Yaman dilanda banjir kilat, 8 terkorban
ISTANBUL: Sekurang-kurang lapan termasuk kanak-kanak maut akibat banjir kilat yang melanda beberapa wilayah Yaman sejak dua hari lalu, lapor media tempatan pada Sabtu, menurut Anadolu Ajansi (AA).
Di wilayah Hajjah, barat laut Yaman, portal 26 September kendalian pihak Houthi memetik sumber pertahanan awam berkata, sebuah kediaman runtuh menimpa penghuninya termasuk tiga kanak-kanak di perkampungan al-Khadraa, daerah Ku'aydinah.
Malam tadi, Pusat Media Keselamatan Kementerian Dalam Negeri pula memaklumkan banjir telah memusnahkan puluhan khemah sementara dan tempat perlindungan milik pelarian di daerah Abs, Hajjah.
Di wilayah Shabwah, penduduk berkata, seorang bapa dan anak lelakinya lemas di daerah Usaylan pada lewat Jumaat.
Beberapa jam sebelum itu, dua kanak-kanak dan seorang pemuda turut lemas dalam insiden berasingan di Shabwah serta Hadhramaut, menjadikan jumlah korban di kedua-dua wilayah berkenaan mencecah lima mangsa dalam tempoh 48 jam.
Pada Selasa lalu, hujan lebat mengakibatkan banjir di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman, mencederakan beberapa orang dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Pihak berkuasa di beberapa wilayah telah mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat berterusan dan risiko banjir kilat, selain menggesa penduduk menjauhi kawasan sungai serta empangan


Tiada ulasan:
Catat Ulasan