nyahkan. Najib wajib dinyahkan kerana jika tidak dalam masa lima tahun ini Najib negara Malaysia ini akan lingkup mingkup.

Lingkup. Mingkup. Terbarai. Ini bukan kerana serangan garuda atau jin afrit atau punting beliong. Lingkup  dan terbarai dari segi pentabiran daulah. Malaysia  pada hari ini telah betul-betul teletak diatas ril keretapi yang menuju ke Negara Gagal.

Penjajah Inggeris telah meninggalkan lembaga-lembaga daulah dan satu  sistem pentabiran moden kepada Tanah Melayu.  Kuasa Inggeris  telah diambil alih oleh United Malays National Organisation.

Setia kepada watak negara Dunia Ketiga - dari zaman Tunku, ke Razak, ke Mahathir banyak lembaga-lembaga daulah telah diubah suai untuk memastikan parti United Malaya National Organisation akan terus berkuasa. 

Kini hampir kesemua lembaga daulah telah jatuh keatas  pundak Perdana Menteri yang bernama Najib. Lembaga saperti Suruhan Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) , Polis Diraja Malaysia ( PDRM ), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) malah apa sahaja lembaga daulah semuanya akan merujuk kepada Najib. 

Yang ditinggalkan oleh Inggeris telah diubah suai. Yang baru diwujudkan untuk memastikan kuasa terus ditangan United Malays National Organisation. Contoh terkini dan terbaru ialah lembaga  Majlis Keselamtan Negara - yang telah mengenepikan kuasa Raja-Raja Melayu dalam hal darurat. Semua terpusat kepada Najib si Perdana Menteri.

Sabenarnya - apa yang berlaku di Malaysia ini adalah watak tulin negara Dunia Ketiga. Amat susah malah mustahil dapat dipisah kuasa Si Pembuat Hukum dengan si Pentadbir Hukum. Semua telah berkumpul dalam tangan Najib. Najib kata hitam maka kapur puteh  itu akan  menjadi hitam serta merta. 

Lembaga-lembaga daulah berperanan untuk menjaga kepentingan anak segala bangsa yang  menjadi warga sesebuah negara. Apabila lembaga daulah ini  tidak lagi menjadi lembaga semak dan imbang dan  hanya terpusat kepada Najib maka keyakinan  anak semua bangsa terhadap lembaga daulah ini terhakis.

Dalil penghakisan ini makin jelas. Umum percaya dan tahu bahawa pilihan raya yang dijalankan oleh SPR adalah satu penipuan. Umum tahu lembaga SPR itu hanyalah alat untuk menipu orang ramai dalam pilihan raya.

Umum juga tahu dan sedar bahawa  tangkapan rasuah  yang dilakukan oleh SPRM adalah atas kepentingan dan  keselamatan Najib dan United Malays National Organsation. 

Umum tahu dan sedar PDRM akan melakukan tangkapan  bukan kerana jenayah tapi kerana hubungan politik. 

Umum melihat bagaimana lembaga kehakiman khususnya Jabatan Peguam Negara memilih-milih kes mana yang wajib dibicarakan dan yang mana perlu dilupus hilang. 

Contoh terbaik ialah dalam kes  Razak Baginda.  Si Razak  yang menggunakan Altantuya sebagai Penyedap  telah dituduh terlibat dalam  pembunuhan Altantuya.  Razak  dibebaskan. Tetapi Peguam Negara tidak meminta ulang bicara wal hal ini kes bunuh. 

Ini amat amat berbeza dengan  kes Akta Perhimpunan Aman Nik Nazmi.  Nik Nazmi telah menang bicara tetapi  Peguam Negara meminta ulang bicara berkali-kali. 

Dilihat kes Nik Nazmi ini sama saperti  pengiraan undi Najib Razak di Pekan pada tahun 1999. Tukang kira undi telah diarah mengira undi Najib sampai menang. Mahkamah telah diarah membicarakan Nik Nazmi sampai kalah. Ini bertujuan untuk menghalang Nik Nazmi dari bertanding kerusi Adun Selangor.

Pada hemat saya pemusatan kuasa lembaga daulah ke tangan Najib kebelakangan ini semakin bercambah tambah.  Dari segi ekonomi - expot impot  cukai mukai hinggalah  ke pekara halal haram.  

Dalil halal haram yang saya maksudkan ini ialah kes pegawai SPRM yang dituduh  mengentot bini orang di Bali.  Nampak jelas kes mengentot pun wajib dirujuk pada pucuk pimpinan.  

Paling terkini dan menonjol ialah peranan SPRM. Lembaga SPRM kini menjadi helang terbang bersiar-siar diawan sambil memerhatikan Ayam Bersatu, Ayam DAP, Ayam  Warisan Sabah, Ayam PKR atau Ayam Berani Lawan Towkay. Helang ini akan menyambar  dalam masa dan ketika yang tepat untuk terus menakut-nakut yang lain. Dan memastikan Ayam-Ayam ini akan masuk ke dalam ‘reban’ tanpa boleh bertanding.

Apakah hujah saya ini fintah? Apa saya membuat tohmah terhadap SPRM? Tidak - ini bukan fitnah. Dalilnya ialah bagaimana SPRM langsung TIDAK AMBIL POT terhadap kes 1MDB. Langsung  tidak peduli terhadap kes SRC International Sdn Bhd.

Tidak ada apa-apa tindakan terhadap Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Lo Ai Swan walau pun sosok ini dikhendaki oleh Bank Negara. Nama  Nik Faizal, Datuk Subuh atau Rosan Sohari terus hilang dari mata PDRM, dari mata Peguam Negara dan dari mata SPRM.

Anak semua bangsa sedar dan faham bahawa Helang SPRM ini hanya  aktif menyambar musuh Najib. Ini kerana tali yang mengikat helang ini ada dalam tangan Najib.

Keruntuhan lembaga daulah ini membawa implikasi yang amat bahaya kepada Malaysia. Lembaga-lembaga daulah ini kini bukan lagi menjadi hamba abdi kepada warga tetapi telah diabdikan oleh Najib.

Najib sedang menggunakan semua lembaga daulah untuk mempertahankan dirinya yang sedang dikepong. Lembaga  FBI - polis Amerika dan  Jabatan  Keadilan Amerika (DOJ) sedang mengatur langkah untuk menahan  anak tiri Najib dan rakan niaga Najib - Jho Low. FBI dan DOJ hanya menunggu masa untuk ngap Najib.

Tidak dapat tidak sebaik sahaja Najib dinyahkan dari tampok kuasa maka DOJ dan FBI akan datang untuk menjemput Najib menjadi saksi  pembicaran  Riza Aziz  dan Jho Low di Los Angles.

Tapi awas dan waspada. Najib juga sedar akan apa yang saya paparkan disini. Justeru Najib sedang mengambil langkah keselamatan. Najib sedang  meminta bantuan China Merah. 

China datang membantu? China? Bukankah Najib anti China DAP? Tunggu minggu hadapan dan lihat apa bahaya dari China Merah bukan dari China DAP. (tt)  


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45 







--------------------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kau tulis panjang2 utk kempen NYAH NAJIB pun tak guna bro. Hari jumaat barokah najib akan bentang bajet2018. Bila dia umumkan jer bonus utk kakitangan kerajaan nanti, habis runtuh terbarai segala benci pada najib, waktu tu najib disanjung sebagai pahlawan bugis. Kah kah kah